Kumpulan relawan ini sediakan 'cotton bud' dalam lif HDB; bantu penduduk elak sentuh butang lif
Semangat kemasyarakatan lebih jelas terserlah di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19, malah tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda dalam masa terdekat ini.

Putik-putik kapas yang disediakan di dalam sebuah lif HDB untuk menggalak penduduk supaya elak daripada menyentuh butang lif. (Gambar: Volunteer Community Patrol/Facebook)
SINGAPURA: Semangat kemasyarakatan lebih jelas terserlah di tengah-tengah penularan virus korona COVID-19, malah tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda dalam masa terdekat ini.
Baru-baru ini, sekumpulan relawan dilihat giat menjalankan inisiatif yang berusaha ke arah mengurangkan rasa bimbang penduduk terhadap perlunya menyentuh butang lif.
Ini memandangkan lif adalah antara ruang kongsi yang paling kerap digunakan oleh setiap lapisan masyakarat.
Dengan menggelarkan diri mereka sebagai 'Volunteer Community Patrol', kumpulan itu berkongsi dalam satu catatan Facebook bahawa ia meletakkan kotak berisi 'cotton bud' atau putik kapas di dalam beberapa lif HDB merata Singapura. Ini bagi membantu penduduk elak daripada menekan butang lif dengan jari jemari mereka.

(Gambar: Volunteer Community Patrol/Facebook)
Penduduk dinasihati supaya membuang putik kapas yang sudah digunakan ke dalam sebuah lagi kotak plastik yang disediakan. Kumpulan tersebut menekankan setiap putik kapas adalah untuk sekali guna sahaja.
Dalam catatannya itu juga, kumpulan tersebut memberi jaminan kepada pengguna Facebook bahawa semua relawan memakai sarung tangan semasa meletakkan kotak putik kapas dalam lif bagi mencegah pencemaran daripada berlaku.

(Gambar: Volunteer Community Patrol/Facebook)
Bahkan, relawan yang memuat naik gambar inisiatif tersebut di Facebook turut berkongsi bahawa beliau sihat dan tidak "membahayakan kesihatan awam".
Catatan Facebook kumpulan Volunteer Community Patrol itu sudah tersebar luas di media sosial dan dikongsi lebih 750 kali.
Ia juga sedang berusaha untuk mendapatkan lebih ramai relawan untuk menyertainya dalam usaha meluaskan inisiatif tersebut ke lebih banyak lif di merata negara.
Sebelum ini, terdapat beberapa laporan tentang tindakan tidak bertimbang rasa oleh sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang sengaja mengotori tempat awam sekali gus membangkitkan keresahan dalam kalangan penduduk.
Misalnya, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyiasat beberapa remaja kerana meludah butang lif di Punggol, Ang Mo Kio dan Sengkang.
Namun, banyak juga laporan yang timbul mengenai rakyat Singapura yang peduli dan baik hati tampil untuk menghulurkan bantuan di ruang awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.