Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurang peperiksaan, penilaian di sekolah bagi kurangkan penekanan pada keputusan akademik

Sekolah-sekolah rendah dan menengah akan mengurangkan jumlah peperiksaan dan penilaian yang perlu diduduki para pelajar mulai tahun depan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan penekanan terhadap keputusan akademik.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Sep 2018 05:55PM Dikemas Kini : 28 Sep 2018 11:13PM

SINGAPURA: Sekolah-sekolah rendah dan menengah akan mengurangkan jumlah peperiksaan dan penilaian yang perlu diduduki para pelajar mulai tahun depan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan penekanan terhadap keputusan akademik.

Langkah itu, yang diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (28 Sep), akan memberi para pelajar lebih masa untuk menyesuaikan diri semasa "fasa-fasa peralihan utama". Pelajar lebih dewasa juga akan mempunyai lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan subjek-subjek baru dan kandungan lebih mencabar, menurut kementerian itu.

Perubahan-perubahan itu akan dilaksanakan secara bertahap-tahap, bermula dengan penghapusan semua penilaian dan peperiksaan yang diberi timbangan bagi para pelajar Darjah 1 dan 2 mulai tahun depan. Penilaian yang diberi timbangan, menurut MOE boleh dilakukan melalui cara seperti ujian kelas, pembentangan atau projek berkumpulan.

Buat masa ini, para pelajar Darjah 1 tidak menduduki sebarang peperiksaan, namun penilaian yang diberi timbangan diadakan sepanjang tahun. Para pelajar Darjah 2 pula kini melalui penilaian yang diberi timbangan sepanjang tahun serta peperiksaan akhir tahun.

Para pelajar Menengah 1 juga tidak lagi perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun mulai tahun depan. Bermula 2020 dan 2021, peperiksaan itu juga ditiadakan bagi para pelajar Darjah 3, Darjah 5 dan Menengah 3.

Menerangkan lebih lanjut tentang perubahan itu, MOE menyatakan ini merupakan "tahun-tahun peralihan", apabila para pelajar akan didedahkan kepada subjek-subjek baru dengan kandungan lebih mencabar. "Kami ingin menyediakan mereka dengan masa dan ruang yang mencukupi untuk menyesuaikan diri kepada tuntutan kurikulum lebih berat," menurut MOE.

Peperiksaan pertengahan tahun yang ditiadakan sekali gus meluangkan masa kurrikulum sehingga tiga minggu dalam setiap dua tahun. "Sekolah-sekolah boleh menggunakan masa ini untuk membahagikan masa mengajar dan belajar dan memanfaatkan kaedah-kaedah pembelajaran lebih menarik untuk memperdalam pemahaman dan membangunkan keupayaan abad ke-21 dalam diri para pelajar," menurut MOE.

Selain itu, sekolah-sekolah akan mengadakan tidak lebih dari satu penilaian yang diberi timbangan bagi setiap subjek dalam setiap penggal sekolah bagi semua peringkat dari Darjah 3.

Mulai tahun depan, buku laporan juga tidak lagi akan menunjukkan petunjuk akademik tertentu seperti kedudukan pelajar dalam kelas dan tingkatan, menurut MOE lagi.

SEKOLAH SUDAH JALANKAN PERUBAHAN TANPA JEJAS KEPUTUSAN: ONG YE KUNG

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung menyifatkan perubahan-perubahan itu sebagai langkah ke hadapan dalam meningkatkan keseimbangan antara keseronakan belajar dan pendidikan menyeluruh.

"Ia akan memberi satu isyarat kuat bahawa kedudukan kita utuh dan kita mampu mengendur sedikit tanpa menjejas kelakonan," katanya dalam satu sidang media hari ini (28 Sep).

Ini juga akan menggalak para guru untuk meneroka cara-cara mengajar yang lebih optimal, katanya. Misalnya, dengan tambahan tiga minggu kurikulum bagi setiap dua tahun, lebih banyak pembelajaran melibatkan pengalaman atau penyiasatan boleh diadakan.

"Di lapangan, guru-guru berkejar dengan masa, penilaian, dan mempersiapkan para pelajar untuk menduduki peperiksaan," katanya. "Saya rasa tiba masanya untuk berhenti seketika."

Beliau menambah, sebelum pengumuman pada Jumaat, beberapa sekolah sudah mengambil langkah sendiri untuk tidak lagi mengadakan peperiksaan.

"Melihat sekolah-sekolah yang sudah mencubanya, ini tidak menjejas keputusan PSLE, peperiksaan peringkat 'O' atau penempatan sekolah," kata Encik Ong. "Saya yakin, apabila ini dilaksanakan seluruh sistem, hasilnya serupa.

Beliau turut menegaskan pendiriannya tentang sama ada Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) akan dimansuhkan. Dalam satu ucapan Parlimen pada Jun, Encik Ong berkata PSLE masih diadakan atas beberapa "sebab sangat munasabah".

"Saya sudah nyatakan kedudukan kami di Parlimen," katanya sebagai menjawab pertanyaan para wartawan. Beliau menambah, PSLE satu sistem penting bagi menilai kanak-kanak dalam enam tahun pertama pendidikan mereka.

"Menghapuskannya tidak akan membantu."

Beberapa buah sekolah seperti Sekolah Rendah Henry Park dan Sekolah Rendah Anchor Green sudahpun meniadakan penilaian berterusan atau 'Continual Assessments'.

Hasilnya, ia mendapati murid-murid tetap menonjolkan prestasi yang baik kerana proses pembelajaran menjadi lebih tersusun dan bermakna.

"Pengalaman mereka akan lebih mendalam dan lebih autentik. Mereka dapat meluangkan lebih masa dan ruang untuk mengalami pembelajaran yang lebih mendalam. Jadi murid-murid lebih suka ke sekolah, mereka seronok mempelajari sesuatu subjek atau topik," menurut pengetua Sekolah Rendah Anchor Green Norliza A. Rahim.

KRITERIA ANUGERAH AKADEMIK EDUSAVE AKAN DISEMAK SEMULA 

Dengan penilaian yang diberi timbangan ditiadakan untuk Darjah 1 dan 2 mulai tahun depan, MOE juga akan menyesuaikan kriteria akademik untuk memberi Dermasiswa Merit Edusave kepada para pelajar ini serta Anugerah Kemajuan Baik Edusave bagi pelajar Darjah 2 dan 3.

Pemilihan bagi kedua-dua anugerah di peringkat tersebut tidak lagi berdasarkan pencapaian akademik, menurut MOE. Sebaliknya, kriteria kelayakan akan disesuaikan bagi mengiktiraf "orientasi pembelajaran positif" seperti ketekunan, sikap ingin tahu, kolaborasi dan minat terhadap pembelajaran dan kegiatan berkaitan.

Buat masa ini, Dermasiswa Merit Edusave dianugerahkan kepada 25 peratus pelajar tempatan terbaik dari segi akademik di tingkatan dan kursus masing-masing dengan pendapatan keluarga tidak melebihi jumlah yang ditetapkan. Nilai dermasiswa antara S$200 hingga S$500 seorang, bergantung kepada tingkatan pelajar. 

Anugerah Kemajuan Baik Edusave dikhaskan untuk para pelajar Singapura yang tidak menerima sebarang Biasiswa Edusave atau Dermasiswa Merit Edusave, jika mereka di kalangan 10 peratus pelajar terbaik dari segi kemajuan kelakonan akademik dalam tingkatan dan kursus mereka.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan