Kurang keyakinan diri jejas pembangunan belia Melayu/Islam SG: kajian MENDAKI-SUSS
SINGAPURA: Keyakinan diri dikenal pasti sebagai keprihatinan utama di kalangan golongan belia Melayu/Islam.
Faktor itu dikenal pasti sebagai antara jurang dalam pembangunan golongan tersebut.
Demikian menurut dapatan sebuah kajian terbaharu berkenaan pembangunan belia positif yang dijalankan oleh Yayasan MENDAKI dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Kajian itu melibatkan 615 belia berumur antara 13 hingga 17 tahun yang menyertai Program Tuisyen Mendaki (MTS).
PENILAIAN DIRI RENDAH DALAM KALANGAN BELIA
Ketua Penganalisis data di Pejabat Penyelidikan dan Penilaian Program MENDAKI, Zuldanial Anxary Zulkarnain menjelaskan: "'Self-concept' ini adalah bagaimana pelajar menilai diri mereka sendiri. Bagaimana prestasi mereka di sekolah, dalam sukan misalnya serta juga bagaimana mereka menilai diri dan harga diri mereka berbanding rakan-rakan lain."
Encik Zuldanial juga menerangkan bahawa kajian itu dijalankan dalam bentuk soal jawab untuk mendapatkan penilaian para peserta.
Berkenaan isu penilaian diri tersebut, Encik Zuldanial berkata: "Antara soalan yang ada tentang 'self concept' - saya sebijak kawan-kawan saya, saya puas hati dengan keupayaan saya. Mereka secara keseluruhan mendapat skor 3.2 (daripada markah penuh 5.0) jadi ini mencerminkan mereka neutral dengan kenyataan ini. Ini menunjukkan bahawa belia kita bukan tidak yakin, tetapi mereka puas hati dengan keadaan mereka sekarang. Kalau markah 4 atau 5, ia bermaksud mereka sangat yakin tentang diri mereka, mereka bagus, mereka berupaya."
Namun, Encik Zuldanial mengatakan bahawa penilaian diri yang rendah dalam golongan itu tidak mencerminkan pandangan dan penilaian belia Melayu/Islam sepenuhnya.
"Sebelum ini, pernah ada kajian-kajian lain ke atas golongan belia lain dari negara-negara jiran seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand. Isu 'self-concept' ini lebih kurang dalam kalangan golongan belia kita. Ini meskipun belia Singapura lebih berpendidikan berbanding rakan-rakan sebaya mereka dari negara lain tetapi mereka tetap menilai diri mereka lebih rendah," kata Encik Zuldanial.
"Jadi ini menunjukkan bahawa isu ini bukan satu isu Melayu/Islam. Ia bukan satu isu dalam kalangan para pelajar MENDAKI tetapi ia satu isu di dalam konteks Singapura yang perlu kita tinjau lagi dan memahami mengapa golongan belia Singapura secara amnya, mempunyai kurang keyakinan diri berbanding belia di negara-negara jiran lain," jelas Encik Zuldanial.
Penilaian diri merupakan aspek yang paling lemah di antara empat aspek utama dalam penilaian belia positif.
Skor paling tinggi pula dicatatkan bagi aspek 'nilai pro sosial' dengan skor 3.77.
Encik Zuldanial berkata: "Aspek itu yang tertinggi dalam kalangan para peserta MTS. Ini menunjukkan mereka mahu meninggalkan kesan positif untuk masyarakat. Itulah yang menjadi perbezaan ketara dalam kalangan belia Melayu/Islam kita berbanding dengan golongan belia lain di luar negara yang pernah kami jalankan kajian. Belia kita lebih berteraskan kemasyarakatan, mereka ingin membuat perubahan untuk dunia dan mereka rasa bahawa mereka mempunyai sokongan daripada masyarakat berbanding golongan belia lain."
BELIA LELAKI LEBIH YAKIN BERBANDING BELIA PEREMPUAN
Kajian itu juga mendapati beberapa faktor utama yang menjejas pembangunan belia seperti sokongan daripada orang dewasa, mengambil bahagian dalam keputusan keluarga serta adanya peran contoh yang positif dalam hidup mereka.
Beberapa dapatan kajian itu juga dibahagikan kepada segmen berbeza-beza seperti jantina, usia dan saiz isi rumah.
Kajian itu juga mendapati belia lelaki mempunyai keyakinan diri lebih tinggi berbanding belia perempuan.
Dapatan itu, menurut MENDAKI, juga sejajar dengan kajian OECD pada 2018 yang mana golongan belia perempuan didapati mempunyai keyakinan diri yang lebih rendah kerana takut untuk gagal.
Antara lain, belia lelaki pula didapati lebih menghargai kegiatan-kegiatan yang membolehkan mereka menyumbang secara peribadi kepada masyarakat.
Belia perempuan pula menghargai pengiktirafan emosi, peran contoh dewasa yang memberi inspirasi dan mahu idea mereka didengari.
Dari segi saiz keluarga pula, belia daripada isi rumah yang mempunyai lima orang atau kurang dilihat lebih mementingkan penghargaan daripada orang sekeliling dan masyarakat.
Menurut kajian itu, ia berkemungkinan kerana kurangnya interaksi dengan anggota keluarga.
Sementara itu, bagi belia daripada keluarga yang lebih besar, kajian itu menunjukkan tiada satu faktor utama yang secara khusus mempengaruhi tahap keyakinan diri mereka dan lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan untuk memahami golongan ini dengan lebih mendalam lagi.
PANDANGAN PARA PESERTA MENGENAI KAJIAN MENDAKI-SUSS
Dapatan kajian itu dibentangkan kepada lebih 400 pemimpin masyarakat, pengamal pendidikan dan ahli akademik yang menghadiri Simposium MENDAKI 2025 pada Isnin (7 Jul).
Antara mereka termasuk penuntut SUSS, Khalid Abdul Rashid yang berkongsi pengalamannya berinteraksi dengan para belia.
Beliau berkata: "Apabila saya berinteraksi dengan belia dari Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC), saya mendapati bahawa ramai belia kita tidak rasa yakin dan ini adalah salah satu isu yang kami menghadapi yang kami rasa ia harus menjadi fokus supaya mereka dapat terus menjadi individu lebih berjaya."
"Apabila mereka sudah bekerja nanti, sebagai pemimpin komuniti dan pemimpin negara yang akan datang, rasa yakin adalah salah satu aspek yang mereka harus ada supaya mereka akan cemerlang dalam apa-apa bidang," jelas Khalid.
Berkenaan faktor saiz keluarga pula, Khalid sendiri merasakan ia satu faktor yang memang menjejas penilaian dirinya sendiri.
Khalid berkata: "Isi rumah saya amat kecil. Saya tinggal dengan abang saya yang kurang upaya. Jadi saya rasa bahawa rasa keyakinan atau diri saya sendiri amat dihargai dalam keluarga saya tetapi saya pun boleh nampak bahawa individu yang ada dalam rumah tangga yang amat besar tidak dapat. Mereka tidak ada rasa pemerkasaan dalam keluarga mereka. Jadi ini akan menjejas rasa keyakinan mereka juga."
Cik Dinah Marini Ahmad Sanosi yang merupakan Ketua Program Belia di Hab Pembelajaran Islam Dan Pejabat Pengurusan (ILHAM) pula mengalu-alukan usaha menjalankan kajian sedemikian.
Cik Dinah berkata: "Dengan ini, kita diberi ruang untuk mengenali anak-anak murid untuk memahami cara pelajaran mereka. Bagaimana mereka dapat lebih memahami subjek tersebut dan dari situ kita dapat memperkenalkan cara mengajar yang berlainan. Mungkin, kita adakan pembentangan, adakan kerja projek. Jadi, kita cuba menyesuaikan cara belajar lelaki dan cara pelajar perempuan agar tidak akan ada berat sebelah di situ dan semua pelajar dapat kemajuan yang mereka harus capai."
Beliau juga berkata ILHAM akan cuba perkukuhkan program kepimpinan untuk para pelajarnya.
"Kita memberi ruang kepada mereka untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Kita mengajarkan mereka untuk ke depan untuk jadi pemimpin yang kita inginkan. Jadi mereka boleh menjadi satu generasi yang akan berjaya di masa depan nanti," kata Cik Dinah.
Menurut MENDAKI, kajian itu menekankan kepentingan pendekatan yang untuk setiap peribadi dan berteraskan unsur kemasyarakatan dalam pembangunan belia.
Dengan dapatan kajian itu, MENDAKI akan dapat menambah baik program bimbingan belia, program ibu bapa-belia serta acara-acara kemasyarakatan.
Kajian itu yang sedang dalam proses penyelidikan kualitatif dijangka selesai tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.