Skip to main content

Singapura

Kumpulan sukarelawan ini kongsi pengalaman sertai misi bantuan kemanusiaan di Gaza

Satu tanggungjawab dan tanda menghargai - demikian gambaran yang diberikan oleh tiga sukarelawan dari Singapura mengenai misi mereka ke Kaherah untuk membantu dalam usaha bantuan kemanusiaan Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan sukarelawan ini kongsi pengalaman sertai misi bantuan kemanusiaan di Gaza

(Gambar: Palang Merah Singapura)

Diterbitkan : 02 May 2024 11:40AM
SINGAPURA: Satu tanggungjawab dan tanda menghargai - demikian gambaran yang diberikan oleh tiga sukarelawan dari Singapura mengenai misi mereka ke Kaherah untuk membantu dalam usaha bantuan kemanusiaan Gaza.

Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan Palang Merah Singapura (SRC) yang telah ke Mesir pada minggu lalu. Ia merupakan kali pertama pertubuhan itu menghantar sukarelawan awam untuk membantu dalam operasi bantuan kemanusiaan di Gaza.

Sukarelawan berkenaan bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) untuk bantu membungkus beratus-ratus bungkusan mengandungi makanan asas seperti beras, pasta, tepung, garam, minyak, ikan tuna, pes tomato, biskut dan jem.

Bungkusan itu kemudian dihantar ke Gaza menggunakan lori.

Pasukan itu juga berusaha mencari dan mendapatkan barangan untuk bungkusan makanan tersebut, dengan barangan tersebut dijangka dapat membantu lebih 9,000 keluarga untuk tempoh lima hingga tujuh hari.

Bercakap kepada Mediacorp dari Kaherah tidak lama sebelum mereka pulang ke Singapura pada Isnin (29 Apr), ketua pasukan itu Nadim Van der Ros berkata ia adalah pengalaman "sangat menginsafkan" bagi kumpulan itu.

"Satu bungkusan dapat membantu sebuah keluarga untuk tempoh seminggu... kami dapat membungkus 500 bungkusan sedemikian, bermakna ia akan membantu hampir 2,000 orang," katanya, sambil menyifatkan sumbangan beliau itu sebagai setitik dalam lautan dari segi bantuan yang diperlukan.

"Mereka jelas memerlukan lebih banyak lagi demi terus bertakat sepanjang krisis ini," kata Encik van der Ros.

"Jadi saya fikir ia menjadikan tugas yang kita lakukan lebih mendesak."

Bagi dua lagi sukarelawan - Encik Don Chow dan Cik Tracy Koh - misi mereka di Timur Tengah telah memberikan mereka banyak pengajaran.

"JALIN HUBUNGAN, BUKAN WUJUDKAN HALANGAN"

Encik Chow, yang merupakan seorang pengarah jualan serantau bagi sebuah syarikat IT, terbang lebih awal ke Mesir untuk membuat persiapan sebelum anggota lain pasukan itu.

Beliau akan terus berada di Kaherah selama dua minggu lagi untuk berurusan dengan ERC, walaupun selepas pasukan itu pulang ke Singapura.

Encik Chow 55 tahun, menjadi penderma darah kerap sejak sedekad lalu dan mula melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama SRC di samping mengikuti beberapa kursus termasuk pertolongan cemas psikologi.

Sebelum ini Encik Chow pernah mengambil bahagian dalam misi kemanusiaan di Pakistan dan India.

Kaherah merupakan misi bantuan jangka panjang pertama yang beliau sertai.

Menurut Encik Chow, misi itu adalah untuk "menjalin hubungan dan bukan untuk mewujudkan halangan".

"Ia sangat penting untuk kita mempunyai hubungan (dengan ERC) kerana ia dapat memudahkan tugas kita," jelasnya.

Encik van der Ros berkata ia "adalah tanggungjawab kita untuk membantu". Malah, Singapura memupuk semangat dermawan dan menunjukkan masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain, katanya.

"Jadi ia bukan sesuatu yang luar biasa apabila kita juga mahu membantu masyarakat yang lain," katanya.

Beliau yang pernah mengikuti dua misi luar negara bersama SRC di Sri Lanka, sedia maklum akan bantuan yang diperlukan.

"Saya tidak terlalu fikirkan aspek bahaya. Saya rasa yang paling penting adalah untuk ingat bahawa kita sedang membantu masyarakat yang mudah terjejas," katanya.

Berusia 28 tahun, Cik Koh merupakan sukarelawan paling muda dalam kumpulan itu.

Namun Encik van der Ros menyifatkannya sebagai seorang "veteran", memandangkan beliau telah melakukan kerja-kerja sukarelawan bersama SRC sejak berusia sembilan tahun lagi.

Cik Koh pernah mengikuti lawatan kemanusiaan ke Filipina dan Indonesia.

Walaupun terdapat halangan berkomunikasi antara sukarelawan Mesir dan Singapura, mereka tetap dapat berhubung menerusi satu tujuan bersama.

"Bahasa universal datang dari hati dan senyuman yang indah," kata Cik Koh.

SOKONGAN KELUARGA

Ketiga-tiga sukarelawan itu sedia tampil membantu dalam usaha bantuan kemanusiaan itu dan memberi penghargaan kepada keluarga mereka kerana memberi sokongan dan bantu membuat aturan di rumah.

Bagi Encik Chow, yang menjaga bapanya yang menghidap demensia, ini bermakna beliau perlu menubuhkan rangkaian sokongan apabila berada di luar negara selama sebulan.

"Apabila saya terima permohonan (untuk pergi)... individu pertama yang saya tanya adalah isteri saya.

"Dengan sokongan beliau saya bersetuju untuk melakukan misi itu, kemudian kita merancang bahagian logistik bagaimana untuk pastikan segala-galanya berjalan lancar apabila saya tidak berada di Singapura," jelasnya.

Selain isterinya, kedua-dua anak lelaki beliau turut menyokong keputusannya untuk mengikuti misi tersebut.

"Sokongan keluarga adalah penting. Saya berbincang dengan keluarga ... semua orang menyokong apa yang sedang saya lakukan.

"Saya sangat beruntung kerana seluruh keluarga saya rasakan ia benar-benar satu keistimewaan saya dapat berkhidmat.

"Untuk lakukan sesuatu untuk membantu orang lain adalah satu penghargaan buat kami."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita