Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kursus diploma M'sia iktiraf mutawif sebagai kerjaya profesional diperkenalkan di SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu kursus diploma yang mengiktiraf mutawif sebagai kerjaya profesional diperkenalkan di sini.

Ia adalah kerjasama syarikat dari Malaysia, Professional Mutawwif Development (PMD) dan pusat pendidikan Islam tempatan MZ Academy.

Sejak dilancarkan pada 2021, program pertama seumpamanya di Malaysia dan dunia itu sudah melahirkan 600 graduan dan sedang melatih 1,000 pelajar.

Kini ia merancang untuk melatih para pelajar dari Singapura.

"PMDIC (Professional Mutawwif Development International College) merupakan pusat bertauliah TVET ataupun Technical Vocational Education Training dalam bidang kemahiran yang mana pihak PMDIC merupakan pusat bertauliah yang paling ramai pelajar dalam bidang mutawif ini. Dan saya rasa perlu bagi mutawif itu dinaik taraf dan kerjaya mutawif ini dipandang bukan sekadar di Malaysia tetapi di negara-negara lain juga," kata Ustaz Abdul Halim Ikhsan, Pengarah Urusan PMD.

Selain Singapura, kursus yang diiktiraf kerajaan Malaysia itu ingin dikembangkan ke Indonesia dan Brunei.

Ustaz Abdul Halim, yang sendiri seorang mutawif berpengalaman percaya dengan peningkatan tahap profesionalisme, peluang pekerjaan dalam bidang pelancongan Islam boleh diluaskan.

Lantaran itu, modul yang ditawarkan juga merangkumi asas keusahawanan dan perniagaan, keupayaan asas industri di samping Bahasa Arab untuk komunikasi.

Ustaz Abdul Halim berada di Singapura pada Rabu (17 Mei) untuk memperkenalkan program pengajian tersebut di kedutaan Malaysia di Singapura di samping memberi taklimat kepada agensi-agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.

"Sebagai mutawif kita bawa jemaah untuk melakukan ibadah umrah bukan bawa jemaah kemudian satu dua hukum saja. Secara umum perlu sangat ilmu-ilmu begini cuma mungkin kita boleh ubah suaikan konsep di Singapura kerana saya dapati jangka masa diploma ini agak lama, dua setengah tahun dan dua setengah tahun tu untuk kita nak cari mutawif yang sepenuh masa mengikuti kursus tersebut agak payah," kata Ustaz Md Afandi Ahmad, pemiilk Afandi Travel & Services.

Ustaz Md Afandi menambah, berbanding beberapa negara lain, kebanyakan mutawif dari Singapura adalah golongan lebih berusia dan bukan mutawif sepenuh masa.

"Sudah pasti keperluan untuk Singapura itu lebih kepada separuh masa dan kursus singkat, Justeru pihak MZ Academy dan PMD, dalam usaha untuk merealisasikan kursus singkat itu yang dapat diadakan di Singapura untuk menyesuaikan keadaan yang sangat diperlukan oleh para mutawif dan mutawifah yang ingin berkhidmat dan juga ingin menyertai program tersebut," kata Encik Md Zuhaili Sabudin, Pengarah Urusan MZ Academy.

MZ Academy melihat bahawa mutawif bertauliah akan menambah nilai pada agensi-agensi pelancongan Islam tempatan dengan meningkatkan mutu khidmat yang ditawarkan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan