Kumpulan pertama sekitar 300 jemaah Haji SG selamat pulang ke tanah air
Anggota keluarga dan sahabat handai menyambut kepulangan para jemaah Haji Singapura di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syafeera Sofian)
Kumpulan pertama jemaah Haji Singapura itu disambut dengan rasa syukur dan kegembiraan oleh ahli keluarga yang telah memenuhi Terminal 3 Lapangan Terbang Changi seawal jam 3.00 petang.
Kumpulan pertama itu merupakan kumpulan jemaah dari kesemua tujuh GSA - Hagel Travel & Tours, Hahnemann Travel & Tours, Halijah Travels, Jalaluddin Travel & Services, Noor Mohamad Services & Travel, Shahidah Travel & Tours, TM Fouzy Travel & Tours.
Mereka menaiki penerbangan Saudia Airlines dari Jeddah, Arab Saudi.
Jemaah Hagel Travel & Tours, Encik Arizni Abdul Aziz, 67 tahun berkata: "Saya amat gembira dapat bertemu semula dengan keluarga selepas 25 hari berada di sana. Jadi, saya agak sedih juga kerana terpaksa berjauhan dengan mereka."
Meskipun musim haji tahun ini berlangsung dalam cuaca panas dan situasi kesihatan global yang mencabar, para jemaah Singapura berjaya menunaikan ibadah dengan lancar dan selamat.
"Pengalaman yang saya rasa sangat sukar untuk saya ungkapkan kerana ia melibatkan aspek kerohanian dan emosi," kata seorang jemaah Hagel, Cik Salmah Samion.
"Namun, saya merasakan bahawa saya mampu mengatasi semua cabaran yang ada, sama ada besar atau kecil, termasuk dari segi suhu dan cuaca panas. Kami juga perlu melaksanakan banyak ibadat, tetapi Alhamdulillah saya dapat mengharunginya," tambahnya lagi.
Para jemaah Singapura berpuas hati dengan sistem pengurusan haji Singapura yang cekap di Arab Saudi.
Ia termasuk usaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) dalam menjaga kebajikan mereka, termasuk penyediaan makanan di tempat-tempat penginapan.
Encik Azrini pula memuji usaha GSA dalam menjaga kebajikan jemaah.
"Sekiranya ada sebarang kesusahan atau masalah, saya boleh menghubungi mereka dan bertanya apakah bantuan yang boleh diberikan. Mereka akan membantu sedaya upaya. Contohnya, rakan sebilik saya mengalami demam panas dan selesema," kata Encik Arizni.
Menyifatkan pengalaman Haji sebagai sesuatu yang yang memerlukan pengorbanan, Encik Arizni mengatakan: "Saya amat gembira dapat bertemu semula dengan keluarga selepas 25 hari berada di sana. Jadi, saya agak sedih juga kerana terpaksa berjauhan dengan mereka. Namun, memandangkan kami menunaikan ibadah haji, kami perlu berkorban demi Allah."
Pada tahun ini, MUIS telah mengatur tiga penerbangan terus yang diselaraskan antara Arab Saudi dan Singapura bagi 900 jemaah hajinya.
Baki 600 jemaah yang masih berada di Arab Saudi dijangka pulang pada 5 dan 8 Jun 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.