Skip to main content

Singapura

Kumpulan terakhir dengan 4 bakal calon diperkenalkan PAP; 27 muka baru kesemuanya

Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Jumaat (26 Jun) memperkenalkan kumpulan terakhir dengan empat bakal calon, kesemuanya seramai 27 muka baru yang ditampilkan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan terakhir dengan 4 bakal calon diperkenalkan PAP; 27 muka baru kesemuanya

(Gambar: PAP)

Diterbitkan : 26 Jun 2020 02:39PM Dikemas Kini : 26 Jun 2020 05:21PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Jumaat (26 Jun) memperkenalkan kumpulan terakhir dengan empat bakal calon, kesemuanya seramai 27 muka baru yang ditampilkan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk seorang pengasas perusahaan sosial yang membantu golongan wanita dan seorang bekas juruterbang jet pejuang Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).

Sebanyak 93 kerusi akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum kali ini yang akan diadakan pada 10 Julai. PAP memperkenalkan 24 muka baru menjelang Pilihan Raya Umum 2015, yang menyaksikan 89 kerusi dipertandingkan.

Empat bakal calon diperkenalkan oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, yang juga penolong setiausaha agung kedua PAP.

Apabila ditanya tentang kepelbagaian pada para bakal calon PAP kali ini, Encik Chan berkata parti itu berharap dapat memikat bakal calon daripada berbagai lapisan masyarakat untuk tampil dan mewakili keperluan kesemua rakyat Singapura.

"Apa yang menyatukan mereka adalah semangat yang membara untuk berkhidmat untuk Singapura bukan setakat membantu rakyat Singapura mengatasi cabaran yang dihadapi sekarang, tetapi juga untuk membawa Singapura ke peringkat seterusnya dan membezakan diri kita daripada para pesaing yang lain," katanya kepada para wartawan semasa sidang media.

Menurut Encik Chan, Parti Pekerja (WP) juga membuat perancangan untuk proses pembaharuan parti, sambil merujuk kepada bagaimana ia mengumumkan pada Khamis (25 Jun) bahawa mantan ketua parti Low Thia Khiang tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Encik Low atas khidmatnya sejak sekian lama bersama Parti Pekerja dan juga kepada Singapura," katanya. "Saya berharap kita semua dapat bekerjasama untuk membawa Singapura ke peringkat seterusnya."

Encik Chan berkata PAP akan melancarkan manifestonya pada Sabtu (27 Jun) sebelum mendedahkan pasukan-pasukan yang akan bertanding di pelbagai kawasan undi dalam masa beberapa hari akan datang.

MARIAM JAAFAR

Cik Mariam Jaafar, 43 tahun, adalah rakan kongsi dan pengarah urusan (Singapura) bagi Boston Consulting Group, dan beliau dilihat melakukan lawatan ke kawasan Woodlands di GRC Sembawang bersama mantan Anggota Parlimen (AP) Amrin Amin.

Beliau percaya pendidikan berupaya meratakan ketidaksamarataan dalam masyarakat dan beliau menekankan bahawa pelaburan terbaik oleh sesebuah negara adalah terhadap rakyatnya. Ini termasuk pendidikan awal kanak-kanak, latihan semula dan memadankan rakyat dengan pekerjaan yang baik.

"Saya di sini kerana saya ingin menyumbang semula kepada masyarakat," katanya. "Saya sudah memikirkannya dan saya menyimpulkan bahawa politik adalah saluran yang unik di mana saya boleh membawa perubahan kepada kehidupan ramai orang."

HUANG WEI ZHONG SHAWN

Encik Shawn Huang, 38 tahun adalah Pengarah bagi Pembangunan Perusahaan di Temasek International. Beliau juga adalah seorang sukarelawan di kawasan undi Taman Jurong.

Bekas juruterbang jet pejuang bersama Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) itu turut membimbing kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan bekas banduan. Sebagai pengerusi kelab seni dan budaya masyarakat, beliau membantu para penduduk mengakses kegiatan seni dan budaya dalam masyarakat.

CARRIE TAN HUIMAN

Cik Carrie Tan, 38 tahun, adalah pengasas bagi perusahaan sosial 'Daughters of Tomorrow', yang memberikan sokongan kepada kaum wanita yang kurang bernasib baik. Beliau dilihat melakukan lawatan bersama Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan beberapa lagi mantan Anggota Parlimen GRC Nee Soon.

Yang menjadi tumpuannya adalah golongan berpendapatan rendah, para pekerja dan "generasi tersepit" yang kini memikul tanggungjawab menjaga masyarakat yang semakin menua di Singapura.

Cik Tan berpendapat bahawa paras gaji di Singapura tidak boleh dibiarkan begitu saja bagi para pekerja kolar biru dan beliau mahu meneroka bagaimana untuk menghulurkan sokongan yang lebih baik kepada keluarga-keluarga sedemikian.

CHAN HUI YUH

Cik Chan Hui Yuh, 44 tahun adalah pengarah pemasaran di Jingslink Marketing. Pada 2015, beliau menjadi penasihat pertubuhan akar umbi PAP di Aljunied dan beliau juga adalah setiausaha cawangan bagi divisyen Aljunied di Serangoon.

Beliau juga mahu menumpukan perhatian kepada golongan warga emas dan bagaimana mereka dapat meniti usia senja dengan baik. Beliau juga ingin meneliti isu-isu berkaitan kaum wanita, seperti isu jagaan kanak-kanak, pekerjaan dan isu-isu yang dihadapi oleh penjaga warga emas.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita