Kumpulan pertama jemaah Haji SG berlepas ke Tanah Suci
Sekitar 300 jemaah dijadualkan berlepas dalam penerbangan pertama bagi menunaikan ibadah Haji. (Gambar: Aqil Ezat)
SINGAPURA: Kumpulan pertama jemaah haji dari Singapura yang terdiri daripada seramai 302 orang dijadualkan berlepas ke Tanah Suci pada jam 2.20 pagi, 9 Mei.Mereka antara tiga rombongan jemaah haji Singapura yang akan berangkat tahun ini.
Turut hadir bagi mengiringi dan memberi sokongan kepada para jemaah di Lapangan Terbang Changi ialah Ketua Delegasi Haji Singapura tahun ini, iaitu Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.
"Saya terharu melihat seluruh masyarakat Singapura menyokong jemaah haji kita. Terima kasih atas sokongan daripada kaum keluarga, rakan rakan masyarakat dan sekalian rakyat Singapura. Semoga jemaah haji kita sentiasa selamat dan sihat sejahtera serta dapat menunaikan haji dengan sempurna," kata Dr Faishal.
"Persediaan para jemaah telah dimulakan lebih awal dan secara berterusan selama beberapa bulan. Pihak MUIS, Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), MFA dan ejen-ejen pelancongan, pasukan perubatan dan rakan-rakan kongsi kami telah bekerja rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menyokong jemaah haji kita," tambahnya lagi.
Ini merupakan kali pertama jemaah Haji Singapura berangkat secara bersama.
Dua lagi penerbangan jemaah Haji Singapura dijangkakan berlepas pada 12 dan 14 Mei ini.
BERSYUKUR UNTUK LAKUKAN HAJI MESKIPUN KEADAAN TIMUR TENGAH TIDAK STABIL
Antara jemaah dalam kumpulan pertama itu ialah keluarga lima beranak Encik Muhamad Sabar Adam.
Beliau berangkat bersama isteri dan tiga orang anaknya.
Anak-anaknya berusia antara 18 hingga 22 tahun.
Keluarga Encik Sabar telah menunggu selama 13 tahun dan akhirnya tiba giliran mereka untuk menunaikan ibadah Haji.
"Jadi syukur yang teramat sangat. Pada masa yang sama, walaupun ada kerisauan tentang apa yang sedang berlaku di Timur Tengah, kita sandarkan kita punya pengharapan pada Allah," tambahnya lagi.
Seorang lagi jemaah, Encik Safarullah Mohammed Rasheed yang berangkat bersama isterinya turut melahirkan rasa kesyukurannya.
"Insya-Allah kita tawakal. Kita pergi dengan niat yang baik, kita berdoa. Mudah mudahan tiada apa-apa masalah. Insya-Allah kita pergi dengan selamat. Mudah mudahan Allah swt redha kami, lindungi kami semua," tambahnya lagi.
Kumpulan pertama jemaah haji Singapura dijangka kembali ke tanah air pada 1 Jun nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.