Kuota 407 jemaah Haji S'pura tahun ini, 45% dari jumlah rasmi sebelum ini
SINGAPURA: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memperuntukkan kuota 407 bagi jemaah Haji Singapura tahun ini. Jumlah tersebut adalah sekitar 45 peratus daripada kuota rasmi 900 jemaah sebelum ini.
Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan media hari ini (26 Apr).
Memandangkan Haji 2020 dan 2021 ditangguhkan bagi jemaah Singapura, MUIS akan memperuntukkan semula had kuota bagi tahun ini kepada para jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadah tersebut pada tahun 2020 dan kini menepati syarat-syarat yang diperlukan untuk Haji 2022.
Jemaah lain yang sudah berada di bawah Sistem Pendaftaran Awal akan secara automatik ditetapkan untuk menunaikan ibadah Haji pada tahun-tahun berikutnya. Kelayakan semua jemaah untuk menunaikan Haji setiap tahun tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa relevan Saudi, menurut MUIS.
MUIS juga sudah menghubungi para jemaah yang terjejas dengan penangguhan Haji pada 2020 dan 2021 untuk mendapatkan status vaksinasi dan mengemas kini butiran lain, seperti nombor telefon dan alamat emel. Para jemaah juga ditanya sama ada ingin melaksanakan haji tahun ini.
"Ini sebahagian dariapda usaha MUIS untuk memastikan para jemaah bersiap sedia, kekal fleksibel dan bersedia dari segi rohani, fizikal, mental dan kewangan supaya dapat menunaikan haji mereka," menurut MUIS.
Para jemaah yang belum memberikan respons kepada MUIS diminta untuk berbuat demikian sebelum 29 April 2022. Sekiranya gagal, mereka secara automatik akan disenaraikan sebagai calon jemaah haji pada tahun-tahun akan datang.
SENARAI JEMAAH DAN GSA HAJI DIUMUMKAN KEMUDIAN
Senarai GSA (ejen penjualan pakej haji dan umrah) serta harga pakej haji yang diluluskan akan diumumkan pada 4 Mei 2022.
Buat masa ini, MUIS sedang melantik GSA yang diluluskan bagi Haji 2022 dan sedang memuktamadkan pakej-pakej Haji bagi para jemaah.
Muis juga sedang mengesahkan senarai jemaah yang menepati syarat-syarat untuk menunaikan Haji 2022 dan akan mengeluarkan Surat Tawaran Rasmi pada 2 Mei 2022.
Jemaah yang layak akan dimaklumkan menerusi SMS untuk menyemak emel, meminta mereka memeriksa butiran pengambilan Surat Tawaran mereka daripada MUIS.
PEMBELIAN PAKEJ HAJI, PERLINDUNGAN INSURANS
Selepas menerima tawaran rasmi daripada MUIS, para jemaah perlu membeli pakej haji mereka daripada GSA yang diluluskan dalam masa tiga hari.
Para jemaah amat digalakkan untuk membeli insurans pelancongan yang merangkumi pembiayaan perubatan mereka di Saudi dan sekiranya perjalanan mereka ke Saudi dibatalkan atau disingkatkan disebabkan keputusan positif ujian PCR.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa para jemaah haji perlu menunjukkan bukti keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat.
PERSEDIAAN AWAL BAGI PARA JEMAAH
Para jemaah yang akan berangkat menunaikan Haji dinasihatkan supaya menyediakan dokumen-dokumen perjalanan berikut sebelum membeli pakej Haji mereka:
- Pasport yang sah (sah untuk 6 bulan sebelum hari berangkat)
- Gambar pasport berwarna (4cmx6cm)
- Sijil vaksinasi COVID-19 (www.notarise.gov.sg)
- Sijil vaksinasi meningitis meningokukus
- Sijil vaksinasi demam selesema musiman (Disarankan)
"Bagi pihak masyarakat Muslim Singapura, MUIS amat menghargai usaha Kerajaan Arab Saudi (KSA) untuk memberi jemaah asing kebenaran menunaikan ibadah Haji sekali lagi dan komitmen KSA untuk mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan para jemaah semasa menunaikan rukun Islam yang kelima," menurut Muis.
Kementerian Haji dan Umrah Saudi sebelum ini mengumumkan bahawa musim Haji 2022/1443H akan dibuka kepada sejuta jemaah, yang mana 850,000 daripadanya adalah jemaah antarabangsa.
Kementerian itu juga mengumumkan bahawa hanya jemaah berusia 64 tahun dan ke bawah sahaja dibenarkan melasanakan Haji.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.