Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan tari Artistari Gentari sambut ulang tahun ke-10 dengan konsert gah di Esplanade

Konsert DECADANS yang meraikan ulang tahun ke-10 kumpulan tarian tempatan Artistari Gentari (ATG) dipentaskan di Teater Esplanade malam ini, Sabtu (30 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan tari Artistari Gentari sambut ulang tahun ke-10 dengan konsert gah di Esplanade

(Gambar: Artistari Gentari)

SINGAPURA: Konsert DECADANS yang meraikan ulang tahun ke-10 kumpulan tarian tempatan Artistari Gentari (ATG) dipentaskan di Teater Esplanade malam ini, Sabtu (30 Dis).

Sepanjang dua jam, para penonton akan dihiburkan dengan persembahan beberapa penyanyi tempatan yang pernah mengikuti perjalanan bersama ATG sepanjang sedekad termasuk Hyrul Anuar, Suryana Norddin, Norshafiq Ridzwan dan Rahila Rashun.

Ernie Zakri dari Malaysia tampil sebagai penyanyi undangan khas.

Turut diselitkan sketsa mencuit hati yang menampilkan pelawak dan DJ radio Hafidz Rahman dan pelakon Farhana M Noor.

PUPUK BAKAT-BAKAT MUDA DALAM TARIAN

Konsert sulung kumpulan ATG itu adalah konsert terbesar yang pernah ia dipentaskan dan melibatkan 46 orang termasuk penari, pemuzik dan kru.

Persiapan bagi konsert itu dimulakan sejak Disember 2022.

"Dalam jangkauan 10 tahun ini penari-penari ini semua bermula daripada mereka bersekolah dan sekarang mereka sudah dewasa. Misi kami sentiasa adalah daripada belia untuk belia. Jadi semangat anak-anak muda ini yang kita hendak mencungkil dan memberi mereka platform yang profesional jadi mereka ada sesuatu atau hak milik yang mereka boleh ambil.

"Saya hendak mencungkil lagi bakat-bakat baharu atau ketua baharu yang boleh melestarikan seni ini. Jadi dari itu kita nampak penularan zaman dan penurunan daripada generasi ke generasi," kata Pengasas dan Pengarah Artistik, Bada Hassan kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Bada Hassan, Gambar: Artistari Gentari)

Sebanyak 14 lagu daripada era 1950-an hingga lagu-lagu 'viral' masa kini seperti 'Ikan dalam Kolam' dan 'Lemak Manis' akan dipersembahkan.

"Saya harus jadikan medley, mencantumkan dua, tiga lagu dalam satu lagu. Jadi itu cabaran saya dan cabaran kepada pemuzik-pemuzik tanah air kita untuk membuat suatu yang kelainan dan juga menerapkan irama Melayu ataupun rentak dan juga melodi Melayu dalam lagu-lagu tersebut," kata Pengarah Muzik, Aidil Akmal.

(Aidil Akmal, Gambar: Artistari Gentari)

ERNIE ZAKRI PENUHI IMPIAN PERSEMBAHKAN LAGU TRADISIONAL

Bagi penyanyi Ernie Zakri, undangan untuk membuat persembahan dalam Konsert DECADANS suatu peluang keemasan.

Ernie yang sudah lebih 14 tahun berkecimpung dalam industri muzik lazimnya menyanyikan lagu-lagu pop bernada tinggi.

Menurut Ernie, beliau teruja dapat memenuhi impian untuk menyanyikan lagu-lagu irama tradisional di pentas gah di Esplanade.

"Sebenarnya cita-cita, impian saya ingin menyanyikan lagu-lagu irama tradisional di atas pentas yang besar. Apatah lagi lagu yang bakal saya nyanyikan malam ini adalah salah sebuah lagu impian untuk saya nyanyikan. Tiba-tiba rezeki pada tahun ini dapat juga merasa menyanyikan lagu ini. Jadi saya cakap dengan pengurus saya, okay mari kita lakukannya, tidak ada fikir banyak," kata Ernie.

Penyanyi berusia 31 tahun itu juga akan mempersembahkan lagu-lagu kegemarannya daripada Siti Nurhaliza dan ratu lagu irama tradisional, Noraniza Idris.

"Lagu 'Hala Timur' daripada Noraniza Idris itu memang lagu kegemaran saya. Sebenarnya lagu-lagu daripada Noraniza Idris, lagu yang sangat susah. Jadi bila ia mencabar itu, lagi kita rasa macam nak nyanyi," tambah Ernie yang juga akan membawakan lagu 'Kurik Kundi' dan 'Nirmala'.

(Ernie Zakri, Gambar: Artistari Gentari)

Selain lagu-lagu irama tradisional, Ernie yang juga seorang guru vokal, akan turut mendendangkan dua buah lagunya sendiri - 'Masing-masing' dan 'Ku Bersuara' yang diberi suntikan muzik tradisional.

"Lagu ‘Masing-Masing’ dan ‘Ku Bersuara’ sebenarnya adalah versi yang terbaharu yang kita bawakan khas untuk konsert DECADANS ini. (Ini) pertama kalinya juga saya menyanyikan lagu sendiri di Singapore dengan unsur etnik tradisional kita," ujar Ernie, yang juga isteri kepada penyanyi Syamel.

Menurut ATG, lebih 70 peratus tiket untuk acara malam ini terjual.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan