Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan SEARCH artis pertama sokong inisiatif baharu PERTAPIS, 'musicXchange'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu inisiatif baharu dilancarkan Rumah Peralihan PERTAPIS (PHH) untuk gunakan muzik bagi bantu dalam proses penghuninya kembali ke pangkuan masyarakat.

Dipanggil 'musicXchange', program itu menggalak para penghuni yang berminat dalam bidang muzik untuk memperdalam dan memperkasa ilmu pengetahuan mengenai muzik serta wadah-wadah yang tersedia untuk para penghuni serlahkan bakat mereka.

Sebagai permulaan, sebuah kugiran 'Band of Brothers' telah ditubuhkan.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Kugiran ini dianggotai 12 ahli terdiri daripada para kakitangan, penghuni dan juga bekas penghuni rumah peralihan ini.

Menurut ketua PHH, Encik Sufian Salim, 'Band of Brothers' sudah mula bermain muzik bersama sejak dua tahun lalu.

"Band of Brothers telah ditubuhkan untuk beberapa tahun dan kita mempunyai penghuni yang bertukar-ganti tapi dalam masa yang sama ada juga bekas-belas penghuni yang kembali untuk memberikan semangat dan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang baru yang berkecimpung dan berminat dalam bidang muzik ini," kata Encik Sufian.

Beliau turut berkongsi bahawa kugiran itu pernah membuat persembahan semasa acara "Yellow Ribbon" di Taman di Persisiran dan acara Hari Raya pada 2022.

"'Band of Brothers' PERTAPIS ditubuhkan dengan niat memberi peluang kepada penghuni-penghuni kita untuk menyerlahkan bakat mereka dari segi muzik dalam masa yang sama ia adalah sebuah terapi.

"Kami harapkan dengan adanya minat yang positif seperti ini, mereka dapat menjadikan ia motivasi untuk berubah, untuk menjadi lebih baik dan ada hobi yang positif," ujar Encik Sufian.

(Gambar: NURFAZIRAH AZMAN)

KUMPULAN SEARCH HADIR BERI SOKONGAN

Di majlis pelancaran 'musicXchange' pada Ahad (17 Sep), kugiran itu juga diberi peluang membuat persembahan di hadapan 100 kakitangan, penghuni PHH dan anggota keluarga mereka.

Lebih istimewa lagi, mereka dapat mendendangkan lagu 'Isi dan Kulit' di hadapan empunya karya itu sendiri, kumpulan SEARCH.

SEARCH juga sempat berinteraksi dengan para penghuni untuk memberi sokongan dan menyuntik inspirasi buat mereka.

"Sebenarnya kami juga buat kerja-kerja sosial jadi PERTAPIS ini saya lihat mereka ini cenderung ke arah muzik jadi mereka ini perlukan sokongan jadi mengapa tidak kita sokong mereka, kita beri sedikit pengalaman, ilmu," kata Ketua Kumpulan SEARCH, Noordin Taib.

(Gambar: NURFAZIRAH AZMAN)
Selain itu, beliau juga sempat memberikan kata-kata nasihat kepada penghuni di rumah peralihan itu.

"Jangan putus asa, anda harus kuat dari segi mental dan fizikal. Ada yang di luar sana yang sedia membantu anda dan jika anda inginkan pendedahan, anda harus berani," ujar gitaris utama kumpulan itu.

SEBAHAGIAN HASIL JUALAN TIKET KONSERT DISUMBANGKAN KEPADA PERTAPIS

Untuk memperdalam usaha murni ini juga, penganjur konsert SEARCH 'Rockin' Temasek' iaitu syarikat xx menjemput kugiran 'Band Of Brothers' untuk membuat persembahan pembukaan di konsert itu pada 18 September.
Sebahagian daripada hasil penjualan tiket konsert juga akan disalurkan kepada PHH untuk mengembangkan inisiatif 'musicXchange'.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan