Kurang 20 amah dapatkan bantuan kesihatan mental di institusi awam antara 2022-2024
Kurang daripada 20 pembantu rumah hijrahan mendapatkan bantuan perubatan di institusi jagaan kesihatan awam, poliklinik dan klinik swasta (GP) bagi isu kesihatan mental antara 2022 dan 2024, kata Setiausaha Parlimen Kanan Tenaga Manusia, Shawn Huang pada Rabu (15 Okt).
Seorang pembantu rumah hijrahan dilihat berjalan bersama seorang wanita warga emas pada 31 Oktober 2019. (Gambar fail: CNA TODAY/Najeer Yusof)
- Kurang daripada 20 pembantu rumah hijrahan mendapatkan bantuan perubatan di institusi jagaan kesihatan awam, poliklinik dan klinik swasta (GP) bagi isu kesihatan mental antara 2022 dan 2024, kata Setiausaha Parlimen Kanan Tenaga Manusia, Shawn Huang pada Rabu (15 Okt).
- “Hak undang-undang pembantu rumah hijrahan untuk mendapatkan rawatan perubatan, termasuk bagi keadaan kesihatan mental, dilindungi di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing, yang mewajibkan majikan menanggung perbelanjaan perubatan pembantu rumah hijrahan mereka, termasuk bagi rawatan kesihatan mental,” kata beliau.
- Majikan yang menafikan rawatan perubatan yang diperlukan oleh pembantu rumah hijrahan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
- Pada Disember 2024, Pusat Pekerja Domestik (CDE), sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menandatangani perjanjian dengan pertubuhan tidak raih keuntungan Silver Ribbon (Singapore) bagi mengukuhkan sokongan kesejahteraan mental dalam kalangan pembantu rumah hijrahan.
Berucap di parlimen, Encik Huang menambah bahawa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) belum menemui sebarang kes pembantu rumah hijrahan yang menghadapi rintangan undang-undang ketika mendapatkan bantuan sedemikian.
“Hak undang-undang pembantu rumah hijrahan untuk mendapatkan rawatan perubatan, termasuk bagi keadaan kesihatan mental, dilindungi di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing, yang mewajibkan majikan menanggung perbelanjaan perubatan pembantu rumah hijrahan mereka, termasuk bagi rawatan kesihatan mental,” kata beliau.
Akta tersebut meliputi majikan kepada para pekerja hijrahan serta mana-mana individu yang diberikan pas kerja oleh MOM. Pas kerja ini termasuk pas pekerja, Pas S dan permit kerja.
Majikan yang menafikan rawatan perubatan yang diperlukan oleh pembantu rumah hijrahan boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Majikan berkenaan juga boleh disenarai hitam daripada menggajikan pekerja hijrahan pada masa hadapan.
Dalam satu soalan tambahan, Anggota Parlimen Hamid Razak (PAP-West Coast-Jurong West) berkata beliau menerima maklum balas daripada pembantu rumah hijrahan yang mendakwa menghadapi isu kesihatan mental sebagai alasan untuk mencari pekerjaan kedua, dan bertanya sama ada MOM akan menimbangkan penilaian kesihatan mental sebagai sebahagian daripada pemeriksaan sebelum pengambilan pekerja bagi pembantu rumah hijrahan pada masa depan.
Menjawab pertanyaan itu, Encik Huang berkata sebagai sebahagian daripada pemeriksaan perubatan sebelum pengambilan pekerja, pembantu rumah hijrahan pada masa ini diwajibkan untuk membuat pengisytiharan sekiranya mereka mempunyai masalah kesihatan mental.
“Jika terdapat pengisytiharan positif atau sebarang keraguan bahawa mereka mempunyai masalah kesihatan mental, doktor yang menjalankan pemeriksaan boleh mencadangkan penilaian lanjut, tetapi dengan kos tambahan,” jelasnya.
Pada Disember 2024, Pusat Pekerja Domestik (CDE), sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang ditubuhkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menandatangani perjanjian dengan pertubuhan tidak raih keuntungan Silver Ribbon (Singapore) bagi mengukuhkan sokongan kesejahteraan mental dalam kalangan pembantu rumah hijrahan.
Usaha tersebut dijalankan melalui penyediaan khidmat kaunseling percuma serta bengkel-bengkel kesejahteraan mental, menurut CDE dan NTUC.
Bengkel percuma untuk majikan dalam memberikan sokongan kepada pembantu rumah hijrahan juga disediakan melalui perjanjian tersebut.
“Majikan yang mempunyai kebimbangan terhadap (kesejahteraan) kesihatan mental pembantu rumah hijrahan mereka turut disarankan untuk mendapatkan nasihat perubatan,” kata Encik Huang.
Pembantu rumah hijrahan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian bantuan 24 jam CDE di 1800 2255 233 atau Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) di 6536 2692.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.