Skip to main content

Singapura

Kurang kesedaran tentang manfaat program antara cabaran pemimpin masjid SG dampingi belia, warga emas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kurangnya kesedaran tentang kegiatan masjid serta jadual peribadi yang padat dalam kalangan belia serta golongan warga emas menjadi antara cabaran utama yang dihadapi para pemimpin masjid di Singapura dalam usaha mendampingi mereka.

Ini selain keterbatasan ruang kemudahan bagi menganjurkan program-program tersebut.

Demikian dikongsikan para pemimpin masjid semasa acara perhimpunan Sektor Satu Masjid (OMS) 2025 yang diadakan pada Sabtu (22 Nov).

Tumpuan utama sesi tersebut adalah untuk mengukuhkan usaha mendampingi belia dan menyantuni warga emas serta memajukan keupayaan dalam Penjagaan dan Bimbingan Rohani Islam (ISCG).

Sesi selama hampir satu jam itu juga bertujuan untuk memberi penghargaan kepada kemajuan inisiatif Dana Kolaborasi Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) yang diumumkan pada Sidang Puncak OMS pada Februari lalu.
CABARAN DALAM MENDAMPINGI WARGA EMAS & BELIA

Antara yang berkongsi cabaran tersebut ialah pegawai agama di Masjid Khalid, Ustaz Muhammad Abdul Fattah Abdul Rahman.

Beliau menjelaskan bahawa kesibukan harian dan ketidakpastian mengenai manfaat yang boleh diraih daripada sesebuah program itu menghambat warga emas daripada menyertai kegiatan masjid.

"Salah satu cabaran yang kita hadapi di Masjid Khalid secara khususnya adalah komitmennya pada warga emas dan juga belia dalam suatu program kita.

"Mereka tidak mengetahui sama ada program itu sesuai atau memberi manfaat kepada mereka sehingga mereka mencubanya," kata Ustaz Fattah.

Bagi belia pula, beliau berkongsi bahawa pendekatan pembelajaran perlu disesuaikan dengan minat semasa.

"Belia yang tertarik dengan Masjid Khalid selalunya mereka yang lebih fokus kepada mempelajari ilmu agama fardhu ain.

"Jadi kami mendorong pelajar kami untuk hadiri sesi dialog supaya mereka dapat persiapkan diri mereka bukan hanya dengan ilmu daripada kitab, tetapi ilmu untuk mereka berdakwah dalam masyarakat," kata Ustaz Fattah.

Pada masa hadapan, beliau berkongsi bahawa Masjid Khalid sedang dalam perancangan untuk mengadakan lebih banyak kegiatan berdasarkan pemainan realiti maya (VR) untuk menyuntik semangat buat warga emas.

"Kita ada satu permainan maya, iaitu senaman berlari, berenang dan bermain basikal.

"Ia adalah perlawanan antara dua orang dan kami sertai pertandingan maya itu di Hong Kong, dan salah seorang jemaah warga emas kami mendapat tempat kedua. Jadi ia menyuntik semangat buat mereka," tambah beliau.
 
Sesi perhimpunan Sektor Satu Masjid (OMS) 2025 turut menampilkan Presiden Persatuan Pendeta Muslim Amerika Syarikat, Dr Joshua Salaam. (Gambar: MUIS)
KEPERLUAN BERBEZA DALAM KALANGAN WARGA EMAS

Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid Al-Muttaqin, Haniss Ali, berkata bahawa keperluan setiap warga emas itu berbeza.

Oleh itu, ia memerlukan lebih banyak pemahaman untuk mendekati mereka.

"Keperluan setiap warga emas itu berbeza. Ada yang mempunyai keperluan mobiliti, ada perbezaan dari segi ilmu … jadi menentukan pendekatan berbeza itu agak payah.

"Kesedaran warga emas untuk melibatkan diri masih di peringkat awal dan ruang kemudahannya juga perlu dipertimbangkan,” kata Encik Haniss.

Beliau berkata pihak masjid juga giat menilai dan menemu ramah warga emas bagi memenuhi keperluan mereka.

Pengurus Masjid Hasanah, Hizarni Omar, juga berkongsi bahawa pihaknya telah melancarkan sebuah ruang khusus bagi menggalak pembelajaran dan kesejahteraan masyarakat dalam usaha untuk mendampingi warga emas.

"Di ruangan itu juga mereka boleh menyertai aktiviti fizikal ringan seperti zumba berkerusi, berlari-lari anak dan juga beberapa aktiviti lain yang kami adakan seperti membuat kraf tangan," kata Cik Hizarni.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan sesi OMS itu sebagai satu peluang pembelajaran penting.

"Antara manfaat yang kami raih ialah mendalami inisiatif institusi lain.

"Daripada sesi hari ini, ia membuka jalan untuk kami bekerjasama antara institusi terutama dalam modul latihan, kepakaran kakitangan dan peluang sokongan masyarakat," kata Cik Hizarni.

VISI SEKTOR MASJID

Dalam ucapan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim, beliau menekankan pentingnya peranan masjid dalam membentuk kehidupan beragama masyarakat dan menghadapi cabaran era moden.

Beliau menambah bahawa visi beliau adalah untuk menjadikan sektor masjid sebagai ekosistem yang kohesif, terhubung dan memberi kesan.

Ini didorong oleh pemimpin, kakitangan dan sukarelawan masjid yang memainkan peranan dalam memacu perpaduan dan kemajuan masyarakat Islam.

"Dengan visi ‘Sektor Masjid yang Kohesif, Terhubung dan Berimpak’, kita bersedia menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan. Semoga dedikasi dan semangat kerjasama ini terus menjadi sumber kekuatan dalam membimbing ummah ke arah kebaikan," kata Dr Faishal.

Dr Faishal turut memuji usaha-usaha kolaboratif seperti operasi korban, kempen Ramadan dan program QuranSG.

Beliau yakin bahawa melalui kerjasama erat antara pertubuhan-pertubuhan masyarakat, agensi pemerintah dan sektor swasta, masjid akan terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan bagi masyarakat Islam Singapura.

Dalam usaha mengukuhkan hubungan belia dengan masjid, sektor masjid bersama MUIS dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) juga sedang mendalami aspirasi serta kebimbangan generasi muda masyarakat Islam hari ini.
(Gambar: MUIS)
MUIS mengumumkan bahawa sebuah program khusus untuk belia akan dilancarkan mulai tahun depan dengan sokongan CRL.

MASJID MESRA WARGA EMAS

Dengan peningkatan dalam jumlah penduduk warga emas di Singapura, masjid-masjid turut mengorak langkah untuk menyediakan ruang lebih inklusif serta program-program yang menyokong keperluan rohani, mental dan sosial warga emas.

Antaranya adalah program Santunan Emas yang dilancarkan Masjid Al-Muttaqin dengan kerjasama Pusat Penuaan Aktif (AAC) Muhammadiyah dan kedai buku Ma:een.

Program itu menggabungkan pembelajaran agama dan senaman fizikal buat warga emas.

MUIS juga merancang untuk meluaskan program Santunan Emas ke lebih banyak masjid seluruh negara agar lebih ramai warga emas mendapat manfaat pada masa hadapan.
 
Sesi dialog bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar: MUIS) 

EKOSISTEM MASJID SG RAIH PUJIAN

Sesi OMS turut menampilkan Dr Joshua Salaam, iaitu pengarah dan pendeta 'Student Life' di Universiti Duke dan Presiden Persatuan Pendeta Muslim Amerika Syarikat.

Sebelum itu, beliau melawat Masjid Al-Muttaqin pada Jumaat (21 Nov), di mana beliau berkongsi tentang penjagaan akhir hayat dan sokongan buat warga emas dengan para pemimpin Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Darussalam.

Beliau juga menyatakan rasa kagum terhadap ekosistem masjid di Singapura serta pendekatan asatizah tempatan dalam penjagaan rohani.

"Saya dapati sesi dengan Al-Muttaqin dan Darussalam ini sangat memberi inspirasi.

"Semakin banyak yang saya pelajari tentang sistem masjid di sini di Singapura serta bagaimana ia beroperasi dan melaporkan kepada MUIS dan sistem asatizah serta latihan dan pensijilan… ia adalah sistem yang sangat bagus.

"Mempelajari tentang kedua-dua masjid ini dan kerja yang mereka lakukan dengan warga emas, ia adalah organik.

"Saya tahu saya datang ke sini untuk berkongsi tentang konteks Amerika Syarikat ... tetapi saya juga meraih banyak idea untuk masyarakat Islam di Amerika," kata Dr Joshua.

Beliau turut menonjolkan kekuatan unik masyarakat Islam di Singapura, terutamanya dari segi kerjasama dan kesatuan.

"Masyarakat Islam di sini bersatu padu. Terdapat banyak kerjasama yang berlaku. Saya terkejut ada banyak kerjasama yang berlaku meskipun ia bukan sebuah negara dengan majoriti penduduk beragama Islam.

"Itu sesuatu yang saya pelajari yang akan saya cuba terapkan iaitu kemungkinan untuk adakan lebih banyak kerjasama dalam kalangan masyarakat Islam untuk melakukan kebaikan," ujar beliau.

Seramai 250 pemimpin masjid hadir pada acara yang berlangsung di Masjid Al-Amin itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita