Skip to main content

Singapura

Kumpulan kerja perkahwinan, keibubapaan bentang saranan awal; tidak mahu berlengah tangani kemerosotan kadar kelahiran

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan kerja perkahwinan, keibubapaan bentang saranan awal; tidak mahu berlengah tangani kemerosotan kadar kelahiran

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah bercakap kepada media mengenai perkembangan terkini Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan dan Keibubapaan di D'Marquee, Downtown East pada 15 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 15 Aug 2026 10:35PM Dikemas Kini : 16 Aug 2026 12:03AM
SINGAPURA: Langkah untuk meningkatkan sokongan kepada keluarga akan dilaksanakan lebih awal tanpa menunggu Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan dan Keibubapaan menyiapkan laporan penuhnya, selepas beberapa perkara yang mendapat “kata sepakat yang jelas” mengenai cabaran dihadapi keluarga dikenal pasti menerusi sesi libat urus bersama rakyat Singapura.

Berucap semasa majlis jamuan malam Hari Kebangsaan di kawasan Pasir Ris-Changi pada Sabtu (15 Ogos), Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berkata kumpulan kerja itu, yang akan mengeluarkan laporan penuh pada awal 2027, sudah mengemukakan beberapa saranan dasar sementara supaya Singapura tidak “membuang masa” dan berlengah dalam menangani isu penting berkaitan kadar kelahiran yang semakin merosot.

Ini termasuk meneliti semula kos membesarkan anak, akses kepada penjagaan bayi dan kanak-kanak yang dimampui, serta bentuk sokongan lain untuk keluarga.

Perdana Menteri Lawrence Wong akan berkongsi butiran lanjut dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 23 Ogos, kata Cik Indranee.

Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan dan Keibubapaan ditubuhkan awal tahun ini untuk membangunkan pelan hala tuju bagi menjadikan perkahwinan dan keibubapaan lebih mudah dicapai, mendapat sokongan dan dihargai di Singapura.

Cik Indranee, yang mempengerusikan kumpulan kerja itu, berkata para anggota kumpulan tersebut telah meluangkan masa sejak beberapa bulan lalu untuk berbincang dengan rakyat Singapura mengenai harapan, aspirasi dan keprihatinan mereka berkaitan perkahwinan dan keibubapaan.

Ketika ditanya mengapa saranan itu perlu dikemukakan lebih awal sedangkan laporan penuh dijangka siap dalam tempoh kira-kira enam bulan, Cik Indranee berkata beberapa isu jelas menjadi perhatian orang ramai dan sudah boleh ditangani.

“Daripada menunggu ... memandangkan ini isu penting, (kita) mungkin lebih baik menanganinya lebih awal dan secara langsung,” katanya kepada para wartawan di luar acara tersebut.

“Ini sebenarnya satu semakan yang sangat menyeluruh. Kami meneliti setiap perkara dan terdapat banyak lagi aspek yang perlu kami kaji.

“Jadi kami fikir lebih baik mengemukakan perkara-perkara ini lebih awal, memberi isyarat lebih awal, dan selepas itu kami boleh memberi tumpuan kepada bidang lain.”

"GELOMBANG PERTAMA LANGKAH"

Cik Indranee berkata Rapat Umum Hari Kebangsaan akan datang akan menyaksikan “gelombang pertama” langkah yang terhasil daripada kumpulan kerja tersebut, dengan lebih banyak langkah bakal menyusul.

Beliau berkata sesi libat urus kumpulan kerja itu menunjukkan bahawa kos membesarkan anak, penjagaan kanak-kanak dan bentuk sokongan lain “menjadi perhatian orang ramai”.

“Kami merasakan bahawa melihat kepada sifat isu ini, kami sebenarnya boleh mengemukakan beberapa saranan lebih awal, dan itulah yang kami lakukan. Perkara itulah yang akan dibincangkan (Perdana Menteri) dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan,” katanya lagi.

“Saya rasa wajar untuk mengatakan bahawa beliau akan memberi tumpuan kepada sokongan, iaitu sokongan lebih besar yang boleh kita berikan kepada keluarga.”

Dalam Amanat Hari Kebangsaannya, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata satu “semakan besar” sedang dijalankan terhadap cara pemerintah menyokong keluarga Singapura, bukan sahaja ketika mereka berkahwin dan menjadi ibu bapa, tetapi sepanjang perjalanan hidup mereka.

BUDAYA TEMPAT KERJA ANTARA BIDANG YANG DIKAJI

Bidang utama yang tidak akan ditangani dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan ialah budaya dan norma di tempat kerja, kata Cik Indranee.

Kumpulan kerja itu menerima maklum balas bukan sahaja mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan, malah perkara seperti permohonan cuti dan cara aturan kerja fleksibel dilaksanakan, katanya.

Cik Indranee berkata terdapat "kata sepakat yang jelas” bahawa isu tempat kerja perlu ditangani, tetapi perkara itu memerlukan lebih banyak masa kerana kumpulan kerja itu sedang berusaha mengimbangi kepentingan dan keprihatinan majikan serta pekerja.

Beliau menekankan peranan majikan, kakitangan sumber manusia dan penyelia dalam membentuk pengalaman pekerja.

Sebagai contoh, pengalaman seorang ibu atau bapa yang mengambil Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa yang Dibayar Pemerintah (SPL) mungkin berbeza bergantung kepada reaksi penyelia mereka.

“Jika penyelia anda memahami keadaan anda dan gembira kerana anda mendapat anak, ia menjadikan segalanya lebih mudah,” katanya.

Namun, meskipun cuti diluluskan, seorang penyelia yang bertindak seolah-olah permohonan itu membebankan, akan memberi “isyarat yang sangat berbeza”, tambah beliau.

“Lantaran itu, mempelajari cara mewujudkan norma dan budaya tempat kerja yang lebih baik, saya rasa, merupakan bahagian yang sangat penting dalam perkara ini.

“Terdapat gabungan langkah yang lebih nyata, tetapi kita juga memerlukan perkara yang tidak ketara - 'sofwe' iaitu cara halus dan berhemah untuk mendekati sesuatu perkara, dan itu sebenarnya agak sukar dilakukan.”

SOKONGAN MENYELURUH

Cik Indranee berkata semakan itu mengambil pendekatan menyeluruh terhadap perjalanan sesebuah keluarga dan bukan hanya setakat melihat sokongan sekitar kelahiran seorang anak.

“Apabila bayi dilahirkan, ia tidak berakhir di situ, bukan? Seorang anak perlu melalui penjagaan kanak-kanak, sekolah rendah dan sekolah menengah,” katanya.

“Dalam semakan ini, kami mengambil pandangan menyeluruh terhadap seluruh perjalanan sesebuah keluarga dan kami mahu memastikan keluarga mendapat sokongan yang baik pada setiap peringkat.”

Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura merosot ke paras terendah dalam sejarah, iaitu 0.87 pada tahun lalu. Buat pertama kali dalam tempoh 60 tahun, kurang daripada 30,000 kelahiran hidup dicatatkan pada 2025, merosot 11.4 peratus berbanding 2024.

Sekitar 24,700 perkahwinan didaftarkan tahun lalu, turun 6.2 peratus berbanding 2024.

Cik Indranee berkata perangkaan terkini itu meningkatkan lagi tumpuan terhadap isu perkahwinan dan keibubapaan.

Dengan jumlah perkahwinan yang lebih rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia berkemungkinan membawa kepada jumlah kelahiran yang lebih rendah, maka itu adalah lebih baik jika usaha dipertingkatkan.

“Perkara yang boleh kita lakukan lebih awal, kita lakukan lebih awal. Perkara yang mengambil sedikit masa, kita akan mengambil masa sebanyak yang diperlukan untuk melakukannya dengan betul.”

Dalam ucapannya, Cik Indranee berkata usaha menangani trend penurunan kadar kesuburan negara memerlukan “usaha seluruh negara” yang melangkaui dasar pemerintah.

Beliau menekankan bahawa tindakan seharian - seperti majikan yang memahami keperluan pekerja dan mewujudkan tempat kerja mesra keluarga, penyelia yang memberi kelonggaran bagi urusan keluarga, jiran yang menghulurkan sokongan, penumpang yang memberikan tempat duduk kepada wanita hamil serta sukarelawan masyarakat yang tampil membantu - boleh membawa “perubahan bermakna” kepada keluarga.

“Apa yang perlu kita lakukan di peringkat nasional ialah membina Singapura di mana keluarga mendapat sokongan dan dihargai. Setiap orang mempunyai peranan dalam perkara ini,” katanya lagi.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita