Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan pertama jemaah haji SG selamat pulang ke tanah air

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kumpulan pertama seramai 70 jemaah haji Singapura selamat pulang ke tanah air pada Isnin (24 Jun).

Jemaah syarikat Shahidah Travel and Tours Pte Ltd itu menaiki pesawat Saudi Arabian Airlines dari Jeddah ke Kuala Lumpur sebelum menyambung perjalanan pulang ke Singapura dengan pesawat Singapore Airlines.

Pesawat SQ105 itu mendarat di Lapangan Terbang Changi Terminal 3 sekitar 12.00 tengah hari tadi.

Dakapan serta ciuman daripada para anggota keluarga tersayang menyambut kepulangan para jemaah itu sebaik-baik sahaja mereka sampai di dewan ketibaan.

Kepulangan mereka turut disambut Ketua Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Khairul Anwar dan Timbalan Mufti dan Pegawai Ugama SPAO, Dr Izal Mustafa Kamar.

Ibadah haji pada tahun ini jatuh dalam musim panas Saudi dengan pusat kaji cuaca negara itu melaporkan suhu melepasi paras 50 darjah selsius.

Pegawai Shahidah Travels and Tours Pte Ltd Cik Nur Ashiqin Salleh berkata pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan kebajikan para jemaah terjaga.

“Proses haji pada tahun ini berjalan dengan lancar. Memandangkan suhu mencecah 51.8 darjah Celsius, kami memang sentiasa menasihatkan para jemaah untuk sentiasa minum banyak air, dan menjaga diri untuk tidak selalu keluar bila cuaca tengah panas, terutama sekali pada waktu lapan pagi hingga ke waktu Zuhur dalam jam satu petang.

"Bagi para jemaah tahun ini, mereka lebih selesa atas peningkatan di khemah-khemah di Arafah terutama sekali memandangkan cuaca di Arafah amat panas lah," kata Cik Nur Ashiqin kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.

Antara yang gembira pulang ke tanah air ialah Sabariah Muhammad Jizat, 68 tahun.

“Antara cabarannya adalah cuaca yang panas, dan ramai orang yang sakit, sudah tua,” kata beliau.

Seorang lagi jemaah, Cik Raima Amat, 69 tahun, melahirkan rasa gembira dapat menunaikan ibadah haji meski berdepan dengan cuaca yang amat mencabar.

“Walaupun banyak cabaran, semuanya berjalan dengan lancar. Kalau boleh, saya nak pergi lagi (menunaikan haji),” kata beliau.

Pada minggu lalu, Ketua Delegasi Haji Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman berkata secara keseluruhannya,terdapat penurunan ketara sebanyak 25 peratus dalam kes perubatan semasa Haji 2024 berbanding musim haji sebelumnya.
Bilangan jemaah haji Singapura yang memerlukan bantuan perubatan pada akhir ibadah utama seperti berwukuf dan melontar jamrah pada musim haji kali ini berkurangan sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah kes kemasukan jemaah haji Singapura ke hospital di Arab Saudi juga turun sebanyak 50 peratus.

Tahun ini, seramai 1407 jemaah Singapura dapat menunaikan ibadah haji.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan