Kumpulan siswa NTU ini tekad perangi isu gangguan seksual di aplikasi 'dating'
Pertama kali Cik Loraine Lee tiba-tiba menerima gambar alat sulit seorang lelaki, beliau sekadar ketawa dan tidak mengendahkannya.
SINGAPURA: Pertama kali Cik Loraine Lee tiba-tiba menerima gambar alat sulit seorang lelaki, beliau sekadar ketawa dan tidak mengendahkannya.
Cik Lee ketika itu berusia 19 tahun dan beliau berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi cari jodoh, Tinder. Selepas seminggu berkenalan, Cik Lee mula mempercayai 'teman barunya' itu lalu bersembang di wadah Instagram pula.
Malangnya, topik perbualan mereka mula melencong kepada sesuatu yang tidak menyenangkan.
Perkara pertama yang Cik Lee terima daripada pemuda itu adalah gambar alat sulitnya.
"Saya agak terperanjat tetapi saya awalnya sekadar ketawa kerana ia sesuatu yang benar-benar tidak masuk di akal," kata Cik Lee mengimbas kembali pengalamannya itu. Beliau kini berusia 23 tahun.
"Tidak ada banyak yang boleh kami lakukan selain 'unmatch' (tidak lagi sama-sama dipadankan) dan menyekat pengguna itu daripada mengakses profil kami. Perkara ini juga sesuatu yang biasa berlaku," tambah siswa Universiti Nasional Singapura dalam bidang perhubungan dan media baru itu.
Cik Lee kini faham, insiden yang pernah dihadapinya itu adalah satu bentuk gangguan seksual. Sebilangan anak muda lain bagaimanapun, seolah-olah sudah menerima perkara sebegini sebagai satu norma di platform-platform cari jodoh.
GANGGUAN SEKSUAL SEOLAH-OLAH PERKARA BIASA
Atas kesedaran itulah, sekumpulan belia terdiri daripada empat penuntut bidang komunikasi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) tampil untuk menjalankan kempen mendidik masyarakat.
Kempen itu bertajuk 'What's the Big Deal?' (Apa Masalahnya?) dan ia bertujuan untuk menangani masalah gangguan seksual yang terjadi pada aplikasi-aplikasi cari jodoh.
Anggota kumpulan itu, Hemant Mathy, 24 tahun, memberitahu Mediacorp bahawa idea untuk menganjurkan kempen itu tercetus apabila pasukannya mendengar kisah rakan-rakan sebaya yang menerima gambar lucah atau komen bersifat seksual di wadah-wadah cari jodoh. Pengalaman seperti itu ternyata sering menjadi titik permulaan perbuatan gangguan seksual.
Kumpulannya dianggotai Cik G Nanthinee Shree, 23 tahun, Cik Nur Afrina Mohd Zulkifli, 22, and Cik Marisa Agnes Lee, 24. Kempen tersebut adalah projek tahun akhir mereka.
Usaha yang dijalankan dari Januari hingga April ini memerlukan mereka menemu bual pengguna aplikasi 'dating'. Kumpulan itu mendapati, kebanyakan gangguan seksual di wadah sebegitu acap kali dianggap sebagai "rite of passage" atau sesuatu yang lazim perlu dilalui para pengguna.
Demi memperbetulkan tanggapan seperti itu, pasukan tersebut membuka satu laman Instagram, wtbd.sg, di mana para pengguna media sosial diajar cara-cara untuk mengenal pasti gangguan seksual dan meminta bantuan seandainya mereka berdepan insiden sedemikian.
Pasukan empat siswa NTU itu sedang dalam perbincangan untuk menjalin kerjasama dengan Voices@SMU - sebuah unit di Universiti Pengurusan Singapura yang membantu para pelajar yang mengalami masalah keganasan.
Mereka ingin mencari cara untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang isu ini.
APA KATA TINDER & BUMBLE?
Mediacorp menghubungi syarikat-syarikat aplikasi cari jodoh - Tinder, Bumble dan Coffee Meets Bagel - untuk mendapatkan perangkaan berkaitan aduan gangguan seksual. Mereka juga ditanya sekiranya bantuan dihulurkan kepada para mangsa.
Seorang jurucakap Bumble menjawab, app mereka tidak menggolongkan aduan-aduan mengikut jenis perbuatan tidak boleh diterima. Maka itu, ia tidak dapat menyediakan sebarang data berhubung gangguan seksual.
Beliau menambah, jumlah aduan berbentuk gangguan meningkat sejak 2019, sejajar dengan meningkatnya jumlah pengguna Bumble pada peringkat global. Kadar insiden sebegitu bagaimanapun tidak naik.
Kebanyakan aduan diterima dihuraikan dengan menyekat akses si pengguna. Bagi pengguna yang melakukan pelanggaran atau kesalahan lebih serius pula, mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan aplikasi Bumble.
Tinder pula merujuk Mediacorp kepada laman syarikat induknya di Amerika, Match Group, yang membutirkan ciri-ciri keselamatan dalam operasi wadahnya.
Ini termasuk penubuhan sebuah pasukan khidmat pelanggan yang menangani aduan pelanggan.
Di samping itu, Tinder menggunakan teknologi yang berupaya mengesan kandungan menyinggung perasaan lalu menggalak mangsa melaporkan perbuatan seperti itu.
Coffee Meets Bagel tidak menjawab pertanyaan Mediacorp.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
Bagi menangani masalah gangguan seksual, beberapa pengguna aplikasi 'dating' menyarankan supaya sebuah masyarakat online dibentuk, di mana para pengguna dapat bertukar-tukar maklumat untuk memberi amaran kepada pihak lain tentang pesalah-pesalah tertentu.
Sungguhpun demikian, peguam jenayah Shashi Nathan menyuarakan keprihatinan tentang risiko kumpulan seperti itu terkait dengan 'doxxing' apabila butiran peribadi seseorang individu diterbitkan kerana dipercayai mengganggu pengguna lain.
'Doxxing' adalah satu jenayah di Singapura.
Huraian yang lebih baik adalah dengan membuat laporan polis supaya perkara itu dapat disiasat, tambahnya.
Di Singapura, mereka yang menghantar gambar lucah kepada orang lain boleh dipenjara sehingga setahun dan/atau didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.