Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurang 20% flat sewa kosong ditawarkan kepada penghuni baru; bekalan cukup penuhi permintaan

Daripada sekitar 8,000 flat sewa yang belum dihuni buat masa ini, kurang 20 peratus tersedia untuk digunakan oleh pemohon baru, dedah Menteri Negara Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Selasa (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Mar 2022 05:30PM Dikemas Kini : 01 Mar 2022 08:54PM

SINGAPURA: Daripada sekitar 8,000 flat sewa yang belum dihuni buat masa ini, kurang 20 peratus tersedia untuk digunakan oleh pemohon baru, dedah Menteri Negara Pembangunan Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen pada Selasa (1 Mac).

Beliau bagaimanapun mendedahkan bahawa tiada rancangan untuk menambah bekalan flat sewa kerana jumlah unit sedia ada mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa.

Dr Faishal, yang mendedahkan perangkaan tersebut semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh AP GRC Sembawang Mariam Jaafar, berkata bahawa separuh daripada 8,000 flat sewa kosong itu diperuntukkan bagi para pemilik flat yang terjejas oleh projek-projek pembangunan semula atau bakal menjalani pembangunan semula.

"Lagi separuh diperuntukkan bagi para pemohon baru, dengan dua pertiga daripadanya perlu dipertingkatkan sebelum ia boleh disewakan," katanya.

Beliau menambah kerja-kerja peningkatan bagi flat-flat itu terjejas disebabkan oleh kekangan tenaga kerja angkara pandemik COVID-19.

Bagi mengatasi masalah itu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah melantik kontraktor tambahan untuk menyokong kumpulan kontraktor sedia ada, kata Dr Faishal.

Menurut Dr Faishal, ia akan mengambil masa sebelum flat-flat kosong itu dipadankan dengan para pemohon baru kerana jenis flat, lokasi dan had Dasar Integrasi Etnik (EIP) perlu dipertimbangkan.

Ketua Pembangkang Pritam Singh dari Parti Pekerja (WP) bertanya dalam soalan tambahannya sama ada pemerintah merancang untuk menambah bekalan flat sewa dan berapa lama masa yang diperlukan untuk menyiapkan flat sedemikian sebelum ia diserahkan kepada penghuni seterusnya.

Dr Faishal yang merujuk kepada jawapan Kementerian Pembangunan Negara (MND) kepada pertanyaan di parlimen pada bulan lalu, berkata bahawa masa menunggu tidak sampai setahun dan situasi itu tidak banyak berubah sejak itu.

Mengenai langkah untuk menambah bekalan flat sewa, Dr Faishal berkata jumlah flat sewa yang ada sekarang mencukupi untuk memenuhi permintaan dan pemerintah akan terus memerhati keadaan dengan teliti.

"HDB akan terus mengutamakan dan mempercepatkan peruntukan flat bagi para pemohon yang memerlukan flat sewa dengan segera seperti para pemohon dengan keperluan perubatan atau keadaan luar biasa yang lain," katanya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan