Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurangkan secara mendadak harga BTO dengan abaikan kos tanah akan hanya rugikan semua rakyat SG, kata Sim Ann

Anggaran Waktu Membaca:
Kurangkan secara mendadak harga BTO dengan abaikan kos tanah akan hanya rugikan semua rakyat SG, kata Sim Ann

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 12 Dec 2022 07:32AM Dikemas Kini : 12 Dec 2022 08:02PM

SINGAPURA: Mengurangkan "secara mendadak" harga flat Bina Ikut Tempahan (BTO), sehingga mengabaikan kos tanah, akan akhirnya "merugikan semua rakyat Singapura, bukannya membantu mereka", kata Menteri Negara Kanan  Pembangunan Negara Sim Ann pada Ahad (11 Dis).

Beliau mengulas catatan NCMP Leong Mun Wai (PSP) di laman Facebook yang mempersoalkan subsidi Pemerintah bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Encik Leong juga berkata bahawa kos tanah tidak harus dimasukkan semasa menetapkan harga flat HDB, dan Pemerintah hanya perlu mengambil kira kos binaan dan perbezaan harga antara lokasi.

Cik Sim berkata Pemerintah tidak boleh mengabaikan kos tanah jika ia menerima bahawa nilai tanah berbeza-beza di seluruh lokasi.

"Saya membuat kesimpulan bahawa apa yang sebenarnya diminta oleh Encik Leong ialah Pemerintah menetapkan harga BTO jauh lebih rendah, walau apa pun alasannya," tambah beliau.

Pemerintah telah meningkatkan subsidi dan geran jika perlu untuk memastikan harga BTO kekal dimampui dan stabil, walaupun harga jualan semula melonjak 28 peratus dari 2019 hingga 2022, kata Cik Sim.

Menambah lagi subsidi perumahan mesti dipertimbang dengan teliti dan mengambil kira keutamaan perbelanjaan mendesak yang lain. 

Ia bermakna mengurangkan perbelanjaan bagi kepentingan lain seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan, kata Menteri Negara Kanan itu lagi.

"Kita mungkin juga perlu menaikkan cukai untuk membayar subsidi perumahan yang lebih tinggi," katanya.

“Jawapan Encik Leong ialah Pemerintah boleh mengenakan bayaran HDB lebih rendah untuk tanah itu.

“Dengan ini, beliau bermaksud bahawa kita harus mengambil lebih banyak daripada Rizab kita, walaupun beliau mengelak daripada mengatakannya  secara terbuka. Kami telah menjelaskan beberapa kali bahawa tanah negara menjadi sebahagian daripada Rizab negara.

“Sekiranya HDB tidak membayar balik kepada Rizab nilai pasaran tanah itu, kami sebenarnya akan mengurangkan nilai Rizab kami, sehingga menjejaskan generasi sekarang dan akan datang.”

Cik Sim menambah bahawa Pemerintah telah memastikan BTO terus dimampui rakyat Singapura dan akan terus berbuat demikian. Bagi kebanyakan pembeli, nisbah harga rumah kepada pendapatan tahunan (HPI) adalah kira-kira empat hingga lima. Ini bermakna pembeli menggunakan kira-kira empat hingga lima tahun daripada jumlah pendapatan isi rumah untuk membayar flat BTO mereka.

Sebagai perbandingan, nisbah HPI di bandar-bandar global ialah antara lapan kali ganda hingga lebih daripada 20 kali ganda, tambahnya.

Ramai pemilik flat BTO membayar gadai janji mereka menggunakan caruman CPF mereka dan membayar "sedikit atau tiada tunai langsung", kata Cik Sim.

Mereka menggunakan kira-kira 25 peratus atau kurang daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar pinjaman perumahan mereka, katanya, sambil menambah bahawa pemilik di negara lain menggunakan bahagian yang lebih besar daripada gaji mereka.

“Ratusan ribu pemilik rumah yang membeli flat mereka daripada HDB telah menjualnya dengan harga yang lebih tinggi dalam pasaran jualan semula. Mereka tahu harga flat BTO HDB adalah murah,” tulis Cik Sim.

Beliau berkata kebimbangan mengenai kemampuan membeli flat biasanya tertumpu pada unit yang lebih besar, tetapi flat sedemikian sudahpun ditetapkan pada harga "diskaun yang sangat murah untuk pasaran terbuka".

Terdapat bekalan terhad bagi unit sedemikian, dan penetapan harga unit yang lebih rendah akan menarik lebih ramai pembeli, menjadikannya lebih sukar bagi mereka yang baru berkeluarga untuk mendapatkan flat.

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan