Skip to main content

Singapura

Kurikulum ‘Kembali-Ke-Fitrah’ disesuaikan dengan isu-isu kontemporari, bantu banduan harungi cabaran masyarakat moden

Anggaran Waktu Membaca:
Kurikulum ‘Kembali-Ke-Fitrah’ disesuaikan dengan isu-isu kontemporari, bantu banduan harungi cabaran masyarakat moden

Dari Kiri, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan. (Gambar: Khidmat Penjara Singapura (SPS)

SINGAPURA: Kurikulum dan kandungan program Kembali-Ke-Fitrah (BTF) kendalian FITRAH @ MUIS disesuaikan agar lebih relevan lagi dalam usaha membantu para banduan mengharungi cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat moden.

Ini bagi memastikan proses pemulihan bagi para banduan Islam lebih efektif dan sejajar dengan isu-isu kontemporari.

"Dengan bimbingan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), kami berbincang dengan pihak Khidmat Penjara Singapura tentang isu-isu kontemporari di mana kita boleh terapkan dalam kandungan kami untuk memastikan bahawa kandungan tersebut senang difahami dan relevan untuk banduan Islam.

"Dengan itu, kami harap matlamat kita untuk memastikan pemulihan panduan Islam ini berjaya dan bersifat lestari," kata Penyelaras program Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH), Ustaz Noor Hakeem Azman.

FITRAH sudah melakarkan pelbagai program untuk memberikan sokongan menyeluruh buat para pesalah dan keluarga mereka.

"Pelbagai program keagamaan yang dikendalikan oleh FITRAH dengan matlamat yang kita harap para banduan Islam atau Muslim itu memiliki sifat rahmah yang diterapkan dalam diri sendiri dan dapat pamerkan kepada orang sekeliling.

"Kedua,mempunyai keperibadian yang teguh dan utuh dari segi moral dan juga rohani serta mampu untuk mengatasi cabaran masyarakat moden," kongsiUstaz Noor.

FITRAH berharap melalui program itu, para pesalah boleh mengambil iktibar dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Semoga mereka mampu menjadi mentor sahabat dan pendamping bagi banduan di luar sana dengan harapan bahawa sifat-sifat dan perilaku baik ini atau perubahan yang positif ini bersifat lestari, bukan hanya sementara sahaja," kata Ustaz Noor.

Dalam pada itu, FITRAH juga mengambil berat tentang keadaan dan latar belakang para banduan untuk sesuaikan bantuan dan sokongan yang diberikan.

CERAMAH MOTIVASI MUFTI

Usaha itu diperkasakan lagi dengan kembalinya acara Ceramah Motivasi Mufti yang berlangsung pada Rabu (2 Okt).

Edisi keempat acara yang diadakan di Kompleks Penjara Changi itu disertai sekitar 650 banduan dan disampaikan secara fizikal dan ada yang menontonnya menerusi wadah 'Zoom'.

Ceramah berjudul 'Mencari Petunjuk dan Kekuatan dalam Iman' itu disampaikan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.

A
(Gambar: Khidmat Penjara Singapura (SPS))

Juga hadir untuk menyerikan acara adalah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Acara tahunan itu bertujuan untuk membantu banduan Islam dan pesalah berulang dalam proses pemulihan dan menyokong mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Ia dialu-alukan seorang banduan, ‘Zal’ (bukan nama sebenar) yang menghargai usaha sedemikian.

Ceramah itu adalah bimbingan tambahan yang diterimanya selain sesi kaunseling agama setiap minggu.

"Pada pendapat saya ini satu peluang yang baik untuk kita ikuti. Ada interaksi antara sesama manusia. Kalau tidak, kita akan baca daripada surat khabar atau dengar media-media yang ada, kali ini peluang untuk dengar secara langsung.

"Ia membuat saya lebih banyak bersabar dan berusaha untuk perbaiki diri saya. Ia beri saya keyakinan, sentiasa beriman dan membuat sesuatu daripada sikit lama-lama berubah menjadi tabiat yang baik dan boleh ubah cara hidup kita," kata 'Zal'.

"FITRAH ini banyak benda baharu yang saya pelajari, yang kurang jelas pada diri saya, bila saya ada kemusykilan, saya akan tanya ustaz dan ustaz akan jawab. Selalunya kita dapat baca buku sahaja, jadi dari buku itu, (maklumat) tidak berapa jelas," tambahnya.

FITRAH menjalankan sebanyak 58 sesi kaunseling agama setiap minggu di dalam penjara.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita