Skip to main content

Singapura

Kumpulan masyarakat sivil gesa kerajaan Malaysia percepat pelaksanaan pembaharuan undang-undang 'lapuk'; bimbang rombakan kabinet sekat kemajuan

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan masyarakat sivil gesa kerajaan Malaysia percepat pelaksanaan pembaharuan undang-undang 'lapuk'; bimbang rombakan kabinet sekat kemajuan

Gambar: CNA/Fadza Ishak

Diterbitkan : 14 Dec 2023 02:21PM Dikemas Kini : 14 Dec 2023 02:22PM
KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Malaysia menggesa kerajaan negara itu agar mempercepatkan pembaharuan undang-undang berkaitan dengan kebebasan bersuara, yang penggunaannya dikatakan telah menyaksikan kenaikan ketara pada tahun lalu.

Sebuah kumpulan turut menyuarakan kebimbangan bahawa rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa, mungkin menyebabkan langkah pembaharuan sedemikian menjadi semakin perlahan.

Seorang penganalisis, yang ditemui Mediacorp, berkata undang-undang itu masih diperlukan dalam sebuah negara seperti Malaysia manakala seorang percaya bahawa langkah pembaharuan mungkin bukan satu keutamaan kerajaan buat masa ini.

Menurut badan-badan masyarakat sivilC sejak kerajaan mengangkat sumpah lebih setahun lalu, undang-undang seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia terus dikuatkuasakan.

Ini meskipun Pakatan Harapan (PH) menjanjikan pembaharuan untuk memansuhkan undang-undang tersebut ketika berkempen semasa pilihan raya umum ke-15 pada November tahun lepas.

PH kini membentuk kerajaan perpaduan, bersama Barisan Nasional dan beberapa parti Sabah dan Sarawak

Laporan yang dikeluarkan badan-badan sivil itu menyatakan jumlah insiden yang menggunakan undang-undang itu telah melonjak dari segi penggunaan, berbanding tahun lalu, sebahagiannya sebanyak seganda.

Kegagalan kerajaan untuk mengotakan janjinya juga menimbulkan persoalan mengenai komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memupuk masyarakat yang lebih terbuka dan demokratik.

Badan-badan tersebut turut menggesa dilaksanakan segera langkah pembaharuan untuk mewujudkan sekitaran undang-undang, yang melindungi kepelbagaian suara dan pendapat yang dianggap penting bagi demokrasi yang bertenaga.

PENGGUNAAN UNDANG-UNDANG SEKATAN DITERUSKAN


Satu laporan mengenai tahap kebebasan bersuara di Malaysia oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), yang dikeluarkan pada 10 Dis, menyatakan perlu ada lebih banyak kemajuan, setahun selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk.


Laporan itu juga menekankan bahawa kurangnya pembaharuan yang ketara untuk menangani kebebasan bersuara dari segi sejarah adalah "punca wujudnya kebimbangan kerana ia mencerminkan tindakan yang sejak sekian lama digunakan untuk menindas perbezaan pendapat dan membatas wacana politik".


Laporan itu menjelaskan bahawa PH membuat janji hebat dalam manifesto pilihan rayanya, di mana ia berikrar untuk menubuhkan sebuah majlis media, memansuhkan akta lapuk yang menyekat kebebasan bersuara, menggubal Akta Hak Peroleh Maklumat dan melindungi pemberi maklumat.


"Namun, rangka kerja Madani yang dikeluarkan selepas pembentukan kerajaan meletakkan kurang perhatian terhadap janji-janji yang dibuat dalam manifesto PH," menurut laporan itu.


Dalam kalangan mereka yang sudah didakwa di bawah Akta Hasutan termasuk Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor serta Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Razali Idris.

Muhammad Sanusi Md Nor di Mahkamah Majistret Selayang, Selangor pada 18 Jul 2023. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Tuduhan pertama adalah berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor manakala tuduhan kedua pula berkaitan dengan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.


Pada bulan lalu, Encik Razali dari Bersatu didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mendakwa kerajaan mengawal badan kehakiman serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Malah, hanya minggu lalu, polis Malaysia menangkap seorang lelaki 36 tahun selepas dia menyuarakan sokongan bagi dijalin hubungan diplomatik dengan Israel dalam satu wawancara dengan seorang pempengaruh media sosial warga Israel. Menurut media tempatan, lelaki itu disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.


Sementara itu, pengarah eksekutif badan asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy memberitahu Mediacorp bahawa badan-badan masyarakat sivil mahu diadakan garis masa mengenai apa yang dilakukan kerajaan berhubung pembaharuan yang dijanjikan.


"Seorang menteri baharu akan turut serta perbincangan dan akan berkata beliau perlu masa untuk mengkaji isu tersebut dan keseluruhan proses itu akan berulang lagi," ujarnya.


PEMBAHARUAN UNDANG-UNDANG BUKAN KEUTAMAAN KERAJAAN: PENGANALISIS

Para penganalisis politik, bagaimanapun, merasakan bahawa pembaharuan undang-undang tidak diutamakan, berbanding isu-isu lain yang dihadapi negara itu. Bahkan, mereka berpendapat kerajaan mungkin menggunakan undang-undang itu bagi kepentingannya.


Profesor James Chin dari Universiti Tasmania berkata Encik Anwar dan kerajaannya sedar bahawa laluan undang-undang adalah cara paling mudah untuk menangani orang yang dianggap menentang kerajaan.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita