Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kurang 10% gerai dibuka pada hari pertama pembukaan semula Pasar Bukit Merah View

Hampir kesemua gerai di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View masih ditutup pada hari pertama ia dibuka semula pada Ahad (27 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir kesemua gerai di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View masih ditutup pada hari pertama ia dibuka semula pada Ahad (27 Jun).

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Pusat itu merupakan kelompok aktif COVID-19 yang terbesar di Singapura dan ditutup selama dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan menyeluruh.

Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View sepatutnya mula berniaga hari ini namun kurang 10 peratus daripada lebih 150 gerai di sana membuka pintunya untuk menyambut pelanggan.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Semasa tinjauan BERITAmediacorp ke kawasan pusat penjaja pada sebelah pagi Ahad, hanya 11 sahaja gerai yang dibuka. Namun hanya satu sahaja yang berniaga - iaitu sebuah kedai roti.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Sebilangan pegerai berkata ramai daripada mereka baru sahaja selesai menjalani kuarantin pada Sabtu (26 Jun) dan belum lagi bersedia untuk melayan pelanggan.

BEKALAN MAKANAN TERPAKSA DIBUANG AKIBAT PENUTUPAN DUA MINGGU

Antaranya ialah pemilik gerai Yamin Nasi Padang, pasangan suami isteri, Encik Mohammad Khail Ishak dan Cik Bahera Misal.

Selepas dua minggu menjalani kuarantin di rumah, pasangan itu kembali ke gerai mereka untuk mencuci dan membersihkannya.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Gerai mereka lazimnya dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat, dari 8 pagi hingga 3 petang.

Namun, sejak membuka gerai mereka lima tahun lalu, inilah kali pertama mereka terpaksa menutupnya selama dua minggu.

"Sebelum kena kuarantin ini pun sudah terjejas apatah lagi sekarang sudah dua minggu tutup mestilah tidak ada pendapatan. Saya gunakan duit simpanan untuk buat modal perniagaan esok," kata Cik Bahera.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Penutupan pusat itu secara mendadak dan tempoh penutupan yang kemudiannya dilanjutkan lagi menyebabkan pasangan itu kerugian antara S$400 hingga S$500 dari segi bekalan yang sudah dibeli.

"Saya kena buang barang-barang saya yang tak pakai itu sebelum saya tutup gerai, kena buang barang yang di luar seperti ayam, daging, semua sayur, semua kena buang, bihun semua kena buang, semua barang-barang masak yang saya sudah keluarkan sebelum kena kuarantin itu kena buang semua," jelas Cik Bahera.

(Gambar: Syawal Yusoff/BERITAmediacorp)

Meski pendapatan seharian mereka terjejas lebih 50 peratus sejak COVID-19 melanda, Encik Khail dan Cik Bahera tetap bersifat positif untuk menerima semula pelanggan.

"Harapan saya mudah-mudahan pelanggan saya yang sebelum ini datang semula," tambah Cik Bahera.

LANGKAH KESELAMATAN DIPERTINGKAT, KEMBALIKAN KEYAKINAN PELANGGAN

Bagi menjadikan pusat itu lebih selamat, beberapa langkah keselamatan baru diperkenalkan.

Ini termasuk lebih banyak tanda di lantai untuk pelanggan beratur.

Setiap gerai diberikan kod QR tersendiri untuk pelanggan mendaftar masuk dan keluar menggunakan aplikasi TraceTogether.

Semua langkah tambahan itu diharap dapat mengembalikan keyakinan para pelanggan.

LEBIH BANTUAN UNTUK PEGERAI

Bagi membantu para pegerai pula, mereka diberi pelepasan sewa dan subsidi bagi kerja pembersihan semasa pandemik.

"Saya telah membuat pemohonan kepada majlis bandaran untuk memberi pelepasan yuran perkhidmatan dan penyenggaraan ketika pasar dan pusat penjaja ditutup. Saya sangat berterima kasih kerana majlis bandaran bersetuju kerana ini akan membantu meringankan beban kewangan penjaja dan pegerai kita," kata Cik Pereira.

Dalam pada itu, majlis bandaran juga membantu para penjaja beralih ke wadah penghantaran makanan sehingga keadaan kembali seperti sediakala.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan