Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kuota COE bagi Kategori A dan B dijangka naik; LTA buat penyesuaian bagi kurangkan naik turun bekalan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 May 2023 03:12PM Dikemas Kini : 08 May 2023 10:26PM
SINGAPURA: Kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta dalam Kategori A dan B akan ditambah dalam masa beberapa suku akan datang.

Ini sedang Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) membuat penyesuaian sekali saja bagi mengurangkan naik turun bekalan.

Bagi suku dari Mei hingga Julai, kuota COE akan dinaikkan dari 9,575 kepada 10,431, umum LTA pada Isnin (8 Mei).

Kategori A akan mempunyai peningkatan kuota sebanyak 24 peratus, manakala Kategori B akan menyaksikan penambahan sebanyak 15 peratus bagi baki lima pusingan bidaan untuk suku ini.

"LTA akan mempercepatkan proses untuk membatalkan pendaftaran COE yang sudah dijamin - yang memiliki tempoh lima tahun dan tidak boleh dilanjutkan lagi - yang bakal tamat tempoh apabila bekalan dijangka menjadi lebih tinggi dan membahagi-bahagikannya bagi suku-suku akan datang," menurut agensi itu dalam kenyataan medianya.

Sekitar 6,000 COE sedemikian akan diperuntukkan semula secara beransur-ansur bagi suku-suku akan datang, bermula bidaan yang bermula 15 Mei.

Langkah itu diambil sedang harga COE bagi kereta mencecah paras rekod sejak beberapa minggu lalu, dengan harga bagi Kategori A untuk kereta kecil menjangkaui $100,000 buat pertama kali pada 19 April.

Harga Kategori B bagi kereta lebih besar dan berkuasa dalam kategori tersebut naik ke paras rekod setinggi S$120,889 pada 19 April.

Kategori Terbuka COE, yang akan digunakan bagi sebarang jenis kenderaan tetapi akhirnya digunakan sebahagian besarnya bagi kereta besar, mencapai paras tertinggi S$118,990 dalam bidaan yang sama.

Meskipun premium sudahpun susut bagi tender terbaru pada 4 Mei, para penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa harga COE dijangka terus berada di paras yang tinggi buat masa ini sedang bekalan kekal terhad dan permintaan terus kukuh.

Menyampaikan Kenyatan Menteri di Parlimen pada Isnin, Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata Singapura "mesti menjangkakan trajektori jangka panjang bagi harga COE akan terus meningkat".

Ini di tengah-tengah pendapatan isi rumah yang kian meningkat dan dasar pertumbuhan sifar bagi jumlah kereta di negara ini.

Meskipun LTA melakukan penyesuaian sekali saja pada kuota COE bagi Kategori A dan B, Encik Iswaran berkata: "Saya mahu memberi penekanan kepada dua aspek.

"Pertama, ini akan membantu mengurangkan, tetapi ia tidak akan menghapuskan naik turun bekalan. Masih akan ada turun naik bekalan disebabkan oleh faktor sejarah dan keadaan pasaran lebih meluas.

"Kedua, trend jangka panjang yang kian meningkat bagi harga COE disebabkan pendapatan yang semakin meningkat dan pertumbuhan sifar bagi jumlah kenderaan tidak akan berubah."

LTA mendedahkan dalam kenyataan medianya bahawa langkah baru itu tidak merubah Kadar Sifar Pertumbuhan Kenderaan bagi jumlah kereta secara keseluruhannya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan