Kumpulan sekolah antarabangsa tawar 100 peluang kerja bagi kakitangan SIA yang diberhenti
EtonHouse International Education Group menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan di sekolah-sekolah antarabangsanya bagi para kakitangan Singapore Airlines (SIA) Group yang diberhentikan kerja baru-baru ini.
Pengasas EtonHouse International Education Group Ng Gim Choo bersama beberapa murid sekolah itu (Gambar: EtonHouse)
SINGAPURA: EtonHouse International Education Group menawarkan lebih 100 peluang pekerjaan di sekolah-sekolah antarabangsanya bagi para kakitangan Singapore Airlines (SIA) Group yang diberhentikan kerja baru-baru ini.
Pada Khamis (10 Sep), SIA Group mengumumkan akan memberhentikan sekitar 2,400 pekerja SIA, SilkAir dan Scoot di Singapura dan luar negara, sedang penularan COVID-19 terus menjejas teruk industri penerbangan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada keesokan harinya, EtonHouse mengumumkan peluang pekerjaan yang dikhususkan untuk pekerja SIA Group yang telah diberhentikan.
Pengasas dan pengarah urusan kumpulan EtonHouse Group Ng Gim Choo berkata: “Saya seorang pelanggan tetap Singapore Airlines dan saya sentiasa mengagumi profesionalisme kakitangan SIA, piawai khidmat pelanggannya yang tinggi dan jalinan hubungan yang diwakilinya.
"Mereka juga kaya dengan pengalaman antarabangsa dan pemahaman kebudayaan yang mereka bawa bersama dalam peranan mereka."
Cik Ng berkata EtonHouse mempunyai "beberapa" bekas kakitangan SIA yang bermula sebagai pembantu guru sebelum mereka dinaikkan pangkat ke jawatan pengetua dan pengetua eksekutif.
“Sebagai sebahagian daripada program dan kerjaya ini, mereka boleh membentuk kehidupan generasi masa depan. Kami juga ingin memainkan peranan dalam menyokong masyarakat kita sedang kita mengharungi masa-masa mencabar akibat pandemik ini," tambahnya.
EtonHouse mengendalikan 16 sekolah privet di Singapura, dari peringkat tajaka hingga sekolah menengah. Ia mempunyai lebih 120 sekolah antarabangsa di 12 negara.
Dua laluan kerjaya ditawarkan buat pemohon: Pendidikan dan pentadbiran.
Laluan pendidikan adalah untuk dua tahun dan para pekerja akan bekerja secara sambilan sebagai pembantu tenaga pengajar sambil mereka mendapatkan kelayakan pendidikan awal kanak-kanak dari institusi yang diluluskan. Etonhouse akan menyediakan latihan dan sokongan tambahan di dalam bilik darjah bagi mereka yang baru diambil bekerja.
Pekerjaan yang ditawarkan bagi laluan pentadbiran termasuk pegawai perhubungan ibu bapa, pengurusan sekolah, atau peranan pengurusan dalam pengembangan perniagaan, komunikasi dan pemasaran. Latihan sambil bekerja akan disediakan untuk peranan-peranan ini, dengan peluang untuk peningkatan kerjaya.
Calon yang digajikan akan menerima gaji bulanan sekitar S$2,000 hingga S$3,000, termasuk semasa tempoh latihan, kata seorang jurucakap kepada Mediacorp. Jumlah gaji yang tepat akan bergantung pada kelayakan calon.
Jawatan hanya dibuka kepada warga Singapura. Walaupun warga Singapura bukan dari SIA Group boleh menghantar permohonan untuk jawatan-jawatan itu, keutamaan akan diberikan kepada pekerja yang diberhentikan dari industri penerbangan, kata jurucakap itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.