Kumpulan pengganas semakin sasar golongan belia; SG 'sasaran utama', dedah DPM Wong
SINGAPURA: Kumpulan-kumpulan pengganas semakin menyasarkan golongan muda, dengan Singapura dianggap sebagai 'sasaran utama'.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata demikian semasa berucap di retreat tahunan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang ke-18 pada Rabu (21 Jun).
Walaupun pengganasan bukan sesuatu yang sentiasa difikirkan oleh ramai rakyat Singapura, ancaman radikalisme dan ekstremisme kekal tinggi.
RRG ditubuhkan pada 2003 selepas pihak berkuasa Singapura memberkas anggota-anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS dan Al-Qaeda misalnya, akan terus membina semula kekuatan mereka.

Ini kerana kumpulan-kumpulan pengganas tersebut mahu mencetuskan keadaan huru-hara dan memporak-perandakan suasana dengan melancarkan serangan terhadap negara-negara lain, kata DPM Wong.
"Ini termasuk Singapura yang dianggap sebagai sasaran utama para pengganas," tambah DPM Wong selanjutnya.
Kumpulan-kumpulan pengganas kini semakin canggih, menggunakan kaedah-kaedah digital seperti media sosial untuk menyebarkan propaganda dan menghasut para pengikut mereka supaya melakukan serangan.
"Ini bukan sahaja menjadikan bahan-bahan pelampau lebih mudah untuk diakses, tetapi ia juga telah mempercepatkan proses radikalisasi kepada hanya beberapa bulan, atau bahkan dalam masa beberapa minggu, kerana semua ini kini berlaku di balik skrin komputer dan ia lebih sukar untuk dikesan," dedah DPM Wong.
Kumpulan-kumpulan pengganas juga semakin menyasarkan golongan belia yang dianggap lebih mudah terjerat dan terdedah kepada pengaruh ideologi mereka.
Selain saluran-saluran media sosial tradisional, mereka juga sudah mula mengeksploitasi laman-laman penstriman muzik dalam talian dan platform permainan yang popular dalam kalangan anak muda.
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditangkap pada November 2022 dan dikenakan Perintah Tahanan bagi kegiatan-kegiatan berkaitan pengganasan, menjadikannya individu termuda setakat ini yang ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sejak 2015, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengeluarkan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap 11 warga Singapura berusia bawah 21 tahun yang menjadi radikal.
Sebahagian daripada mereka menjadi radikal seawal usia 14 tahun.
"Ancaman-ancaman itu juga menjangkaui ekstremisme Islam, kerana kita telah melihat kumpulan-kumpulan pelampau radikal dan ganas yang lebih luas dan aktif dalam menyebarkan ideologi mereka secara online," dedah DPM Wong.
Sebagai contoh, salah seorang daripada 11 remaja itu adalah seorang Kristian Protestan berusia 16 tahun yang merancang untuk melakukan serangan terhadap orang Islam di dua masjid di Singapura selepas dia terpengaruh dengan ideologi pelampau berhaluan kanan, kata DPM Wong.
Dengan lebih ramai anak muda disasarkan dalam talian, usaha menentang ideologi radikal di media sosial perlu dipergiat.
AKAUN TIKTOK RRG DILANCARKAN

DPM Wong berkata RRG sudahpun menggunakan Facebook, YouTube dan Instagram.
Pelancaran akaun di TikTok yang popular dalam kalangan golongan muda akan membolehkan RRG membangunkan cara-cara baru dan berkesan untuk membetulkan sebarang salah tafsir.
Ini selain menggalak pemahaman teks dan konsep agama dalam konteks masyarakat Singapura yang sekular.
PENTING UNTUK RRG DEKATI GOLONGAN MUDA MENERUSI MEDIA SOSIAL

Menurut Pengerusi Bersama RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali pula, adalah penting untuk RRG mendekati masyarakat, terutama sekali golongan muda.
"Mereka itu tidak dapat terlepas daripada penggunaan media sosial. Jadi dalam usaha menentang fahaman radikal dan ideologi pelampau, media sosial ini menjadi wadah yang penting.
"Wadah ini juga digunakan oleh golongan pelampau dan ekstremis. Jadi untuk kita menghadapi masalah ini buat jangka masa panjang, kita juga harus menggunakan wadah yang sama," tambah beliau.
Ditanya jenis kandungan yang akan dimuat naik, ini jawapan beliau:
"Kami merancang untuk mewujudkan video-video yang menyampaikan dan menyebarkan mesej kedamaian. Mesej di mana umat Islam dapat memahami kepentingan hidup sebagai Muslim dalam konteks Singapura yang unik iaitu masyarakat Islam sebagai masyarakat majmuk yang hidup dalam negara yang sekular, dan juga sebagai masyarakat minoriti,
"Kami sudahpun menubuhkan studio kami dan kami harap kami dapat memanfaatkannya dengan melancarkan video-video pendek yang dapat dimuat naik ke YouTube, Instagram dan juga TikTok."
USAHA KOLEKTIF ANTARA KUMPULAN MASYARAKAT DIPERLUKAN

"Saya juga menggalak para asatizah muda untuk menyertai RRG dan bagi mereka yang sudah dalam kumpulan itu, untuk memainkan peranan yang lebih aktif. Dengan ancaman radikalisasi kepada anak muda di Singapura, kami perlu pandangan dan cara baru untuk mendekati belia kita," kata beliau.
Selain itu, Singapura juga mesti mengubah dan mengembangkan kaedah-kaedah pemulihannya supaya ia boleh membantu para tahanan untuk pulang ke pangkuan masyarakat, tambahnya.
Singapura mesti terus mempunyai barisan pemimpin masyarakat yang teguh, yang terlibat secara mendalam dalam kerja-kerja pemulihan ini, yang bermatlamat untuk membawa pembaharuan dan penyegaran RRG dan tampuk kepimpinannya secara berterusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.