Skip to main content

Singapura

Kumpulan relawan sediakan biskut untuk jual di Bazar Geylang Serai bagi kumpul dana bantu Gaza

Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman berkata ramai rakyat Singapura membuat sumbangan dalam bulan Ramadan ini untuk membantu meringankan derita penduduk di Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Kedua Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman berkata ramai rakyat Singapura membuat sumbangan dalam bulan Ramadan ini untuk membantu meringankan derita penduduk di Gaza.

Sebagai tanda sokongan, Dr Maliki sendiri turut serta bersama sekumpulan relawan di Kelab Masyarakat Siglap pada Rabu (5 Mac) untuk menyediakan biskut, dalam usaha mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha rangkaian M³ dan platform sukarela M³@Bandar, dengan kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin.

Sekitar 40 relawan daripada masyarakat MEMBINA, MudaSG, Jawatankuasa Peneraju Integrasi dan Pewarganegaraan (INCs) Persatuan Rakyat, serta badan-badan sukarelawan (OV), berkumpul sejak pukul 10 pagi untuk menyiapkan botol-botol kuih raya bagi tujuan amal itu.
Sebanyak 300 botol biskut telah disediakan untuk dijual di reruai nombor 364 di Bazaar Raya Geylang Serai, sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul dana bagi bantuan ke Gaza.

Reruai itu akan dikendalikan secara bergilir-gilir oleh M³@Bandar dan rakan-rakan kongsi M³ sepanjang bulan Ramadan.

Sejak pelancaran kutipan dana pada 24 Februari lalu, sebanyak S$266,000 telah berjaya dikumpulkan.

"Dalam jangka masa seminggu setengah sahaja setakat S$266,000 telahpun dapat dikumpul. Saya yakin bahawa masyarakat Singapura tidak kira masyarakat Melayu atau bukan Melayu merasai betapa kita ingin menyumbang kepada dana tersebut," kata Dr Maliki

Beliau turut menekankan bahawa sumbangan bukan sekadar dalam bentuk kewangan, tetapi juga tenaga dan masa daripada para sukarelawan.

"Sumbangan masa daripada sukarelawan menunjukkan bahawa dalam kita memperingati SG60 iaitu projek Fasa 3 untuk mengumpulkan dana untuk Gaza ini, kita cuba menerapkan nilai-nilai SG60 iaitu menghubungkan rakyat bersama dan dalam masa yang sama kita dapat menjaga ataupun prihatin peduli tentang apa yang dialami oleh mangsa- mangsa di Gaza," kata Dr Maliki.

Penganjur menyasarkan untuk mengumpulkan S$600,000 menjelang 6 April bagi menyokong usaha kemanusiaan tersebut.

Dr Maliki berharap lebih ramai rakyat Singapura akan terus menunjukkan empati terhadap mangsa-mangsa di Gaza.

"Semangat Singapura dapat kita wujudkan menerusi projek ini di mana kita melihat sukarelawan tampil ke hadapan dan sama-sama kita bukan sahaja menyumbang tenaga dan wang ringgit, tetapi menyumbang semangat supaya semangat yang dapat kita tunjukkan adalah semangat yang dapat dirasai oleh mangsa-mangsa Gaza.

"Kami harap satu hari nanti, mereka akan capai kedamaian yang mereka inginkan dan semangat yang kita beri hari ini memberi semangat untuk terus berjuang mencapai kedamaian yang mereka inginkan," kongsi Dr Maliki.

Beliau menarik perhatian bahawa penting untuk mempunyai saluran seperti inisiatif ini untuk membantu mangsa-mangsa di Gaza.

"Jika kita ingin imbas kembali apa yang telah berlaku selama 16 bulan yang lalu, ramai rakyat Singapura merasa begitu prihatin tentang pengalaman mangsa-mangsa Gaza. Mereka ingin melakukan apa yang terdaya untuk membantu mereka.

"Saya rasa jika mereka ada peluang mereka ingin ke sana untuk membantu apa yang boleh dilakukan tetapi kita tahu bahawa ini sesuatu yang tidak dapat mereka lakukan. Dengan itu, kita perlu beri mereka saluran-saluran di mana semangat ini membantu memperbaiki kehidupan mangsa-mangsa Gaza," kata Encik Maliki.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sesi membuat kuih akan diteruskan pada masa akan datang bagi menggalakkan lebih ramai orang menyertai inisiatif tersebut dan membantu mencapai sasaran pengumpulan dana.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita