Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurang lulusan universiti dapat kerja tetap sepenuh masa pada 2020

Kadar lulusan universiti yang mendapat pekerjaan sepenuh masa secara tetap, enam bulan selepas peperiksaan akhir mereka merosot sekitar 10 peratus pada 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Feb 2021 05:05PM Dikemas Kini : 19 Feb 2021 11:19PM

SINGAPURA: Kadar lulusan universiti yang mendapat pekerjaan sepenuh masa secara tetap, enam bulan selepas peperiksaan akhir mereka merosot sekitar 10 peratus pada 2020 di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Tinjauan Bersama Pekerjaan Siswazah Universiti Berautonomi diadakan secara tahunan mendapati bahawa 69.8 peratus siswazah baru mendapat pekerjaan sepenuh masa secara tetap tahun lalu, berkurangan daripada 81.7 peratus pada 2019.

Tinjauan itu meninjau 11,800 lulusan baru dari program sepenuh masa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Para lulusan ditinjau mengenai status pekerjaan mereka pada 1 Nov 2020, sekitar enam bulan selepas mereka tamat peperiksaan akhir mereka.

"Keenam-enam AU (universiti berautonomi) telah meningkatkan usaha untuk menyokong lulusan mereka di tengah-tengah pandemik COVID-19," kata universiti-universiti itu dalam kenyataan media bersama pada Jumaat (19 Feb).

SEMAKIN RAMAI KERJA SAMBILAN

Dalam kalangan lulusan yang mendapat pekerjaan, kadar peratusan yang bekerja sementara atau sambilan melonjak daripada 7 peratus ke 22.3 peratus, menurut tinjauan itu. Lulusan Program Pelatihan SGUnited membentuk 16.9 peratusan mata daripada perangkaan ini.

Sekitar separuh daripada kumpulan ini mengatakan mereka bekerja sementara atau separuh masa kerana tiada pilihan lain, satu lonjakan berbanding sekitar sepertiga daripada kumpulan ini pada 2019, menurut tinjauan itu.

Kira-kira 1.5 peratus graduan menjadi pekerja bebas, merosot daripada 2 peratus pada 2019.

Secara keseluruhan, 93.6 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah selesai peperiksaan akhir mereka, meningkat daripada 90.7 peratus pada 2019.

Gaji bulanan kasar median dalam kalangan siswazah baru yang bekerja sepenuh masa adalah S$3,700, naik daripada S$3,600 pada 2019, kata universiti-universiti itu dalam satu kenyataan media.

Sama seperti 2019, lulusan bidang teknologi maklumat dan digital, sains kesihatan dan perniagaan mencatatkan peratusan tertinggi bagi pekerjaan sepenuh masa tetap, menurut tinjauan itu.

Kebanyakan kelompok itu tidak melihat perubahan dalam gaji bulanan kasar median, namun mereka yang bekerja dalam bidang seni, reka bentuk dan media, kejuruteraan, serta teknologi maklumat dan digital masing-masing menyaksikan kenaikan sebanyak S$100, S$150 dan S$360 pada 2020.

STATUS PEKERJAAN GRADUAN DALAM TINJAUAN SUSULAN

Dalam satu tinjauan susulan, 827 lulusan dari NUS, NTU dan SMU ditinjau mengenai status pekerjaan mereka pada 1 Nov 2020. Ini dilakukan bagi kursus-kursus yang biasanya memerlukan latihan praktikal pos-siswazah sebelum para siswazah boleh mengamalkan bidang kerjaya mereka.

Lulusan yang ditinjau adalah daripada kelas Senibina 2017, serta kursus-kursus sains bioperubatan dan perubatan Cina, undang-undang, perubatan, dan farmasi yang menamatkan tahun pertama latihan mereka setelah tamat pengajian pada 2019.
Dalam kalangan mereka yang bekerja, 96.8 peratus mendapat pekerjaan setelah selesai latihan mereka tahun lalu, merosot sedikit daripada 98.6 peratus pada 2019, menurut tinjauan itu.

93.5 peratus daripada mereka yang bekerja mendapat pekerjaan sepenuh masa secara tetap, kurang sedikit berbanding 96.4 peratus pada 2019. Lagi 0.3 peratus bekerja secara bebas, berbanding 0.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Kadar mereka yang bekerja sambilan atau sementara juga meningkat kepada 3 peratus, naik daripada 1.6 peratus pada 2019. Lulusan di bawah Program Pelatihan SGUnited membentuk 1.3 peratusan mata daripada perangkaan itu.

Daripada kalangan mereka yang bekerja sambilan atau sementara, sekitar separuh berkata ia dilakukan bukan secara rela.

Gaji bulanan kasar median bagi mereka yang mendapat pekerjaan sepenuh masa secara tetap dalam kumpulan ini merosot daripada S$4,800 pada 2019 kepada S$4,625 pada 2020.

Tinjauan untuk lulusan SIT dan SUTD sedang dijalankan dan akan diterbitkan pada tarikh kemudian, tambah kenyataan media itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan