Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Kurang bijak' bandingkan sumbangan cendekia Melayu dengan ukur tara intelektual barat

Cendekiawan Melayu boleh datang dari kelompok sasterawan, wartawan, agamawan dan juga budayawan. Mereka tetap lantang bersuara serta berani mencabar 'status quo' dalam masyarakat jika perlu, kata Dr Azhar Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:
'Kurang bijak' bandingkan sumbangan cendekia Melayu dengan ukur tara intelektual barat

Istana Kampong Gelam. (Gambar: NHB)

SINGAPURA: Sumbangan cendekiawan Melayu kepada dunia intelektual berbeza daripada sumbangan cendekiawan Barat, dan "kurang bijak" untuk membandingkan sumbangan cendekiawan Melayu berdasarkan ukur tara pencapaian intelektual dari barat sahaja.

Demikian perkongsian pensyarah Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Azhar Ibrahim dalam satu kuliah awam mengenai cendekiawan Melayu Nusantara.

Dalam ceramah online yang merupakan sebahagian daripada Siri Wacana Warisan anjuran Yayasan Warisan Melayu, Dr Azhar menekankan betapa para intelektual nusantara mungkin bukan dari ahli falsafah atau ilmuan universiti.

Bagaimanapun mereka tetap lantang bersuara dan berani mencabar 'status quo' dalam masyarakat jika perlu.

Intelektual Melayu kata beliau antara lain datang dari kelompok seperti sasterawan, wartawan, agamawan dan juga budayawan.

INTELEKTUAL BERFUNGSI MAMPU LIHAT, TAKRIF, ANALISIS, HURAIKAN MASALAH

Dr Azhar menukil dua cendekiawan Melayu terdahulu iaitu Kassim Ahmad dan Rustam A. Sani, sebagai memenuhi ciri tokoh intelektual yang 'berfungsi'.

Seseorang intelektual yang berfungsi menurutnya mempunyai kemampuan untuk melihat masalah dalam masyarakat dan mentakrif masalah itu sendiri. Beliau juga perlu mempunyai kemampuan untuk menganalisis masalah tersebut dan pada akhirnya memberikan huraian.

"Intelektual itu sendiri mempunyai kemampuan cara pandang ke depan, visionary, dia dapat bayangkan apa yang baik ke depan, apa yang ke depan akan terjadi kalau hari ini kita tidak melakukan sesuatu. Pasti juga dia mempunyai kecermatan pandang ke belakang dengan luar biasa. Cermat, tegas, kritis tetapi bukan menuding seasal boleh.

(Gambar fail Dr Azhar Ibrahim)

"Dia belajar sejarah bukan untuk menuding oh ini salah tetapi membaca yang lepas, baca sejarah untuk membangun supaya ke depan kita tidak mengulangi sejarah yang lepas," terang Dr Azhar.

Pakar akademik itu turut menekankan ciri ketertawanan minda yang tidak seharusnya wujud.

"Masalahnya adalah bukan soal kesetiaan itu tetapi masalah ketertawanan. Contohnya kita, apa yang disebut oleh Rustam (Sani) adalah kalau Inggeris sahaja kalau dia bicara dalam bahasa Inggeris itu mesti bagus. Kalau bicara tentang Melayu ini mesti kampung tidak berkualiti. Itu sifat ketertawanan yang harus ditegur. Dan itu sebenarnya adalah lebih bermasalah", kata beliau.

SEORANG CENDEKIAWAN PERLU ADA KEPEDULIAN SOSIAL: DR AZHAR IBRAHIM

Semasa sesi soal jawab beliau juga ditanya bagaimana untuk menjinakkan anak muda supaya menjadi cendekiawan. Menjawab Dr Azhar berkata ia bukan sesuatu yang boleh dilatih, sebaliknya ia sesuatu yang dipandang oleh masyarakat sekeliling.

"Kita bukan melatih untuk menjadi intelektual. Ia bukan proses seperti itu. Cendekiawan ini dia sendiri tidak mendabik dada. Oh aku adalah intelektual, tidak. Itu diberikan oleh orang luar, bukan dari mereka sendiri. Masyarakat yang mengangkatnya atau kelompok tertentu yang mengangkat dia," jelas Dr Azhar.

Maka itu apa yang perlu dilakukan untuk menghasilkan lebih ramai cendekiawan adalah dengan memberikan pendedahan bukan sahaja dari segi ilmiah tetapi juga menanam sifat kepedulian sosial dan masyarakat.

"Anak-anak muda harus diberikan suasana, kondisi dapat membaca dengan baik, mencerakin dengan baik, merenung dengan baik, ada bahan, ada wacana ada wadah, pendedahan.

"Dan saya rasa ini bukan sahaja dalam bentuk ilmiah. Itu salah sebenarnya. Sebenarnya kepedulian kepada sosial yang lebih besar," tekan beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa