Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurikulum baru ITE mulai 2022; pelajar boleh peroleh Nitec Lanjutan dalam 3 tahun

Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan memperkenalkan kurikulum baru yang membolehkan pelajarnya memperoleh Nitec Lanjutan (Sijil ITE Nasional Lanjutan) dalam masa tiga tahun berbanding empat tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Apr 2021 04:58PM Dikemas Kini : 01 May 2021 01:31AM

SINGAPURA: Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan memperkenalkan kurikulum baru yang membolehkan pelajarnya memperoleh Nitec Lanjutan (Sijil ITE Nasional Lanjutan) dalam masa tiga tahun berbanding empat tahun.

Struktur sukatan pelajaran baru akan diperkenalkan bagi kursus-kursus terpilih dari Tahun Akademik (AY) 2022, umum Kementerian Pendidikan (MOE) dan ITE dalam satu kenyataan media pada Jumaat (30 Apr). Semua kursus dijangka beralih ke struktur baru tersebut menjelang kemasukan tahun 2026.

"Struktur kurikulum yang dipertingkat ini bertujuan membekalkan lulusan ITE dengan kemahiran lebih mendalam yang relevan bagi pekerjaan selain menyediakan asas lebih kukuh bagi mereka melanjutkan pengajian dan meningkatkan kemahiran sepanjang kerjaya mereka," kata MOE dan ITE.

"Langkah ini sejajar dengan komitmen MOE untuk menyediakan peluang kepada semua lulusan ITE bagi meningkatkan diri mereka lebih daripada kelayakan Nitec sepanjang kerjaya mereka menjelang 2030."

Pada 2019, MOE mengumumkan bahawa semua lulusan Nitec akan berpeluang memperoleh kelayakan lebih tinggi menjelang 2030.

Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman juga memberitahu Parlimen pada Mac bahawa laluan memperoleh Nitec Lanjutan akan disingkatkan.

APAKAH PERUBAHANNYA?

Buat masa ini, ITE menawarkan program Nitec dua tahun dan program Nitec Lanjutan, yang kebanyakannya dua tahun, secara berasingan. Oleh itu, pemegang sijil GCE peringkat 'N' yang mengikuti kursus Nitec biasanya akan memperoleh sijil Nitec Lanjutan setelah empat tahun.

Berbanding pemegang Nitec, lebih mudah bagi mereka yang mempunyai sijil Nitec Lanjutan untuk memasuki politeknik, sekiranya mereka mahu melakukan demikian. Berdasarkan Pendaftaran Kemasukan Bersama Politeknik terkini, pemegang Nitec Lanjutan memerlukan purata mata gred yang lebih rendah untuk layak mengikuti beberapa kursus di politeknik.

Di bawah struktur baru tersebut, kurikulum Nitec dan Nitec Lanjutan akan diselaraskan menjadi program tiga tahun.

Ini dilakukan dengan keupayaan yang sama-sama dijalankan di bawah Nitec dan Nitec Lanjutan ditiadakan, jelas MOE dan ITE.

Pada Tahun 1, pelajar akan mengikuti kursus asas mengenai kemahiran utama yang diperlukan bagi sektor perusahaan yang relevan. Pada Tahun 2 dan 3, mereka akan mengambil modul yang lebih khusus, menuju ke Nitec Lanjutan.

Pelajar juga akan melakukan dua latihan penempatan industri dalam masa tiga tahun - tempoh latihan selama tiga bulan pada Tahun 2 dan enam bulan pada Tahun 3. Latihan kedua itu direka untuk mengasah lanjut kecekapan yang diraih semasa latihan pertama.

PELAKSANAAN SECARA BERTAHAP

(Sumber: MOE, ITE)

(Sumber: MOE, ITE)

Oleh kerana perubahan berkenaan melibatkan "peralihan besar dalam penyusunan dan penstrukturan semula kurikulum", pelaksanaannya akan dilakukan secara bertahap-tahap, kata ITE.

Sebanyak 16 kursus - lapan peringkat Nitec dan lapan Nitec Lanjutan - dikenal pasti bagi fasa pertama pelaksanaan bermula AY2022. Ia akan melibatkan kira-kira 2,000 pelajar yang masuk ke Tahun 1 dan kira-kira 1,200 pelajar yang masuk ke Tahun 2 secara langsung.

ITE akan mengkaji hasil pelaksanaan fasa pertama, dan membuat penyesuaian yang diperlukan termasuk langkah-langkah sokongan bagi pelajar, sebelum menambah lebih banyak kursus di bawah struktur baru pada fasa berikutnya setelah AY2024.

SUKATAN LEBIH FLEKSIBEL

Sukatan pelajaran baru itu akan cukup fleksibel untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis pelajar dengan kekuatan, minat dan keperluan pembelajaran yang berbeza, menurut MOE dan ITE.

Sebagai contoh, pelajar yang lebih berkebolehan masih boleh memperoleh Nitec Lanjutan dalam jangka masa yang lebih pendek iaitu dua tahun. Ini termasuk pemegang sijil GCE peringkat O dan mereka yang mendaftar masuk ke ITE melalui Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik.

Pelajar yang mendapatinya lebih sukar akan mendapat sokongan pembelajaran tambahan, jamin MOE dan ITE.

Mereka yang tidak dapat menamatkan program Nitec Lanjutan dalam tempoh tiga tahun itu, boleh keluar bekerja terlebih dahulu dengan kelayakan Nitec mereka, dan mengambil modul-modul lain yang belum selesai di ITE di peringkat kemudian.

Pada masa ini, lebih 70 peratus graduan Nitec melangkah ke Nitec Lanjutan atau mengikuti laluan peningkatan lain yang dibiayai awam sepanjang kerjaya mereka, seperti program bekerja sambil belajar Diploma Kerja-Belajar ITE (WSDip), menurut MOE dan ITE.

"Pelajar yang meraih Nitec Lanjutan boleh menjangkakan peluang peningkatan lebih lanjut - seperti tawaran WSDip ITE yang diperluas," tambah kedua-dua badan itu.

ITE kini mempunyai 30 kursus di bawah WSDip, yang menawarkan lebih daripada 600 tempat untuk pelajar meningkatkan diri sambil menguasai kemahiran mereka di tempat kerja.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa