Kurang separuh penduduk dewasa S'pura sudah tebus baucar SingapoRediscovers jelang tarikh akhir 31 Dis
Kurang separuh daripada penduduk dewasa di Singapura sudah menebus Baucar SingaporeRediscovers mereka, dengan tinggal dua bulan sebelum ia luput selepas 31 Disember.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Kurang separuh daripada penduduk dewasa di Singapura sudah menebus Baucar SingaporeRediscovers mereka, dengan tinggal dua bulan sebelum ia luput selepas 31 Disember.
Setakat 21 Oktober, lebih 1.25 juta rakyat Singapura sudah menggunakan baucar mereka sekurang-kurangnya sekali, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Selasa (2 Nov).
"Secara keseluruhan, sekitar S$256 juta dalam nilai baucar dan peruntukan tambahan dibelanjakan di bawah skim itu," kata Encik Gan dalam jawapan bertulis kepada satu soalan di Parlimen.
Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa setakat 28 Mac, lebih 760,000 rakyat Singapura berusia 18 tahun dan ke atas sudah menebus baucar masing-masing manakala lagi 2.2 juta belum berbuat demikian.
Ini bermakna sekitar 2.96 juta baucar diagihkan kepada penduduk di sini.
Perangkaan itu berdasarkan satu lagi jawapan bertulis oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada ketika itu, April lalu.
Dalam satu lagi kemas kini pada September, Lembaga Pelancongan Singapura menyatakan setakat 1 September, sekitar 1.2 juta rakyat dewasa Singapura sudah menggunakan baucar mereka sekurang-kurangnya sekali.
Pemerintah mengumumkan pada Ogos tahun lalu bahawa ia akan memperuntukkan S$320 juta bagi skim baucar itu, dengan tujuan merancakkan pelancongan tempatan dengan menawarkan baucar bernilai S$100 kepada setiap rakyat dewasa Singapura, yang boleh digunakan untuk penginapan di hotel dan tiket daya tarikan dan wisata di sini.
Baucar itu boleh digunakan dari 1 Disember 2020 hingga akhir Jun 2021. Tarikh akhir bagi penebusan baucar itu kemudian dilanjutkan pada lewat April lalu kepada 31 Disember.
Encik Gan pada Selasa menjawab beberapa soalan yang diajukan Anggota Parlimen Cheng Li Hui (GRC Tampines) yang bertanya tentang kadar penebusan baucar itu.
Cik Cheng turut bertanya sama ada dengan membenarkan rakyat Singapura menebus baucar itu menggunakan kad pengenalan (NRIC) di kelab-kelab masyarakat dan jawatankuasa penduduk sejak Ogos lalu menyebabkan kadar penebusan meningkat.
Beliau juga bertanya jika Kementerian Perdagangan dan Perusahaan akan membenarkan baucar itu digunakan untuk tujuan seperti makan di luar bagi menyokong industri makanan dan minuman dan sama ada tarikh luput baucar itu akan dilanjutkan lagi.
Dalam jawapannya, Encik Gan berkata keupayaan untuk menggunakan kad pengenalan atau dokumen pengenalan lain di kelab-kelab masyarakat dan jawatankuasa penduduk yang terpilih memudahkan sesetengah golongan penduduk seperti warga emas untuk menebus baucar mereka.
"Di samping usaha-usaha lain bagi mempertingkatkan proses penebusan seperti membuka kaunter Baucar SingapoRediscovers di tempat-tempat daya tarikan, lebih ramai penduduk dapat menebus baucar mereka dan menikmati daya tarikan pelancongan di Singapura."
Encik Gan menekankan bahawa skim itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk "meneroka semula daya tarikan Singapura dan menyokong sektor utama pelancongan seperti hotel, daya tarikan dan wisata".
Menerusi cara itu, kaedah tersebut turut memberi manfaat kepada sektor makanan dan minuman kerana kebanyakan daripada perusahaan itu menjalin kerjasama dengan perniagaan pelancongan untuk "menghasilkan pakej bagi menarik penduduk tempatan untuk mengunjungi cawangan mereka".
Berhubung sama ada tarikh akhir penebusan baucar akan dilanjutkan, Encik Gan berkata pihak berkuasa akan terus memantau situasi sebelum mempertimbangkan sama ada tarikh akhir penebusan baucar perlu dilanjutkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.