Kumpulan pelajar NUS seru lebih ketelusan dalam kes salah laku seksual bekas pensyarah
Sebuah kumpulan yang dikendalikan oleh para mahasiswa dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menyeru agar universiti tersebut menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku hingga menyebabkan pemecatan bekas pensyarah Jeremy Fernando, yang dituduh melakukan salah laku seksual.
Gambar fail Universiti Nasional Singapura (NUS). (Gambar: Alif Amsyar)
SINGAPURA: Sebuah kumpulan yang dikendalikan oleh para mahasiswa dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menyeru agar universiti tersebut menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku hingga menyebabkan pemecatan bekas pensyarah Jeremy Fernando, yang dituduh melakukan salah laku seksual.
Ini adalah satu daripada lima tuntutan dari Para Pelajar untuk NUS Lebih Selamat (SafeNUS), yang menerusi satu kiriman Facebook pada Isnin (19 Okt) mengambil perhatiaan bahawa kenyataan pertama dari pihak universiti mengenai perkara itu dikeluarkan dua minggu selepas Dr Fernando dipecat dan hanya mempunyai "sedikit" maklumat.
Dalam kenyataannya pada Ahad, NUS menyatakan bahawa Dr Fernando, yang mengajar di Kolej Tembusu - salah sebuah daripada empat kolej berasrama NUS - didapati "gagal memenuhi piawai profesionalisme yang dijangkakan oleh universiti daripada tenaga pengajar", menyusuli satu siasatan dalaman berikutan dua aduan mengenai tingkah laku "tidak wajar".
SafeNUS juga mengambil perhatian bahawa kenyataan ini hanya dikeluarkan selepas beberapa individu menulis mengenai kejadian itu di media sosial.
"Meskipun kami amat memahami pentingnya kerahsiaan dalam kes seperti itu untuk melindungi identiti mangsa, ia tidak sama dengan berdiam diri mengenai perkara tersebut," kata kumpulan itu.
SafeNUS menyatakan pihaknya telah meminta perkara berikut dari pihak universiti:
- Kenyataan daripada NUS untuk menjelaskan apa yang berlaku
- Akses kepada kod tata laku kakitangan NUS
- Maklumat mengenai apa yang sedang dilakukan NUS untuk membantu para mangsa kejadian berkaitan dengan pemecatan Dr Fernando
- Perbincangan antara NUS dengan para pelajar untuk menghasilkan langkah keselamatan lebih baik
- Beralih dari hukuman jangka pendek bagi salah laku seksual ke arah keadilan yang lebih berbentuk "membawa perubahan" yang akan membantu mangsa untuk pulih
Ia adalah amat penting universiti bertindak secara telus, kata kumpulan itu dalam catatannya.
“Ini terutamanya penting kerana tuduhan tersebut adalah keganasan yang dilakukan oleh kakitangan.
"Tindakan dari institusi, atau kurang tindakan, memberi isyarat kepada para pelajar tentang kebertanggungjawapan institusi itu dalam hal-hal keselamatan pelajar."
Ini termasuk bersikap telus dengan para mangsa sepanjang proses membuat laporan, memahami apakah yang mereka mahu pihak universiti lakukan selepas siasatan dilakukan dan berkongsi maklumat mengenai tindakan susulan sedia ada dan masa depan yang akan dibawa oleh universiti kepada badan pelajar, tambah kumpulan itu.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, NUS menyatakan pihaknya maklum mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan pelajar itu.
"Kami berterima kasih kepada para pelajar kerana mengemukakan keprihatinan mereka dan berkongsi cadangan dengan kami," kata universiti itu, sambil menambah bahawa pihaknya sedang mengkaji kenyataan tersebut dan akan menghubungi SafeNUS pada waktu yang sesuai.
SafeNUS dibentuk tahun lalu ekoran kes berprofil tinggi yang mana seorang bekas penuntut Monica Baey dirakam oleh rakan pelajar ketika beliau mandi di tandas asrama. Beliau menggunakan media sosial untuk meluahkan kemarahannya tentang cara universiti tersebut menangani kes itu, yang membawa kepada perbincangan nasional mengenai salah laku seksual di kampus dan perubahan rangka kerja disiplin di NUS dan universiti-universiti lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.