Kumpulan relawan terpaksa buang sehingga 30% barangan terpakai
Kumpulan-kumpulan relawan menyaksikan lebih banyak barangan terpakai ditinggalkan di pejabat mereka sedang lebih ramai orang berpindah keluar apabila sempadan negara dibuka semula.
SINGAPURA: Kumpulan-kumpulan relawan menyaksikan lebih banyak barangan terpakai ditinggalkan di pejabat mereka sedang lebih ramai orang berpindah keluar apabila sempadan negara dibuka semula.
Ada yang mengatakan jumlah itu naik sekitar 30 peratus dalam tempoh dua bulan lalu.
Dalam satu insiden, sebanyak 24 keping tilam sepatutnya disumbangkan oleh sebuah hotel tempatan.
Namun, hanya dua saja yang boleh digunakan semula disebabkan masalah anai-anai dan pijat.
Relawan Reach Out, Cik Julie Heng berkata: "Saya sedih kerana diberitahu semua dalam keadaan baik. Kami sudah aturkan segalanya dan sekarang saya diberitahu jika tidak mahu, boleh biarkan saja. Tidak ada maaf dan mereka tidak rasa bersalah langsung."
Pengasas Reach Out, Cik Grace Chuah pula berkata: "Kami tahu semuanya barangan terpakai tetapi mesti boleh digunakan semula.
"Jangan anggap kami seperti tempat membuang sampah."
Pertubuhan Reach Out menyatakan lebih 15 peratus sumbangan diterima tidak boleh digunakan semula.
Lantaran itu, mereka akan melakukan pemeriksaan lebih teliti pada masa depan.
Di kedai SSVP pula, ia tidak menerima barangan terpakai yang besar buat masa ini.
Para penderma juga hanya boleh memberi sesuatu barangan selepas dapat janji temu dan barangan itu diperiksa melalui gambar-gambarnya.
Secara purata, pihak kedai ini menjelaskan lebih separuh sumbangan derma yang diterima terpaksa dibuang.
"Di peringkat nasional, ia adalah mengenai pendidikan kepada orang ramai. Jadi dari kecil apabila kurikulum sekolah sentuh tentang kemampanan, apakah fesyen segera, apakah kitar semula, sikap berjimat ini dapat melengkapi seluruh ekosistem," kata penyelia kedai SSVP, Maurice Wong.
Namun, Encik Wong akur perjalanan Singapura ke arah menderma secara bertanggungjawab, masih jauh lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.