Kumpulan Tabligh Jamaat S'pura komited patuhi langkah-langkah cegah COVID-19
Kumpulan Tabligh Jamaat Singapore menyokong langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh pemerintah untuk menghentikan penularan COVID-19.

Logo Tabligh Jamaat Singapore. (Gambar: Tabligh Jamaat Singapore)
SINGAPURA: Kumpulan Tabligh Jamaat Singapore menyokong langkah-langkah pencegahan yang dilaksanakan oleh pemerintah untuk menghentikan penularan COVID-19.
Demikian disuarakan oleh kumpulan itu menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan malam semalam (5 Apr).
Kenyataan itu dibuat menyusuli video viral yang mendedahkan satu rakaman audio seorang anggota kanan kumpulan tabligh di India.
Menerusi video YouTube yang tidak dinyatakan tarikhnya itu, individu yang bernama Moulana Mohamad Saad, menyeru kepada para pengikut tabligh agar tidak menghiraukan langkah-langkah untuk menjaga jarak selamat.
Anggota kanan kumpulan Tabligh Jamaat di Nizamudin, New Delhi itu juga dilaporkan menyuruh para pengikutnya agar jangan mengendahkan nasihat untuk menutup sementara masjid.
Perhimpunan-perhimpunan kumpulan tabligh itu juga dikatakan berlangsung sehingga 26 Mac lalu, walaupun India sudahpun menguatkuasakan penutupan sempadan negara atau 'lockdown'.
Dalam kenyataannya, kumpulan Tabligh Jamaat Singapore menekankan bahawa keputusan mereka tidak dipengaruhi mana-mana kumpulan tabligh lain dan mereka komited untuk mematuhi sepenuhnya undang-undang negara Singapura.
"Tabligh Jamaat Singapore tidak dipengaruhi oleh kenyataan yang dibuat oleh mana-mana entiti dan negara asing," tegas mereka.
Para anggotanya juga dinasihati agar mematuhi langkah-langkah yang diambil oleh pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 dan diseru agar terus berjaga-jaga supaya tidak dijangkiti virus tersebut mahupun menjadi punca menjangkiti orang lain.
"Keadaan di Singapura serius seperti yang dinyatakan oleh para menteri kita. Ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menangani krisis ini," menurut kumpulan itu lagi.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.