Skip to main content

Singapura

Kumpulan kerja tiga pihak dibentuk bagi tangani warga asing buat tugas penghantaran secara haram

Kumpulan kerja tiga pihak sedang dibentuk bagi menangani isu warga asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Jumaat (4 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jul 2025 06:46PM Dikemas Kini : 04 Jul 2025 10:26PM
SINGAPURA: Kumpulan kerja tiga pihak sedang dibentuk bagi menangani isu warga asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada Jumaat (4 Jul).

"Tindakan segera" perlu diambil kerana isu tersebut mewujudkan persaingan tidak adil bagi pekerja penghantaran dan memberi kesan langsung terhadap pendapatan mereka, menurut NTUC.

Kumpulan kerja itu akan melibatkan Grab Singapore, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), yang akan bekerjasama dengan NTUC serta persatuan gabungannya.

Selepas Akta Pekerja Platform diluluskan pada September 2024, NTUC dan persatuan pekerja platform yang bergabung dengannya terus memperjuangkan kebajikan pekerja platform di pelbagai ruang dan wadah, menurut kesatuan itu.

Antara isu yang dibangkitkan termasuk kebimbangan terhadap pendapatan pekerja platform, isu keselamatan, serta persaingan daripada penyedia perkhidmatan tumpang (hitch) secara haram, menurut NTUC.

NTUC menyatakan pihaknya menerima maklum balas bahawa terdapat kerja penghantaran yang dilakukan warga asing secara haram.

"Sebahagian daripada mereka menyalahgunakan akaun untuk mengambil kerja penghantaran secara langsung di platform-platform," menurut NTUC.

Ia turut menarik perhatian bahawa terdapat juga laporan mengenai warga asing yang melakukan kerja penghantaran tanpa permit kerja yang sah.

"Ini mewujudkan persaingan tidak sah dan tidak adil untuk pekerja penghantaran tempatan, dan memberi kesan langsung terhadap pendapatan mereka."

Kebimbangan mengenai penyalahgunaan akaun penghantaran pernah dibangkitkan sebelum ini.

Pada 2023, Mediacorp melaporkan terdapat pelbagai akaun penghantar Deliveroo dan foodpanda yang dijual di platform beli-belah online Carousell.

NTUC menegaskan bahawa pekerjaan platform hanya boleh dilakukan oleh rakyat Singapura.

Pengendali platform boleh menyerahkan tugasan kepada syarikat-syarikat yang menggajikan warga asing, namun pekerja asing tersebut perlu memiliki permit kerja yang sah.

Isu persaingan haram itu menambahkan lagi cabaran sedia ada yang dihadapi oleh pekerja platform, menurut NTUC.

Sebagai contoh, pekerja platform berdepan isu berkaitan kestabilan pendapatan dan jaminan kewangan.

Mereka juga boleh mengambil skim insentif yang menggalak waktu kerja yang lebih panjang, yang boleh menjejas keselamatan mereka, menurut NTUC.

Jenis kerja yang ditugaskan kepada mereka melalui aplikasi juga tidak menentu, yang membawa kepada ketidakpastian bagi pendapatan mereka.

Situasi tersebut menyebabkan mereka bergelut dengan kekurangan jaminan pendapatan, menurut kesatuan itu.

NTUC turut menekankan isu perkhidmatan tumpang secara haram, seperti perkhidmatan yang mengambil penumpang dari tepi jalan, yang dijalankan secara tidak sah, melalui aplikasi kiriman mesej seperti Telegram yang memberi kesan langsung kepada pendapatan pekerja.

"Perkhidmatan haram ini mengurangkan peluang pekerjaan sah bagi pekerja platform, mewujudkan persaingan tidak adil yang menjejas kemampuan mereka untuk memperoleh pendapatan mampan," menurut NTUC.

Setiausaha Agung NTUC, Ng Chee Meng, berkata pekerja platform adalah golongan yang rentan kerana mereka menghadapi pelbagai cabaran dalam mencari nafkah.

"Adalah tidak adil apabila mereka mengalami pengurangan pendapatan akibat persaingan daripada pekerja haram," kata Encik Ng.

"Sebab itulah saya menyeru penubuhan kumpulan kerja tiga pihak bagi menangani isu ini dan cabaran-cabaran lain yang dihadapi oleh pekerja platform kita.

"Pekerja platform kita harus diberi layanan adil dalam usaha mereka mencari nafkah secara jujur."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita