Kumpulan seni bakal terima suntikan dana bagi merubah sektor seni SG

(Gambar hiasan: Era Dance Theatre/Facebook)
SINGAPURA: Kumpulan seni dijangka menerima bantuan tambahan untuk merubah sektor tersebut dan mencipta sektor seni lebih menarik.
Butiran lanjut mengenai bantuan tambahan itu akan diumumkan bulan depan.
Setakat ini, 40 pertubuhan sudah mendaftar bagi dana yang menyediakan sehingga S$200,000 untuk meningkatkan prospek mereka.
Demikian menurut Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Sebuah kumpulan teater menggunakan dana tersebut untuk menjadikan Pulau Ubin satu destinasi pelancong, manakala sebuah kumpulan opera Cina ingin beralih mengikut arus aliran utama.
MEMBERI NAFAS BAHARU KEPADA BENTUK SENI TRADISIONAL
Kumpulan Lao Sai Tao Yuan Teochew adalah sebuah kumpulan berusia 160 tahun yang berhasrat mencari pembaharuan.
"Artis opera Cina kami juga semakin lanjut usia, kebanyakan daripada mereka berusia 70-an dan 80-an, sama juga dengan pemuzik kami," kata ketua kumpulan, Encik Nick Shen.
“Jadi ia sukar untuk mencari anggota baharu. Dan penonton kami semakin berkurangan, jadi ia sebenarnya menjejas pendapatan anggota veteran kami. Kami harus memikirkan cara inovatif untuk mempromosikan opera Cina dan mencari platform berbeza bagi persembahan veteran.”
Kumpulannya mengambil keputusan untuk beralih ke wadah digital, dengan bantuan dana pemerintah. Ini termasuk produk baharu yang memikat penonton lebih muda, seperti buku komik mengenai kisah panglima dan legenda lain.
Permainan telefon bimbit juga sedang dicipta, yang mana pemain boleh mendapatkan watak untuk membina kumpulan opera mereka sendiri. Ia merupakan "cara yang inovatif dan seronok bagi belia untuk meneroka dan mengetahui lebih banyak tentang opera Cina", kata Encik Shen.
Encik Shen ingin menggunakan produk baharu tersebut dalam bengkel yang dikendalikan oleh kumpulan tersebut di dua hingga tiga sekolah sebulan.
MEMPROMOSI SENI DAN PELANCONGAN
Sementara itu, Pulau Ubin merupakan sebahagian daripada Projek 12 kumpulan teater Drama Box untuk merubah perniagaannya, dengan 60 peratus dibiayai pemerintah.
Sebagai contoh, terdapat pameran seni di merata Pulau Ubin untuk dijadikan galeri terbuka.
"Apabila orang ramai datang dan melawat Ubin, mereka bukan hanya berbasikal, mereka boleh menyaksikan karya seni menarik yang mungkin boleh membuatkan mereka berfikir tentang isu-isu ekologi dan alam semula jadi," kata pengarah artistik Projek 12 dan pekerja teater Kok Heng Leun.
Sebuah aplikasi telefon bimbit juga akan dicipta untuk mencipta pengalaman digital dan pendengaran.
Kisah audio tersebut merupakan pengalaman hidup penduduk Pulau Ubin dahulu dan sekarang, yang dirakam dalam bahasa ibunda mereka.
Matlamatnya adalah untuk menarik lebih ramai pelawat ke Pulau Ubin untuk belajar mengenai seni, kemampanan serta sejarah.
Ia juga dapat meningkatkan perniagaan kedai yang dikendalikan penduduk tempatan di pulau tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.