Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kursus dalam industri penerbangan masih dapat sambutan meski industri dijangka terus merudum dek COVID-19

Industri penerbangan global dijangka akan terus merudum selama beberapa tahun lagi angkara pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Industri penerbangan global dijangka akan terus merudum selama beberapa tahun lagi angkara pandemik COVID-19.

Namun kursus-kursus seperti penyenggaraan instrumen dan enjin pesawat masih mendapat sambutan yang memberangsangkan termasuk dalam kalangan mereka yang ingin menukar kerjaya.

Baru-baru ini, BERITAmediacorp bertemu dengan seorang pelatih pertengahan usia yang sanggup berhenti kerja untuk mengejar cita-citanya.

VAMARAJAN BERHENTI KERJA DEMI KEJAR CITA-CITA

Encik Vamarajan pernah terlibat dalam projek pembinaan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi sebagai jurutera pemasangan sistem hawa dingin.

Sewaktu itulah timbul semula minat untuk mendalami pengetahuannya dalam bidang penyenggaraan pesawat.

Tiga tahun lalu ketika usianya 47 tahun, Encik Vamarajan mengorak langkah berani untuk kembali ke bangku sekolah.

Ini bermakna beliau terpaksa berhenti kerja sepenuh masa untuk mengikuti kursus diploma kejuruteraan aeroangkasa di Politeknik Nanyang.

Mujur beliau mendapat sokongan padu serta dorongan daripada isteri dan anak-anaknya.

Bagaimanapun, pasaran kerja yang suram disebabkan oleh COVID-19 menyulitkan usahanya untuk mendapatkan pekerjaan.

Sungguhpun demikian, ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya.

"Saya sudah membuat 20 permohonan kerja tetapi tiada respons. Saya berharap keadaan akan bertukar kerana bukan sektor penerbangan sahaja yang terjejas," kata beliau.

Buat sementara waktu, beliau mengikuti kursus penyenggaraan dan kejuruteraan pesawat selama setahun di Kolej Latihan Pengangkutan Udara (ATTC) di Seletar.

ATTC menawarkan lebih 30 kursus dari peringkat sijil Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) sehinggalah ke peringkat ijazah.

NUR SHAKIRA PENDAM CITA-CITA JADI PENYIASAT NAHAS UDARA

Antaranya, kursus ijazah asas dalam kejuruteraan aeroangkasa yang diambil Nur Shakira Roslee, 28 tahun yang memendam cita-cita menjadi penyiasat nahas udara.

"Saya seorang yang selalu ingin tahu tentang sesuatu dan kapal terbang adalah sesuatu yang pelik – ia besi tetapi ia boleh terbang di udara. Jadi daripada situ saya berminat untuk melanjutkan pelajaran saya dalam bidang ini," kata Cik Shakira yang merupakan mahasiswa kursus ijazah asas kejuruteraan aeroangkasa.

Beliau percaya permintaan industri bagi pekerja bidang aeroangkasa mahir akan beransur pulih apabila beliau tamat pengajian dalam masa dua tahun kelak.

Menurut Pengurus Besar ATTC Colin Koh,
kursus yang berkaitan dengan penerbangan masih mendapat sambutan yang memberangsangkan meskipun sektor itu masih bergelut dengan pandemik ini.

"Saya percaya ramai orang yang diberhentikan kerja dari industri aeroangkasa, mereka mempunyai kemahiran, mereka memiliki pengetahuan tetapi sayangnya mereka tidak mempunyai sesuatu seperti pensijilan WSQ. Di sinilah kita membuat perbezaan dan saya sedang berusaha untuk menyediakan kursus-kursus berbilang disiplin," kata Encik Koh.

Ini penting tambahnya, kerana syarikat-syarikat sedang berusaha untuk mengurangkan kos dan boleh meraih manfaat daripada kakitangan yang mahir dalam pelbagai bidang dan sangat produktif.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan