Skip to main content

Singapura

Kumpulan SIA bakal wujudkan peluang pekerjaan bagi kakitangan Jetstar Asia yang terjejas, termasuk jawatan untuk sekitar 100 juruterbang

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPORE: Kumpulan Singapore Airlines (SIA) akan mewujudkan peluang di merata syarikatnya untuk kakitangan Jetstar Asia yang terjejas, termasuk jawatan untuk kira-kira 100 juruterbang dan 200 kru kabin.

Seorang jurucakap SIA pada Jumaat (13 Jun) berkata kumpulan itu telah "bekerjasama rapat" dengan Jetstar Asia sejak Rabu (11 Jun) untuk meneroka peluang pekerjaan bagi mereka yang terjejas oleh penutupan syarikat penerbangan itu tidak lama lagi.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, jurucakap itu berkata wakil-wakil dari SIA dan Scoot akan melawat pejabat Jetstar Asia dari 17 Jun hingga 19 Jun untuk bertemu dengan pekerja yang berminat dan berkongsi maklumat lebih lanjut mengenai jawatan yang tersedia, tambah jurucakap itu.

"Kami sedang mewujudkan peluang di merata syarikat penerbangan kami, termasuk jawatan untuk kira-kira 100 juruterbang dan 200 kru kabin. Matlamat kami adalah untuk menyokong seramai mungkin kakitangan yang terjejas supaya mereka dapat meneruskan kerjaya dalam sektor penerbangan.

"Kami faham bahawa ini adalah masa yang tidak menentu, dan kami komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan bagi memastikan proses pengambilan dan suai kenal pekerja berjalan dengan lancar."

Jurucakap itu menambah bahawa Kumpulan SIA menghargai pengalaman para kakitangan Jetstar Asia dan mengalu-alukan calon-calon yang berjaya menyertai syarikat itu.

Syarikat penerbangan Qantas Australia mengumumkan pada Rabu bahawa ia akan menutup Jetstar Asia, iaitu syarikat penerbangan kos rendah kumpulan itu yang berpangkalan di Singapura. Jeststar Asia mengatakan, ia menghadapi masalah kenaikan kos bekalan, yuran lapangan terbang yang lebih tinggi dan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan syarikat penerbangan kos rendah.

Syarikat penerbangan itu akan meneruskan penerbangannya selama tujuh minggu lagi sebelum ia berhenti beroperasi pada 31 Julai.

Seorang jurucakap Jetstar Asia memberitahu Mediacorp bahawa lebih daripada 500 kakitangannya akan diberhentikan akibat penutupan syarikat itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita