Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kuota VTL bergantung kepada situasi COVID-19 di S'pura & M'sia, kata Pesuruhjaya Tinggi S’pura

Singapura dan Malaysia sedang mengadakan rundingan bagi membolehkan lebih ramai rakyat melakukan perjalanan melalui Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), namun keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada situasi COVID-19 di kedua-dua negara, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon pada hari ini (28 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Kuota VTL bergantung kepada situasi COVID-19 di S'pura & M'sia, kata Pesuruhjaya Tinggi S’pura

Suasana di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada pagi 29 Nov 2021 sedang VTL antara Singapura dengan Malaysia dilancarkan. (Gambar: Zhaki Abdullah)

KUALA LUMPUR: Singapura dan Malaysia sedang mengadakan rundingan bagi membolehkan lebih ramai rakyat melakukan perjalanan melalui Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), namun keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada situasi COVID-19 di kedua-dua negara, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon pada hari ini (28 Jan).

Menurut Encik Menon, beliau "menaruh harapan" kuota VTL akan dinaikkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

Singapura dan Malaysia melancarkan VTL udara dan darat pada November tahun lalu.

VTL udara adalah antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, manakala VTL darat pula adalah menerusi Seberang Tambak melalui bas.

Pada Disember lalu, kedua-dua negara membekukan penjualan tiket baru untuk penerbangan dan perjalanan bas VTL antara 23 Disember tahun lalu dengan 20 Januari tahun ini di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan varian Omicron.

Penjualan tiket bagi VTL udara dan darat mulai 21 Januari dihadkan pada 50 peratus daripada kuota yang diperuntukkan.

“Kami kini sudah mengurangkan kuota sebanyak 50 peratus, langkah seterusnya mungkin untuk menimbangkan sama ada kami boleh meningkatkan jumlah itu. Saya fikir ia adalah satu perkara yang logik untuk dilakukan,” kata Encik Menon selepas mengadakan rundingan dengan pengerusi Bernama.

“Sama ada itu atau kembali kepada 100 peratus seperti sebelum ini, tetapi sama ada kita boleh melakukannya, saya tidak pasti. Kita perlu melihat perkembangannya. Kita semua berharap ia akan terlaksana."

Pada 7 Januari, Menteri Pengangkutan Malaysia Wee Ka Siong berkata penilaian selanjutnya terhadap kapasiti VTL akan dilakukan "dalam masa beberapa minggu akan datang".

Pada 21 Januari, Singapura mengumumkan bahawa rejim ujian untuk para pelawat VTL yang memasuki Singapura melalui perjalanan udara dan darat akan dipermudahkan.

Mulai jam 11.59 malam pada 23 Januari, para pelawat VTL hanya dikehendaki melakukan ujian pantas antigen (ART) kendiri tanpa diselia jika mereka perlu meninggalkan tempat penginapan mereka dari hari kedua hingga ketujuh ketibaan mereka di sini.

Encik Menon turut menarik perhatian bahawa permintaan bagi perjalanan sedemikian sudah meningkat menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

“Saya diberitahu bahawa kebanyakan penerbangan terutamanya untuk bulan Februari semuanya sudah ditempah. Mungkin kerana orang Cina berulang-alik ke Singapura dan Malaysia (untuk Tahun Baru Cina).

"Tetapi secara umumnya ramai orang gembira mendapat peluang dan pilihan untuk melakukan perjalanan tanpa dikuarantin," ujarnya.

Mengenai situasi COVID-19 di Singapura, Encik Menon berkata beliau yakin rakyat Singapura mematuhi peraturan untuk membendung penularan virus itu.

"Akan ada beberapa sekatan, tetapi saya fikir kita perlu akur bahawa sesetengah sekatan ini akan dikekalkan untuk beberapa waktu akan datang, seperti memakai pelitup," kata Encik Menon.

Sumber : CNA/KF/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan