Kumpulan pemanah tradisional SG sertai usaha lestarikan seni itu di peringkat antarabangsa
Kumpulan pemanah tradisional SG, Traditional Archers Singapore (TAS) sertai usaha lestarikan seni itu di peringkat antarabangsa. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
SINGAPURA: Lebih banyak peluang kini tersedia untuk para penggemar sukan memanah tradisional untuk mendalaminya dan mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa.
Ini menyusuli satu Memorandum Persefahaman (MOU) bersejarah yang dimeterai Traditional Archers Singapore (TAS) dengan lagi 12 pertubuhan memanah tradisional antarabangsa lain.
MOU itu ditandatangani di Turki pada 27 Mei lalu sekali gus menandakan penyertaan Singapura dalam Persatuan Memanah Tradisional Dunia (WTAU) yang baharu ditubuhkan.
Negara-negara lain termasuk Turki, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Indonesia, Malaysia, Korea Selatan, Mongolia, Uzbekistan, Turkmenistan, Hungary dan Slovakia.
Dalam satu jawapan bertulis kepada BERITA Mediacorp, TAS berbesar hati dapat disertakan dalam persatuan itu untuk mewakili Singapura di peringkat antarabangsa.
"Kami rasa bangga kerana dapat mengangkat warisan seni memanah di Singapura ke peringkat antarabangsa. Singapura bukan sekadar negara moden tetapi juga memiliki warisan hebat," kongsi Presiden TAS, Encik Alfyan Ariff.
"Kami berharap lebih ramai anak muda akan mengenali, meminati dan berbangga dengan seni panahan tradisional ini kerana ia bukan hanya sukan bahkan ia cerminan disiplin, sejarah dan jati diri masyarakat Singapura," tambahnya.
PELIHARA TEKNIK WARISAN MEMANAH TRADISIONAL; KONGSI KAJIAN & DOKUMENTASI
Menurutnya lagi, kerjasama itu akan memberi peluang kepada TAS dan penggiat memanah tradisional di Singapura untuk terlibat lebih aktif di peringkat global.
Menerusi MOU itu, para pemanah dari Asia dan Eropah antara lain dapat memelihara teknik serta warisan memanah tradisional, menerusi kajian dan dokumentasi bersama.
TAS turut berkongsi kepada wartawan Nazirah Jamzuri cara ia akan menyumbang kepada usaha tersebut.
"TAS sedang menjalankan usaha mengumpul maklumat sejarah, teknik lama dan seni membuat panah tradisional menggunakan kayu. Kami juga sedang menghasilkan arkib digital agar ilmu ini dapat dipelihara dan tidak hilang ditelan masa. Usaha ini penting untuk memastikan teknik serta sejarah panahan tradisional terus hidup dan boleh dipelajari generasi akan datang," dedah Encik Alfyan.
MAHU KETENGAHKAN TEKNIK PANAHAN LAUT - UNIK BAGI SEJARAH MELAYU & SINGAPURA
Selain itu, ia juga membuka ruang kepada pertukaran latihan silang budaya bagi memperkayakan lagi pemahaman teknik serantau.
"TAS akan mengetengahkan teknik panahan laut yang unik kepada sejarah Melayu dan Singapura. Ini termasuk teknik memanah dari atas sampan, jong atau kawasan pesisir - satu bentuk panahan yang menuntut kawalan dan ketepatan dari platform yang bergerak," ujar Encik Alfyan.
"Teknik ini mempunyai persamaan dengan teknik Uthmaniyah dari Turki seperti penggunaan "zihgir" (cincin ibu jari) dan gaya menarik busur klasik," tambah beliau.
Menerusi perjanjian itu juga, terdapat rancangan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia, serta program pendidikan bagi menarik minat masyarakat global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.