Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KURNIA@WGS tawarkan khidmat kebajikan sosial, program seni budaya dan media

Masyarakat Melayu/Islam boleh mendapatkan khidmat kebajikan sosial serta program-program berkaitan seni budaya dan media di bawah satu bumbung di Wisma Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam boleh mendapatkan khidmat kebajikan sosial serta program-program berkaitan seni budaya dan media di bawah satu bumbung di Wisma Geylang Serai.

Ia bakal ditawarkan oleh lapan badan Melayu/Islam menerusi sebuah pusat sehenti hab MMO, KURNIA@WGS, dengan kerjasama Hab M³ yang dikelolakan MENDAKI, MUIS, MESRA.

Lapan persatuan Melayu/Islam itu adalah Muhammadiyah, PERGAS, Angkatan Karyawan Islam (AMP), Persatuan Seni-Budaya Kreatif Melayu (CMAC), Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM),

Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Berita Harian (BH).

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, berkongsi perkembangan terkini projek WGS yang dipimpinnya itu dalam satu taklimat media hari ini (1 Nov).

Khidmat Untuk Rakyat; Inspirasi & Aspirasi - demikian matlamat utama KURNIA@WGS, kongsi Dr Maliki.

Dijadualkan mula beroperasi menjelang Disember ini, pusat sehenti tersebut akan menyediakan khidmat kebajikan sosial termasuk permohonan bagi biasiswa, bantuan kewangan dan geran pendidikan demi menyokong masyarakat mengejar aspirasi mereka.

Sebagai menyokong objektif WGS untuk menjadi sebuah hab seni, bengkel serta program berkaitan seni budaya serta media akan juga disediakan oleh KURNIA@WGS di samping penubuhan sebuah Sekolah Studio Media.

"Kita harap Kurnia@WGS akan bekerjasama dengan M³ di mana mereka boleh lihat apakah profil mereka yang datang ke pusat KURNIA untuk minta khidmat bantuan atau pun keterangan-keterangan yang diperlukan. Menerusi profil ini, M³ juga boleh bantu dan merancangkan projek-projek baru, rancangan-rancangan baru dan khidmat-khidmat baru untuk anggota masyarakat kita," ujar Dr Maliki yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara.

WGS turut menyepadukan keperluan segenap masyarakat menerusi penubuhan pusat khidmat keluarga dan pusat tajaka di samping pusat jagaan warga senja yang bakal diuruskan oleh Agensi Jagaan Bersepadu (AIC).

AIC telah pun mengenal pasti NTUC Health sebagai pengendali pusat jagaan warga tua itu.

Biarpun WGS bertindak sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam tempatan, Dr Maliki menegaskan bahawa khidmat-khidmat serta program-program yang ditawarkan bersifat inklusif untuk semua anggota masyarakat tidak kira latar belakang.

Maka itu, demi menggalak interaksi sosial dan hubungan masyarakat pelbagai kaum, WGS turut menempatkan Galeri Warisan Geylang Serai dan menganjurkan pelbagai program seni budaya.

Sepanjang lebih empat bulan lalu sahaja, program-program yang dijayakan WGS telah pun menarik penyertaan hampir 44,000 orang.

Selain itu, Dr Maliki juga mendedahkan jumlah kedai runcit dan tempat makan di WGS yang boleh dinanti-nantikan para pengunjung.

Kesemuanya, terdapat empat cawangan makanan dan minuman (F&B) di aras satu. Salah satunya ialah restoran makanan segera Marrybrown yang sudah pun mula beroperasi. Tiga lagi gerai makan, termasuk Saap Saap Thai serta Kaffe & Toast, akan membuka pintunya kepada orang ramai dalam masa beberapa minggu akan datang.

Sementara itu, para pengunjung boleh membeli-belah di kedai-kedai fesyen dan gaya hidup di aras dua. Antara jenama yang boleh dijangkakan termasuk A'niz, Anaqi Enterprise, Fatimah Mohsin, Toko Warisan Trading dan Sweet Rose Couture.

WGS akan dibuka rasmi pada 26 Januari depan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Sempena meraikan majlis pembukaan gilang-gemilang itu, orang ramai boleh menantikan barisan acara menarik sesuai untuk seisi keluarga sepanjang tiga hari dari 25 hingga 27 Januari tahun depan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan