Skip to main content

Singapura

Kurang sepertiga kanak-kanak SG berusia 5-11 tahun mempunyai perlindungan minimum terhadap COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kurang sepertiga kanak-kanak di Singapura yang berusia antara lima sehingga 11 tahun mempunyai perlindungan minimum terhadap COVID-19.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (29 Apr).

Setakat 23 April, 81 peratus daripada keseluruhan penduduk tempatan mempunyai perlindungan minimum terhadap penyakit tersebut.

Ini termasuk 28 peratus daripada mereka yang berusia lima hingga 11 tahun, 87 peratus daripada mereka yang berusia 12 hingga 59 tahun dan 89 peratus daripada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, menurut MOH dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp mengenai kadar pengambilan dos penggalak COVID-19.

Menurut MOH, untuk mencapai perlindungan minimum, golongan yang berusia lima tahun dan ke atas sepatutnya menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna atau Novavax. Dos pertama dan kedua seharusnya dijarakkan antara lapan minggu, sementara jarak yang disarankan antara dos kedua dan ketiga adalah lima bulan.

Mereka juga boleh mengambil empat dos vaksin Sinovac.

Tiada dos selanjutnya disarankan bagi kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun. Sejak hujung Oktober tahun lalu, kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut ditawarkan suntikan dos penggalak lima bulan setelah mereka mendapatkan suntikan dos kedua.

MOH menyatakan pada Sabtu (29 Apr) bahawa kebanyakan pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital atau memerlukan bantuan oksigen, belum mendapatkan dos penggalak dalam tempoh setahun yang lalu.

"Sebilangan besar" mereka belum melengkapkan dos vaksin yang diperlukan bagi mendapatkan perlindungan minimum, tambah MOH.

Statistik daripada MOH menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang berterusan dalam purata bilangan harian pesakit yang dimasukkan ke hospital sejak minggu yang bermula dari 15 Mac.

Setakat minggu yang bermula dari 16 April, perangkaan tersebut sudah menjangkaui 300.

Ia berlaku di tengah-tengah peningkatan pada jumlah mingguan jangkitan COVID-19, dengan lebih 27,000 kes dianggarkan pada minggu yang bermula dari 16 April.

Jumlah jangkitan COVID-19 dianggarkan berdasarkan Program Pemantauan Jangkitan Pernafasan Akut Nasional, menurut MOH.

"Perlindungan minimum daripada vaksinasi COVID-19 menyediakan perlindungan yang berterusan dan berkesan terhadap penyakit mudarat dan kemasukan pesakit ke hospital akibat COVID-19," lapor MOH.

DOS PENGGALAK TAMBAHAN BAGI KUMPULAN MUDAH TERDEDAH

Kementerian Kesihatan (MOH) juga menggesa golongan yang mudah terdedah supaya mendapatkan suntikan dos penggalak tambahan pada jarak antara sekitar setahun selepas disuntik dos penggalak yang terakhir.

"Individu berusia 60 tahun dan ke atas, individu yang mudah terdedah dari segi perubatan dan penghuni rumah jagaan warga emas khususnya mudah terdedah kepada sebarang perubahan pada keadaan COVID-19, memandangkan mereka lebih mudah terdedah mengalami penyakit yang memudaratkan, serta COVID-19 yang boleh menjejaskan keadaan perubatan mereka yang lain," tegas MOH.

Golongan sihat yang berusia antara 12 hingga 59 tahun boleh mendapatkan dos penggalak tambahan sekiranya mereka mahu berbuat demikian, tambah MOH.

Setakat 23 April, sekitar 544,000 penduduk yang berusia 60 tahun dan ke atas sudah mendapatkan dos penggalak yang terakhir dalam masa setahun yang lalu.

MOH turut mendedahkan bahawa pihaknya sedang memantau kawasan-kawasan dengan bilangan warga emas lebih tinggi yang layak mendapatkan suntikan dos penggalak tambahan. Ia juga mengerahkan pasukan-pasukan vaksinasi bergerak ke lokasi-lokasi yang terletak berhampiran dengan golongan tersebut, termasuk rumah jagaan warga emas.

Bagi mereka yang mengalami kesukaran untuk bergerak, MOH juga mengerahkan pasukan-pasukan vaksinasi ke kediaman mereka.

Orang ramai juga boleh mengunjungi mana-mana Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) untuk mendapatkan suntikan dos penggalak. Poliklinik-poliklinik dan beberapa Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) juga menawarkan vaksin bivalen Pfizer-BioNTech dan Moderna.

 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita