Kumpulan Wira dari RP kekal Piala Suara Serumpun buat kali keenam
Pasukan dari Politeknik Republic iaitu kumpulan Wira berjaya dinobatkan sebagai juara pertandingan dikir barat, Piala Suara Serumpun 2023.
(Gambar: Syawal Yusoff)
SINGAPURA: Pasukan dari Politeknik Republik iaitu kumpulan Wira berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan dikir barat, Piala Suara Serumpun 2023.
Ini sekali gus menjadikannya kemenangan kali keenam pasukan itu, empat kali sebagai juara keseluruhan.
Edisi ke-14 kemuncak pertandingan dikir barat antara Institusi Pengajian Tinggi (IHL) itu diadakan di Kolej Timur ITE pada Ahad (15 Okt).
Tahun ini, ia menyaksikan persaingan sengit antara 22 pasukan lelaki dan wanita yang berentap untuk merebut gelaran juara.
"Keakraban yang kami selalu ada, sentiasa rapat dengan satu sama lain, saya rasa itulah kunci (kejayaan) kami. Jurulatih saya selalu berpesan, kerja keras sentiasa mengatasi bakat. Dan kami berusaha dan bekerja keras, inilah hasil yang kami dapat," kata wakil kumpulan Wira, Mohamed Shukry Abdul Halim.
Semangat itu turut dikongsi pemenang Tempat Pertama bagi kategori wanita, kumpulan Ardwinda.
Pasukan dari Kolej Tengah ITE itu yang juga menjuarai kategori tersebut buat tiga tahun berturut-turut itu menjadikan usaha untuk mempertahankan takhta sebagai pembakar semangat.
Seperti Wira, mereka juga mula berlatih sejak empat bulan yang lalu dan berlatih setiap hari menjelang hari pertandingan.
"Setiap tahun yang kami memang, tahun yang selanjutnya, kami dahagakan kemenangan dan itulah satu perkara tentang kami iaitu kami sangat 'possesive' untuk mempertahankan gelaran kami. Kami betul-betul tidak hendak orang lain ambil. Jadi saya rasa itulah sebahagian dari kekuatan kami juga," kata wakil kumpulan, Siti Aisyah Mohammad Zuhairi, yang turut memenangi 'Tukang Karut Terbaik - Wanita' buat tiga tahun berturut-turut.
PRESTASI PARA PESERTA TAHUN INI CUKUP MEMUASKAN
Menurut penganjurnya, Serumpun DKSG, prestasi yang ditampilkan para peserta tahun ini cukup memuaskan dari segi penulisan senikata dan persembahan.
"Pada tahun ini tema yang diberi ‘Anak Watan Belia Berbakti, Masyarakat Berwawasan’. Tujuan tema ini untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar untuk menulis tentang diri mereka, tentang belia-belia dan bagaimana belia dapat mencorak masyarakat di masa hadapan.
"Jadi pada hari ini kami dapat melihat dari segi persembahan, senikata bagaimana berbezanya dan keunikan setiap kumpulan itu. Bukan sahaja dari segi senikata tetapi dalam juga penggunaan prop dan cara-cara yang berbeza untuk menyampaikan mesej. Jadi pada saya kesemua 22 (kumpulan) amat unik dalam cara tersendiri," kata Pengerusi Serumpun DKSG, Ahmad Syafiq Moklas.
KERJASAMA BERSAMA MEDIACORP
Menurut Encik Syafiq, seperti pemenang tahun-tahun yang sebelumnya, para pemenang tahun ini juga akan berpeluang untuk membuat persembahan-persembahan di acara-acara kesenian yang lain.
Buat julung-julung kalinya juga, acara itu disokong Mediacorp dan penstriman acara hari ini disiarkan secara langsung melalui wadah mewatch.
Ia sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh Mediacorp untuk menyokong acara-acara berunsur kesenian dan warisan.
"Kerjasama sulung ini di antara Serumpun DKSG dan Mediacorp bukan hanya untuk meraikan seni dan budaya malah kerjasama ini adalah untuk menyebarluaskan seni budaya dengan identiti Singapura melalui penyebaran ini di semua platform Mediacorp.
"Kalau kita lihat penyertaan anak-anak muda kita kali ini, sangat ghairah, saya rasa sangat teruja untuk terus melestarikan seni budaya ini di Singapura di masa-masa akan datang," kata Ketua, Hubungan Masyarakat Melayu, Mediacorp, Sujadi Siswo.
Bagi yang terlepas menyaksikannya secara langsung, rakaman pertandingan Piala Suara Serumpun 2023 akan ditayangkan pada 4 dan 5 November ini, 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria dan mewatch.
DIKIR BARAT PUPUK MINAT KEPADA BUDAYA, BAHASA MELAYU
Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman yang menyerikan acara sebagai tetamu terhormat turut menyokong usaha tersebut dalam melestarikan seni budaya Melayu, khususnya di kalangan anak muda.
"Seni dikir barat bukanlah seni bercorak hiburan semata. Melalui dikir barat, golongan belia diperkenalkan kepada kemahiran hidup atau 'life skills' yang relevan dan penting dalam kehidupan seharian. Mereka perlu disiplin berlatih, bertanggungjawab menghadiri sesi latihan tanpa lengah berlengah, memikul amanah masa yang diagihkan semua anggota pasukan, meraikan usaha kolaboratif, bekerja secara berkumpulan serta memperkasakan keyakinan diri apabila berdepan dengan orang ramai," kata Dr Maliki.
Beliau turut menekankan kepentingan seni dikir barat itu dalam usaha untuk memupuk minat kepada penggunaan Bahasa Melayu.
"Dikir barat juga terus mendekatkan para penuntut kita serta penggiat seni ini kepada keistimewaan bahasa serta budaya Melayu. Penggunaan bahasa Melayu di kalangan anak muda kita sudah melihat trend yang membimbangkan. Kegiatan seni seperti dikir barat diharapkan dapat terus meningkatkan minat, penghargaan dan penggunaan bahasa Melayu di kalangan anak muda kita," ujar Dr Maliki.
Senarai penuh pemenang Piala Suara Serumpun 2023:
Johan - Piala Keseluruhan: Wira (Politeknik Republik)
Tempat Pertama Wanita: Ardwinda (Kolej Tengah ITE)
Tempat Kedua Wanita: Endang Ratiana (Politeknik Republik)
Tempat Ketiga Wanita: Dewi Samudera (Universiti Teknologi Nanyang)
Tempat Pertama Lelaki: Wira (Politeknik Republik)
Tempat Kedua Lelaki: Sang Wira (Politeknik Republik)
Tempat Ketiga Lelaki: Nusa Sarjana (Universiti Teknologi Nanyang)
Juara Terbaik - Lelaki: Wira (Politeknik Republik)
Tukang Karut Terbaik - Lelaki: Wira (Politeknik Republik)
Awak-Awak Terbaik - Lelaki: Wira (Politeknik Republik)
Paluan Terbaik - Lelaki: Wira (Politeknik Republik)
Juara Terbaik - Wanita: Ardwinda (Kolej Tengah ITE)
Tukang Karut Terbaik - Wanita: Ardwinda (Kolej Tengah ITE)
Awak-Awak Terbaik - Wanita: Endang Ratiana (Politeknik Republik)
Paluan Terbaik - Wanita: Endang Ratiana (Politeknik Republik)
Piala Khas Pilihan Penaja - Juara Harapan Lelaki: Keturunan Putera (Politeknik Singapura)
Piala Khas Pilihan Penaja - Juara Harapan Wanita: Endang Ratiana (Politeknik Republik)
Piala Khas Pilihan Penaja - Paluan Harapan Lelaki: Betara Karisma (Politeknik Nanyang)
Piala Khas Pilihan Penaja - Paluan Harapan Wanita: Nuswidya (Universiti Nasional Singapura)
Piala Nayla - Lagu Terbaik Pilihan Juri (Keseluruhan): Wira (Politeknik Republik)
Anugerah Khas Tinta Kelkatu - Seni Kata Terbaik Lelaki: Wira (Politeknik Republik)
Anugerah Khas Tinta Kelkatu - Seni Kata Terbaik Wanita: Sutera Madura (Kolej Timur ITE)
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.