Skip to main content

Singapura

Kumpulan tarian tarik diri daripada Chingay 2021 setelah berdepan 'pembulian siber'

Sebuah kumpulan tarian menarik diri dari Chingay 2021, menyusuli kritikan online terhadap para penarinya yang dijangka mengambil bahagian dalam perarakan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan tarian tarik diri daripada Chingay 2021 setelah berdepan 'pembulian siber'

(Gambar: 8world News)

Diterbitkan : 29 Dec 2020 03:02PM Dikemas Kini : 29 Dec 2020 03:03PM

SINGAPURA: Sebuah kumpulan tarian menarik diri dari Chingay 2021, menyusuli kritikan online terhadap para penarinya yang dijangka mengambil bahagian dalam perarakan itu.

Persatuan Rakyat (PA) menyatakan pada Isnin (28 Dis) dalam satu kenyataan bersama dengan Dance Spectrum International (DSI) dan Singapore Wushu Dragon & Lion Dance Federation (SWDLDF) bahawa segmen itu dibatalkan "selepas mempertimbangkan para penari muda yang terjejas oleh perbuatan pembulian siber".

Menurut 8world News, Chingay 2021 sepatutnya menampilkan 100 singa dalam persembahan tarian singa selama empat minit, manakala lima singa dikendalikan oleh para penari dari DSI.

Sepuluh penari itu sepatutnya melakukan tarian 'tap' dengan memakai 'tutu' atau skirt tarian balet sambil memakai kostum tarian singa, manakala para penari yang lain memakai kostum tradisional.

Bagaimanapun, satu catatan online yang dikongsi oleh DSI menampilkan penari-penari itu, berusia antara 14 tahun dengan 30 tahun, menarik kritikan online dan tiga kumpulan itu bertemu secara berasingan minggu lalu untuk "mencari cara bagi menyelesaikan hal itu".

"Kesemua tiga pihak juga bersetuju bahawa meskipun kami mengalu-alukan pandangan berbeza mengenai ekspresi kesenian, kami tidak membenarkan komen-komen menyakitkan perasaan dan serangan peribadi terhadap individu-individu yang dimuat naik di media sosial," menurut kenyataan bersama yang dimuat naik di laman Facebook PAssion Chingay Club.

"Ia tidak bertepatan dengan masyarakat yang beradab dan inklusif yang kami ingin lihat."

PA dan SWDLDF melahirkan sokongan dan perpaduan dengan DSI, dan menyatakan bahawa kedua-dua pihak berharap para penari muda itu akan dapat "pulih daripada keburukan yang diperlakukan ke atas mereka".

PETISYEN: "HENTIKAN HINAAN"

DSI telah berkongsi satu pautan video yang menampilkan para penari mereka memakai 'tutu', sambil memakai kostum tarian singa di Facebook pada 11 Dis.

Kiriman video itu mencetuskan kritikan, dengan beberapa komen menyifatkan segmen itu sebagai tidak menghormati budaya Cina.

Satu petisyen kemudian dilancarkan di Change.org dan ditujukan kepada Persatuan Rakyat, yang menggesa kumpulan itu agar "menghentikan hinaan tersebut".

Setakat 29 Dis, catatan itu sudah ditandatangani oleh 1,219 orang.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita