Kurang pekerja, majikan digalak gajikan petugas jangka pendek seperti SDA, kata Tan See Leng
SINGAPURA: Majikan yang menghadapi masalah kurang pekerja harus pertimbang menggajikan mereka yang melakukan tugas COVID-19 buat jangka pendek, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Isnin (9 Mei).
Ini termasuk mereka yang bekerja sebagai Duta Jarak Selamat (SDA) dan pekerja di pusat vaksinasi.
Bercakap di Parlimen tentang bagaimana syarikat-syarikat boleh membuat penyesuaian terhadap kekurangan tenaga kerja sedang ekonomi negara beransur pulih, Dr Tan berkata pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk meningkat sebanyak 71,300 pada 2021.
Kadar pengangguran dalam kalangan penduduk juga kembali pulih ke paras sebelum COVID.
"Saya rasa terdorong melihat banyak perniagaan dapat membangunkan tenaga kerja tempatan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mereka," kata Dr Tan, sambil menambah bahawa masih terdapat peluang untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan.
PELUANG GAJIKAN PEKERJA TEMPATAN
Setakat April lalu, kira-kira 6,400 pekerja digajikan untuk menjalankan tugas COVID-19 jangka pendek oleh sektor-sektor awam, institusi dibiayai Pemerintah ataupun penyedia khidmat perubatan sektor privet, kata Dr Tan.
Sekitar 1,200 daripada pekerja ini akan "ditugaskan semula bagi peranan jangka panjang", tetapi 5,200 yang lain akan perlu "mencari pekerjaan baru apabila kontrak mereka tamat pada bulan-bulan akan datang".
Oleh itu, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC akan menyediakan "kemudahan pengambilan kerja". Majikan yang berminat untuk mempertimbangkan pekerja-pekerja ini harus menghubungi kedua-dua badan tersebut.
"Kebanyakan pekerja ini adalah dari sektor F&B (makan dan minuman) dan runcit, dengan itu mempunyai kemahiran yang relevan serta berpengalaman," ujar Dr Tan.
Selain itu, majikan juga boleh mempertimbangkan mengambil pelatih yang sudah melalui pelbagai program penempatan di syarikat dan latihan di bawah SGUnited Jobs dan Skills Package, tambah Dr Tan.
"Terdapat 9,800 pelatih yang masih menjalani program mereka setakat akhir Februari 2022 dan mereka juga akan mencari pekerjaan dalam masa terdekat."
Dr Tan mempengerusikan Pasukan Bertindak Pekerjaan, yang bekerjasama dengan agensi-agensi sektor untuk menempatkan pelatih-pelatih ini dalam "peranan sesuai" yang menggunakan "kemahiran dan pengalaman yang diperolehi" melalui program-program tersebut.
Akhir sekali, majikan boleh mempertimbangkan untuk memanfaatkan "kumpulan tenaga kerja tempatan yang lebih besar" dengan menyediakan aturan kerja fleksibel, termasuk "masa fleksibel, tempat fleksibel dan kerja sambilan", kata Dr Tan.
Sebagai contoh, jumlah pekerja sambilan tempatan dalam perkhidmatan F&B kekal "stabil" pada purata sekitar 35,000 sepanjang tempoh lima tahun lalu, dengan 15 peratus daripadanya adalah pelajar.
"Kerja sambilan boleh memberi manfaat kepada kedua-dua majikan yang memerlukan tenaga kerja, dan pekerja yang bukan sahaja memperoleh pendapatan, tetapi juga boleh menimba pengalaman kerja untuk masa depan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.