Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurang orang berkahwin di S'pura pada 2020 disebabkan gangguan COVID-19

Gangguan-gangguan disebabkan oleh pandemik COVID-19 bermakna tidak ramai pasangan berkahwin pada tahun lalu, menurut Jabatan Statistik Singapura hari ini (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kurang orang berkahwin di S'pura pada 2020 disebabkan gangguan COVID-19

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 07 Jul 2021 12:53PM Dikemas Kini : 07 Jul 2021 12:56PM

SINGAPURA: Gangguan-gangguan disebabkan oleh pandemik COVID-19 bermakna tidak ramai pasangan berkahwin pada tahun lalu, menurut Jabatan Statistik Singapura hari ini (7 Jul).

Pandemik itu, termasuk langkah-langkah yang diambil semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan", "mungkin menyebabkan" kurang kes penceraian difailkan, menurut jabatan itu lagi. Pada tahun lalu, Singapura mencatat jumlah terendah perceraian sejak 2006.

PERKAHWINAN

Sebanyak 22,651 perkahwinan didaftarkan tahun lalu, merosot 10.9 peratus berbanding 2019, apabila 25,434 perkahwinan didaftarkan.

"Ini disebabkan oleh gangguan-gangguan disebabkan pandemik COVID-19, termasuk sekatan-sekatan pemutus rantaian jangkitan dan langkah pengurusan selamat yang diekanakn ke atas majlis-majlis pernikahan dan persandingan mulai Mac 2020," menurut jabatan itu.

Singapura melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan antara 7 April dengan 1 Jun tahun lalu bagi membendung penularan koronavirus.

Oleh yang demikian, purata tahunan jumlah perkahwinan dalam tempoh lima tahun lalu adalah 26,255, iaitu lebih rendah berbanding purata tahunan 27,635 perkahwinan yang didaftarkan antara 2011 dengan 2015.

Statistik itu juga menunjukkan bahawa kadar perkahwinan bagi lelaki dan wanita merosot pada 2020 berbanding sedekad lalu.

Purata kadar perkahwinan bagi lelaki adalah 35.7 perkahwinan bagi setiap seribu lelaki bujang berusia 15 hingga 49 tahun pada 2020, berbanding 39.3 pada 2010. Kadar bagi wanita pula adalah 34.9 pada 2020, merosot daripada 35.3 sedekad lalu.

Antara 2010 dengan 2020, usia median bagi perkahwinan pertama meningkat dari 30 tahun kepada 30.4 tahun bagi kaum lelaki dan dari 27.7 tahun kepada 28.8 tahun bagi kaum wanita.

Jurang usia antara pasangan ketika perkahwinan pertama pula semakin mengecil sepanjang sedekad lalu, menurut jabatan itu.

Pada tahun lalu, 42.1 peratus pasangan dalam perkahwinan pertama mereka sama ada sebaya atau berusia jarak setahun - naik berbanding 35.4 peratus pada 2010. Lagi 18.1 peratus pula berusia jarak dua tahun, naik daripada 15.5 peratus dalam tempoh yang sama.

"Pasangan yang jarak usianya sekurang-kurangnya lima tahun berkurangan kepada 19.2 peratus pada 2020, berbanding 28.3 peratus pada 2010," menurut jabatan itu.

PERCERAIAN

Sebanyak 6,959 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan perkahwinan pada tahun lalu, iaitu kemerosotan 8.7 peratus berbanding 7,623 pada 2019, menurut jabatan itu dalam kenyataan medianya.

Antara 2016 dengan 2020, purata tahunan bilangan pembubaran perkahwinan adalah 7,424, kurang sedikit berbanding purata tahunan sebanyak 7,439 sepanjang tempoh lima tahun sebelumnya.

Kadar perceraian umum juga merosot bagi kedua-dua lelaki dan wanita sepanjang sedekad lalu.

Bagi lelaki, terdapat 6.3 duda bagi setiap seribu lelaki yang sudah berkahwin dan berusia 20 tahun ke atas pada 2020, merosot daripada 7.5 pada 2010. Bagi wanita, kadarnya pada 2020 adalah 6.1, kurang daripada 7.2 pada sedekad lalu.

Usia median semasa perceraian pula meningkat sepanjang sedekad lalu, dari 41 tahun pada 2010 kepada 43.2 tahun pada 2020 bagi kaum lelaki dan dari 37.4 tahun kepada 39.5 tahun bagi kaum wanita.

Tempoh median perkahwinan sebelum berakhir dengan perceraian pada 2020 adalah 10.4 tahun, berbanding dengan 10.6 tahun pada 2010.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga selama lima hingga sembilan tahun menyumbang kepada bahagian terbesar - iaitu 29.4 peratus - daripada keseluruhan perceraian pada 2020.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan