Kumpulan lumba basikal SG kerjasama dapat tajaan dan sokongan bagi atlit muda
Kumpulan lumba basikal SG kerjasama dapat tajaan dan sokongan bagi atlit muda. (Gambar: Burgeon)
SINGAPURA: Usaha melahirkan generasi baru atlit pelumba basikal mendapat sokongan menerusi satu memorandum persefahaman (MOU) antara kumpulan lumba basikal gunung tempatan, Burgeon dan syarikat Advisors Alliance Group (AIA Financial Advisers) yang dimeterai hari ini (10 Ogos).
Di bawah MOU itu, Burgeon menerima tajaan S$20,000 dan perlindungan insurans bagi atlit-atlitnya dari tempoh Julai 2023 hingga Disember 2024.
"Dengan sokongan tambahan yang kami terima menerusi kerjasama ini, kami boleh membuka peluang baru bagi atlit muda kami yang sedang membangun untuk mendedahkan mereka kepada lumba serantau dan lebih banyak lumba antarabangsa pada masa hadapan juga," menurut Pengurus Pasukan Burgeon, Lukman Banding.
"Ini juga membolehkan kami bersaing dalam pertandingan yang lebih sukar, memberi lebih banyak pendedahan kepada kawasan yang berlainan untuk berlumba yang amat membantu dengan memperbaiki penunggang kami," tambahnya lagi.
SATU PENCAPAIAN BESAR UNTUK BURGEON
Encik Lukman juga menambah bahawa kerjasama itu merupakan satu pencapaian besar kerana ia menunjukkan bahawa mereka "sedang melakukan sesuatu betul dari segi pembangunan belia" sehingga mendapat perhatian syarikat besar yang mahu menyokong usaha mereka itu.
"Ini juga membuka lebih banyak pintu untuk perniagaan-perniagaan yang berminat untuk menyokong kami juga," kongsi Encik Lukman.
Para jurulatih profesional serta relawan yang berdedikasi turut membentuk pasukan itu bagi membawa Burgeon ke persada serantau dan antarabangsa serta sebagai wakil untuk sukan dan negara.
Antara jurulatihnya termasuk Encik Junaidi Hashim yang pernah mewakili Singapura dalam acara lumba basikal Sukan SEA.
Dengan kerjasama ini, Burgeon berharap dapat membawa para atlit mereka ke tahap yang seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.