Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kumpulan pertama 100 pekerja hijrahan dari dormitori dibenar lawat Little India

Sekitar 100 pekerja hijrahan dari dormitori hari ini (15 Sep) menjadi yang pertama dibenarkan keluar melawat ke tempat-tempat masyarakat di bawah satu program percubaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 100 pekerja hijrahan dari dormitori hari ini (15 Sep) menjadi yang pertama dibenarkan keluar melawat ke tempat-tempat masyarakat di bawah satu program percubaan.

Mereka di kalangan segelintir pekerja hijrahan yang menginap di dormitori-dormotori yang terpilih menyertai satu program perintis di mana setiap minggu, sehingga 500 pekerja hijrahan diberi kebenaran mengunjungi tempat-tempat awam dalam masyarakat.

Hari ini (15 Sep), antara tempat yang dibenarkan untuk mereka kunjungi adalah kuil Sri Veeramakaliamman dan sebilangan tempat makan di Little India.

Menurut pihak kuil, satu sesi sembahyang khas disediakan buat mereka.

Kesemua yang hadir hari ini sudah divaksinasi sepenuhnya.

Bagi para pekerja hijrahan yang BERITAmediacorp temui hari ini, mereka melahirkan rasa gembira dapat berbuat demikian.

"Sudah hampir satu setengah tahun saya tidak dapat keluar dormitori tetapi hari ini sangat teruja untuk keluar. Saya boleh berjumpa kawan-kawan saya jadi saya sangat gembira," kata Mahalingam Rajaji, pekerja hijrahan dari India yang sudah 7 tahun bekerja di Singapura.

Sentimen yang sama disyarakan seorang lagi pekerja hijrahan, Packrisamy Muruganamtham, juga dari India. Semasa ditemui Mediacorp, dia mengatakan mahu ke pusat membeli-belah Mustafa dan makan di luar.

"Saya sudah lama tidak ke mari. Sekarang saya dapat berjumpa kawan-kawan saya. Saya juga sudah boleh melihat-lihat sesuatu yang saya perlu beli," menurut pekerja hijrahan tersebut.

LITTLE INDIA KAWASAN PERTAMA BAGI PROGRAM PERINTIS MOM

Little India adalah kawasan pertama yang dikenal pasti bagi program perintis ini oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dalam langkah melonggarkan sekatan pergerakan terhadap para pekerja yang tinggal di dormitori. Sejak COVID-19 mengganas awal tahun lalu, kumpulan pekerja asing itu terus terkurung di dormitori masing-masing demi mengawal jangkitan.

Menurut Ketua ACE Group, MOM, Tung Yui Fai, langkah ini dapat dilaksanakan kerana lebih 90 peratus pekerja dormitori sudah pun divaksinasi sepenuhnya.

"Kami mengingatkan mereka apa yang boleh dibuat dan dilarang. Mesej penting yang kami sampaikan kepada mereka adalah mereka sedang menyertai program perintis," kata Encik Tung.

"Apa yang mereka lakukan, bagaimana mereka memberi respon kepadanya akan menjejas program seterusnya."

Encik Tung percaya bahawa para pekerja hijrahan tersebut sedar akan tanggungjawab mereka dan akan mematuhi peraturan.

Pihak MOM tambahnya sedang memerhatikan program ini dengan teliti.

"Selepas ini, kami akan cuba melihat bagaimana untuk berkembang kepada tempat-tempat lain. Kami juga mungkin akan mempertimbangkan jumlah yang lebih banyak bagi slot yang disediakan bagi program ini," kongsi Encik Tung.

PENIAGA DI LITTLE INDIA LEGA

Bagi para peniaga di kawasan Little India yang lazimnya bergantung kepada para pekerja hijrahan, melahirkan rasa lega dengan kelonggaran yang diberikan kepada para pekerja hijrahan itu.

Mentelah lagi perniagaan mereka merosot sehingga 80 peratus sebelum ini.

Bagi Md Nashirul Islam, pemilik kedai Tanmoy Enterprise, beliau mendapati perniagaan terjejas teruk lebih-lebih lagi dengan kebanyakan pelanggannya merupakan pekerja dari Bangladesh.

"Produk-produk saya semua dari Bangladesh yang sering dibeli oleh pekerja Bangladesh. Jadi bila mereka tidak keluar, tidak ada orang yang akan membelinya," ujar Encik Nashirul.

Kemerosotan dari segi perniagaan ini juga turut dirasai Restoran Dhaka di Little India. Menurut restoran tersebut, perniagaannya menjunam hampir 50 peratus.

"Kita berharap pemerintah akan memudahkan lagi proses bagi para pekerja hijrahan ini keluar dari dormitori dan berbelanja," kata Cik Roslina Sharma yang mengendalikan Restoran Dhaka.

"Namun, walaupun mereka sudah divaksinasi, kita masih perlu berhati-hati. Kita akan tetap mengikut arahan pemerintah dan menjaga jarak selamat," tambahnya lagi.

Kehadiran para pekerja asing yang sekali lagi melanggani kedai-kedai di Little India menjadi sinar harapan untuk para pekedai melihat sedikit sinar harapan. Namun demikian masih terlalu awal untuk menilai sambutan dari pekerja hijrahan sendiri - sama ada mereka akan berbelanja.

Buat masa ini, para pekerja hijrahan hanya dibenarkan untuk melawat kawasan-kawasan yang sudah dikenal pasti untuk tempoh terhad enam jam sahaja.

Rancangan lain termasuklah membenarkan mereka melawat pusat-pusat rekreasi dengan lebih kerap.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan