Skip to main content

Singapura

Kuota 407 jemaah S'pura belum diisi sepenuhnya pada hari terakhir pemilihan pakej haji

Anggaran Waktu Membaca:
Kuota 407 jemaah S'pura belum diisi sepenuhnya pada hari terakhir pemilihan pakej haji

Para jemaah melakukan solat jemaah di Masjidil Haram. (Gambar: Facebook/Haramain)

BERITAmediacorp: Slot bagi menunaikan haji bagi jemaah Singapura tahun ini, masih belum diisi sepenuhnya setakat semalam (8 Mei).

Ini setelah ada dalam kalangan jemaah yang sudah menerima Surat Tawaran daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), tidak mendaftar dan membeli pakej haji mereka.

Mereka sepatutnya melakukan demikian selewat-lewatnya pada Ahad (8 Mei).

Menurut sebilangan GSA yang dihubungi BERITAmediacorp, kira-kira 40 hingga 50 slot masih belum terisi.

BERITAmediacorp cuba mendapatkan pengesahan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) namun ia tidak dapat memberikan sebarang butiran.

Secara keseluruhannya, kuota yang diperuntukkan untuk jemaah Singapura tahun ini adalah sebanyak 407 orang.

Dengan kira-kira 350 jemaah yang sudah membeli pakej mereka setakat semalam (8 Mei), ini bermakna sekitar 90 peratus slot jemaah Singapura untuk Haji tahun ini sudah terisi.

MUIS juga belum memberi penerangan lanjut tentang langkah-langkah seterusnya yang akan diambil bagi mengisi sepenuhnya kuota 407 jemaah itu.

TIDAK SEMUA JEMAAH DAPAT TERUSKAN NIAT KERJAKAN HAJI TAHUN INI

Menurut beberapa GSA yang dihubungi BERITAmediacorp, ada jemaah mereka daripada musim haji 2020, tidak dapat memenuhi panggilan haji tahun ini.

Selain komitmen kerja, isu kos juga menjadi halangan kepada beberapa jemaah daripada mengerjakan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Antara sebab lain juga termasuk bakal jemaah tidak dapat membayar sepenuhnya harga pakej menjelang hari terakhir pemilihan pakej Haji - syarat yang ditetapkan MUIS dalam Surat Tawaran yang dikeluarkan.

"Kos yang harus ditampung para jemaah tahun ini agak tinggi berbanding tahun sebelum pandemik. Anggarannya sudah mencecah $13,000 dan ke atas. Para jemaah bukan pergi seorang diri, ada yang pergi suami isteri. Ini pun tidak termasuk kos Masyair," terang Pengurus Hahnemann Travel, Ustaz Muhammad Hisyam.

Atas sebab-sebab tersebut juga, Hahnemann Services & Travels misalnya mendapati sekurang-kurangnya 4 daripada jemaahnya tidak dapat menunaikan ibadat Haji tahun ini.

Ustaz Muhammad Hisyam berkata: "Sebab yang paling utama adalah waktu terhad dan usia. Inilah antara sebab yang menyebabkan para jemaah ingin menunaikan ibadat haji pada tahun ini harus membatalkannya. Ada yang suami boleh pergi, isteri tak boleh pergi, ada yang isteri boleh pergi, suami tak boleh pergi."

Pihak Hamidah Travel & Tours pula mendapati sekurang-kurangnya dua jemaahnya tidak dapat mengerjakan haji tahun ini kerana usia pasangan masing-masing melebihi had usia yang ditetapkan kerajaan Saudi bagi musim haji kali ini iaitu 65 tahun.

Atas sebab itu juga, jemaah-jemaah tersebut memutuskan untuk menundakan ibadah haji masing-masing, dengan harapan had usia 65 tahun untuk jemaah luar negara akan ditarik balik Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk musim haji tahun depan.

"Undangan untuk menunaikan Haji yang disampaikan MUIS, pada hari Rabu (5 Mei) dan mereka ada hanya 3 hari untuk memberikan keputusan mereka. Jadi itu perkara yang mereka harus ketengahkan - tempat kerja, cadangan kepada keluarga misalnya siapa nak jaga anak dan sebagainya dan kewangan," tambah Ustaz Muhammad Hisyam.

Pihak GSA juga bersedia untuk menerima tambahan jemaah baru bagi mengisi sepenuhnya kuota yang diperuntukkan bagi jemaah Singapura.

Menurut Ustaz Muhammad Hisyam, ini termasuk "sudah menempahkan tempat kapal terbang dan bilik-bilik hotel".

Empat GSA juga mengesahkan kepada BERITAmediacorp bahawa kesemua jemaah yang sudah menandatangani pakej Haji mereka setakat 8 Mei lalu adalah para jemaah yang berdaftar untuk musim haji 2020.

Mereka terpaksa menunda pelaksanaan ibadah haji mereka selama dua tahun kerana ia tidak dibuka kepada jemaah antarabangsa akibat COVID-19.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita