Kumpulan pertama jemaah haji SG selamat berangkat ke Tanah Suci
SINGAPURA: Kumpulan pertama jemaah haji Singapura berangkat ke Tanah Suci hari ini (3 Jun).
Seramai 109 jemaah daripada Noor Mohamad Services & Travel dan Halijah Travels berlepas ke Jeddah menaiki penerbangan Scoot dan dijangka tiba di sana pada sekitar jam 8.50 malam waktu tempatan.
Bagi penerbangan pada jam 4.05 petang, para jemaah dan keluarga mereka sudah mula berkumpul di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi sejak 11 pagi tadi (3 Jun).
Apabila tiba masa untuk para jemaah masuk ke ruang berlepas, suasana sayu bercampur gembira cukup terasa apabila ada yang mengalirkan air mata, berpelukan erat kerana akan berjauhan sehingga tiga minggu lamanya.
Ada juga jemaah yang tak dapat menahan sebak kerana penantian mereka berakhir dengan ada yang sudah menunggu lama, sehingga 10 tahun, untuk giliran mereka menunaikan ibadah haji.
PENANTIAN 10 TAHUN UNTUK TUNAIKAN HAJI
Antaranya ialah Cik Salimah Amir, 77 tahun yang akan menunaikan Haji buat pertama kalinya bersama anak dan menantunya.
Beliau amat gembira dan tidak menyangka dapat menunaikan Haji pada tahun ini.
"Saya tunggu selama 10 tahun. Itu pun saya tidak tahu kerana yang mendaftar untuk haji ini ialah anak saya. Itu yang saya dapat tahu. Saya pun bersyukur kepada Allah dapat pergi haji. Saya minta saya pergi haji ini dengan sempurna, dapat mengerjakan haji yang mabrur dan permudahkan diri saya supaya sihat di sana," kongsi Cik Salimah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Alhamdulillah semua sudah saya siapkan. Tidak ada yang ketinggalan, (semua) sudah saya bawa, seperti ubat-ubat dan apa-apa berkaitan diri saya. Saya sudah cukup sedia untuk pergi haji ini," tambah jemaah dari Noor Mohamad Services & Travel itu.
Perasaan teruja yang sama turut dikongsi seorang lagi jemaah dari Noor Mohamad Services & Travel, Encik Adam Tan Abdullah, 69 tahun.
Beliau antara 31 jemaah dari Noor Mohamad Services & Travel yang berangkat hari ini (3 Jun) dengan pakej 24 hari.
"Saya sudah tunggu 10 tahun dan Alhamdulillah sekarang sudah dapat peluang untuk menunaikan ibadah haji. Memang gembira sebab ramai orang tunggu lama dan barisan pun panjang," kongsi Encik Adam.
Bagi Encik Adam, pengalaman yang sudah diraih semasa menunaikan ibadah umrah dapat sedikit sebanyak membantunya dalam menunaikan ibadah haji kali ini.
"Saya ingat biasanya memang ada sedikit kerisauan sebab ada banyak cabaran juga tetapi kalau kita ada keyakinan, insya-Allah kita boleh menunaikan ibadah dengan sempurna," ujar Encik Adam.
"(Saya ada lakukan) Persiapan fizikal dan mental, tetapi nasib baik juga saya sudah pernah melakukan umrah dan ada sedikit pengalaman daripada menjalani ibadah umrah. Jadi ada sedikit persamaan dengan ibadah Haji juga seperti tawaf dan sai," tambah beliau.
PERSEDIAAN DILAKUKAN ATASI CABARAN CUACA PANAS
Dalam pada itu, Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, turut berkongsi beberapa persediaan yang sedang diusahakan pihak GSA untuk para jemaah Singapura kali ini.
Ia lebih-lebih lagi dengan cabaran cuaca panas yang boleh menjangkau sehingga 50 darjah Celsius.
"Pihak GSA telah merancang dengan pihak pembekal kami di sana untuk mengadakan ataupun mendirikan khemah di Arafah dan Mina yang sesuai dengan keadaan panas. Maksudnya adakan insulasi berganda, kemudian tembok-tembok di khemah itu sesuai dengan keadaan dan kemudian peniup hawa dingin jadi apabila jemaah memasuki khemah itu, mereka akan rasa lebih sejuk sedikit kerana cuaca di luar panas. Jadi ini antara persediaan kami menempuh cuaca yang panas di sana, insya-Allah," kongsi Ustazah Juyda.
BANYAK MINUM AIR, BAWA UBAT-UBATAN YANG MENCUKUPI
Selain itu, para jemaah juga dinasihati untuk minum lebih banyak air, memakai pakaian yang sesuai dengan cuaca, serta membawa ubat-ubatan mereka.
Ia agar mereka dapat menjalani ibadah haji dengan sihat dan selesa.
"Alhamdulillah, pihak MUIS telah menghadiahkan jemaah botol air yang boleh diisi air panas dan juga air sejuk. Jadi, kami memang menasihati jemaah untuk sentiasa bawa botol tersebut, jadi air itu sentiasa ada pada mereka untuk mereka berani minum air itu. Kami juga telah menasihati jemaah untuk membawa pakaian yang bersesuaian dengan cuaca di sana. Contohnya, pakaian berwarna cerah yang sesuai, bukan warna-warna yang gelap seperti hitam, biru dan sebagainya," jelas Ustazah Juyda.
"Kami (juga) menasihati jemaah untuk membawa ubat-ubatan mereka secukupnya. Kalau boleh bawa lebih pun tidak menjadi masalah kerana ubat-ubatan di Singapura berlainan sedikit dengan ubat-ubatan yang terdapat di sana. Jadi sekiranya jemaah memang dalam keadaan yang memerlukan ubat-ubatan spesifik, contohnya untuk penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi, mereka ada bawa ubat-ubatan secukupnya untuk persediaan mereka ke haji," tambah beliau.
JEMAAH DINASIHATI PAKAI PELITUP JIKA KURANG SIHAT
Di samping itu, dengan jumlah kes COVID-19 yang melonjak baru-baru ini, Ketua Delegasi Haji tahun ini, Dr Mohamad Maliki Osman berkata, adalah penting untuk para jemaah memantau kesihatan mereka termasuk suhu badan mereka dan menggunakan pelitup sekiranya mereka kurang sihat.
Dr Maliki dan Duta Besar Arab Saudi ke Singapura, Abdullah Mohammed Almadhi, turut hadir di Terminal 1 siang tadi (3 Jun).
Ditanya apakah antara langkah keselamatan atau rancangan Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk bantu jemaah sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi di tengah-tengah pergolakan Timur Tengah, ini jawapan beliau:
"Memang kita tahu keadaan di Timur Tengah masih belum sampai ke tahap yang kita inginkan. Semua jemaah kita prihatin tentang keadaan yang berlaku di sana. Bagi pihak Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), kami telah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan GSA untuk memastikan kami bersedia dalam apa jua kecemasan yang mungkin akan berlaku.
Tetapi yang penting ialah kita bekerjasama untuk memastikan bahawa semua jemaah kita mengikut arahan-arahan yang telah diberikan, untuk memastikan mereka selamat berjalan dan bergerak secara berkumpulan supaya kita tahu keadaan mereka di mana mereka berada dan jika ada keadaan kecemasan, kita akan bekerjasama untuk memastikan semua akan selamat dan teratur."
SEDIAKAN KESELESAAN UNTUK JEMAAH TUNAIKAN HAJI
Sebagai ketua delegasi, Dr Maliki akan berusaha untuk memastikan kemaslahatan dan kebajikan para jemaah.
"Insya-Allah sebagai pemimpin delegasi dari Singapura kali ini, saya akan mengunjungi jemaah-jemaah kita apabila berada di sana dan mendapatkan maklum balas mereka, agar mereka semua akan dapat memberitahu kita sama ada ada kekurangan yang mungkin dapat kita membantu mereka untuk memastikan bahawa pengalaman mereka sesuai dan berpatutan dan mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan sebaik mungkin, ujar Dr Maliki.
Tambah beliau, apa yang penting ialah menyediakan keselesaan bagi para jemaah agar dapat menjalankan ibadah haji mereka dengan sempurna.
"Kita ingin membantu memastikan bahawa mereka tidak keraguan dan risau tentang anggota keluarga mereka di rumah. Jadi yang penting ialah, kita memberi sokongan bukan sahaja kepada mereka (jemaah), kita memastikan mereka dapat (menumpukan) kepada ibadah mereka dan memberi sokongan kepada anggota keluarga mereka di Singapura ini," jelas Dr Maliki.
"Setiap GSA sudah mempunyai protokol masing-masing untuk berhubungan dengan anggota keluarga masing-masing supaya sekiranya ada (sesuatu) berlaku ataupun ada mesej-mesej atau berita-berita yang ingin disampaikan kepada anggota keluarga mereka, kita akan dapat membantu mereka. Jadi apa yang penting ialah kita memberi jemaah kita keadaan yang selesa untuk mereka menjalankan ibadah haji mereka dan insya-Allah, mereka akan dapat menjalankannya dengan sempurna dan mendapat haji yang mabrur," tambahnya.
Dr Maliki dan kumpulan terakhir jemaah haji Singapura dijadual akan berangkat pada 10 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.