Skip to main content

Singapura

Kumpulan Kerja Warga ditubuhkan bagi bangunkan sistem pentadbiran wakaf yang kukuh

Sebuah Kumpulan Kerja Warga akan ditubuhkan dalam usaha mewujudkan sistem pentadbiran wakaf yang kukuh.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jun 2020 04:41PM Dikemas Kini : 07 Jun 2020 09:35PM

SINGAPURA: Sebuah Kumpulan Kerja Warga akan ditubuhkan dalam usaha mewujudkan sistem pentadbiran wakaf yang kukuh.

Kumpulan Kerja itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang juga anggota Majlis Tertinggi Muis.

Ia turut dianggotai pakar daripada pelbagai sektor seperti perbankan, perundangan, dan pelaburan.

Demikian diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli dalam satu wawancara khas, hari ini (7 Jun).

Encik Masagos mengumumkan inisiatif Wakaf Masyarakat Singapura bagi anggota masyarakat mewasiatkan hartanah mereka, dalam majlis perjumpaan Hari Raya Menteri secara online pada Jumaat (5 Jun).

Tujuannya untuk menyokong institusi keagamaan, pembangunan asatizah serta program jangka panjang masyarakat. 

MASAGOS: ASET HDB BOLEH DIWAKAFKAN

Menurut Encik Masagos, tidak seperti pemahaman umum yang menjangkakan wakaf hartanah hanya boleh diwasiatkan dengan hartanah-hartanah tambahan selain rumah yang mereka diami, Encik Masagos berkata flat-flat HDB juga berkemungkinan untuk diwariskan kepada sistem perwakafan.

Beliau berkata, sepertiga daripada aset HDB sebenarnya boleh diwariskan kepada sistem perwakafan selepas seseorang itu menguruskan Faraidh bagi ahli keluarga.

“Flat HDB yang kita miliki simpanlah ia sampai akhir hayat kita, sekalipun kita mahu mewariskan kepada anak, mungkin sepertiga kita boleh mewariskan kepada sistem perwakafan kepada Wakaf Masyarakat Singapura itu," ujar Encik Masagos.

“Dengan wang tunai itu, kita dapat mengumpulkan dan membeli hartanah bebas pegangan dan ini yang boleh mengekalkan nilai daripada wang daripada penjualan hartanah tadi," jelasnya lagi.

Tambah Encik Masagos: “Saya juga tidak mahu membebankan masyarakat dengan mengambil dana dalam bentuk tunai. Usulan saya adalah untuk membina sistem perwakafan.

“Saya rasa ini adalah satu paradigma baru tapi saya harap ia menjadi motivasi yang murni.”

Tambahnya lagi inisitif itu diajukan sebagai huraian jangka panjang bagi masa depan masyarakat Muslim.

Semasa mengumumkan penubuhan Wakaf Masyarat Singapura itu, Encik Masagos berkata ia adalah sebuah portfolio baru dalam bentuk hartanah.

Ia juga akan menyatukan aset-aset dari pelbagai institusi wakaf, masjid-masjid dan sumbangan dari masyarakat, lantas menerusi sinergi tersebut diharap meningkatkan nilai aset masyarakat serta memaksimumkan pendapatan.

"Sayangnya mewakafkan hartanah adalah satu budaya yang kelihatan hilang dari kita. Justeru, pada suasana Hari Raya yang mulia ini, saya ingin mengajak masyarakat, terutama mereka yang lebih mampu, supaya bersedia untuk memanfaatkan rezeki dan harta kekayaan kita, untuk membantu memenuhi pembiayaan sosio-agama kita pada masa ini dan masa hadapan. Saya yakin, dengan menjiwai matlamat berwakaf hartanah, ia dapat memberi kita matlamat yang murni dan bermakna dalam kita mengejar kejayaan di dunia," kata Encik Masagos dalam Majlis Perjumpaan Hari Raya tahunannya kelmarin.

Beliau berkata laporan pertama Kumpulan Kerja itu akan siap dibentangkan sebelum Belanjawan 2021.  

HINDARI KRISIS PEKERJAAN

Dalam wawancara khas bersama media itu, Encik Masagos turut menyentuh tentang perancangan jangka panjang bagi membantu pekerja Melayu/Islam terkesan COVID-19.

Beliau memberi jaminan bahawa Pemerintah komited untuk memastikan mereka yang terjejas akan disediakan peluang pekerjaan meskipun sementara.

Mereka juga akan terus diberi sokongan dan bantuan pasca COVID-19.

Dalam sektor keagamaan pula, pelbagai usaha sudah dijalankan bagi membantu golongan asatizah terjejas.

“Kita juga harus perlu melakarkan pelan-pelan jangka panjang untuk membantu mereka ini termasuk program-program kemahiran dan sebagainya,” tambah beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita