Kurang aduan pelanggan diterima CASE pada separuh pertama 2021
Jumlah aduan yang diterima Persatuan Pengguna Singapura (CASE) sepanjang separuh pertama 2021 merosot berbanding tahun sebelumnya, dedah persatuan itu hari ini (6 Ogos).

Seorang wanita mendapatkan khidmat dandanan rambut. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Jumlah aduan yang diterima Persatuan Pengguna Singapura (CASE) sepanjang separuh pertama 2021 merosot berbanding tahun sebelumnya, dedah persatuan itu hari ini (6 Ogos).
Dari Januari hingga Jun tahun ini, CASE mendapat 7,260 aduan, turun 19.5 peratus berbanding 9,013 aduan yang diterima pada tempoh yang sama tahun lalu.
Kebanyakan aduan melibatkan industri kecantikan dan kontraktor ubah elok, tambah CASE. Kedua-dua industri menyaksikan kenaikan jumlah aduan berbanding 2020 dengan aduan terhadap kontraktor ubah elok naik hampir seganda.
Sebaliknya, bilangan aduan ke atas industri perlancongan, penerbangan, perubatan dan isian ubat-ubatan merosot.

Senarai bilangan aduan yang diterima CASE mengikut industri. (Gambar: CASE)
ADUAN TENTANG MUTU KHIDMAT, PRODUK
Jumlah aduan terhadap industri kontraktor ubah elok naik hampir seganda kepada 621 dari 312 pada tempoh yang sama tahun lalu dengan 48 peratus daripadanya melibatkan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan.
Lagi sepertiga aduan adalah tentang kontraktor yang gagal menyelesaikan projek pada masa yang dijanjikan dan/atau tidak mengikut jadual, menurut CASE.
"Demi melindungi kepentingan mereka, para pelangaan dinasihatkan agar mengelak daripada membuat prabayaran berjumlah besar dan untuk berunding agar membuat bayaran secara bertahap-tahap di setiap peringkat kerja-kerja ubah suai yang sudah selesai dijalankan," tambah CASE.
Ia juga mengesyorkan para pelanggan melantik kontraktor ubah elok yang ditauliahkan oleh CaseTrust, yang dikehendaki melindungi bayaran deposit menerusi pembelian bon prestasi deposit sekiranya syarikat ditutup tanpa dijangka.
CASE juga menerima 627 aduan terhadap industri kecantikan pada separuh pertama 2021, naik 22 peratus berbanding tahun sebelumnya ketika kegiatan tidak penting disekat sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan.
Sekitar suku aduan dibuat adalah mengenai pelanggan yang tidak berpuas hati dengan khidmat yang disediakan oleh spa dan salon kecantikan dengan lagi suku berkaitan "amalan tidak saksama seperti taktik penjualan agresif," menurut CASE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.